home Semasa Lelaki hina Rasulullah ﷺ direman hingga Jumaat

Lelaki hina Rasulullah ﷺ direman hingga Jumaat

 

KUALA LUMPUR – Individu yang ditahan kerana memuat naik status menghina Nabi Muhammad ﷺ dan isteri, Saidatina Aishah, di akaun Facebook ditahan reman sehingga Jumaat ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, lelaki berusia 68 tahun itu kini disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan, pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Dia juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya telah menerima 395 laporan polis dari seluruh negara ekoran status menghina nabi, yang dimuat naik di akaun Facebook bernama Foo Sing Wai.

Semalam, Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zuhdin Mahmud mengesahkan, lelaki itu ditahan di rumahnya di sebuah taman perumahan di Mentakab, Temerloh.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi meminta orang ramai untuk tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik sebarang bentuk provokasi.

Beliau berkata, bentuk provokasi itu melibatkan perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman hingga boleh membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *