home Semasa Pasaran modal Islam cecah RM1.88 trilion

Pasaran modal Islam cecah RM1.88 trilion

 

KUALA LUMPUR: Pasaran modal Islam Malaysia mencecah RM1.88 trilion pada 2018, mewakili kira-kira 61 peratus daripada keseluruhan pasaran modal tempatan, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Syed Zaid Albar.

Katanya, nilai berkenaan telah dibangunkan oleh sebuah industri yang bertenaga merangkumi firma-firma pengurusan dana tempatan serta asing, penasihat dan broker saham dengan keupayaan pasaran modal Islam yang komprehensif.

“Inovasi yang diterajui industri adalah selaras dengan inisiatif pembangunan SC, ia telah mewujudkan pelbagai produk pelaburan Islam termasuk dana unit amanah, dana borong, skim persaraan swasta, dana pertukaran bursa dan pelaburan amanah hartanah,” katanya pada Forum Pelaburan Pengurusan Aset Islamik Nomura sempena ulang tahun ke-10 di sini, hari ini.

Syed Zaid berkata, pada skala global dan dengan persaingan yang sengit, Malaysia terus menerajui pasaran modal Islam, sukuk dan pasaran dana Islamnya adalah antara yang terbesar di dunia.

Katanya, usaha membangunkan ekosistem pasaran modal Islam yang holistik mengambil masa yang berdekad dan ia telah diperkukuhkan melalui pendekatan Malaysia yang menyeluruh ke arah membangunkan sebuah persekitaran pasaran modal Islam.

Melalui dorongan SC, beliau berkata pendekatan ini telah dijayakan melalui pandangan pakar-pakar syariah, profesional industri dan pihak berkepentingan seperti pelabur institusi.

“SC, khususnya, mengiktiraf industri pengurusan dana Islam sebagai satu saluran yang penting bagi menggembeling modal ke dalam pelaburan berlandaskan syariah dan landskap industri telah berubah dengan ketara sepanjang dekad yang lalu.

“Sebagai contoh, pada 2008 terdapat hanya lima syarikat pengurusan dana Islam dan sejumlah 30 firma pengurusan dana dengan saluran Islam. Hari ini, angka berkenaan telah berkembang kepada 22 syarikat pengurusan dana Islam dengan 31 firma pengurusan dana yang beroperasi melalui saluran Islam, merangkumi aset di bawah pengurusan sebanyak RM158.8 bilion,” katanya.

Syed Zaid ketika bercakap mengenai masa hadapan menjelaskan pendigitalan serta perubahan demografi akan terus mengubah pasaran, dan adalah penting bagi peserta pasaran untuk menyesuaikan diri dengan peluang-peluang dan risiko yang timbul daripadanya.

Pemacu utama pertumbuhan industri yang akan datang adalah perubahan dalam keutamaan pelaburan membabitkan pelabur generasi baharu. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *