home Kalam Tokoh, Semasa Ketuanan Islam tidak serupa ketuanan kulit putih: Timbalan Mufti Perak

Ketuanan Islam tidak serupa ketuanan kulit putih: Timbalan Mufti Perak

 

APABILA kejadian pembunuhan terancang yang berlaku di New Zealand, maka terdapat ulasan-ulasan yang mengaitkan faktor doktrin pengganas yang menganut fahaman ketuanan kulit putih sebagai faktor dorongan pembunuhan itu.

Konsep ketuanan kulit putih ini cuba dibandingkan dengan konsep ketuanan Islam. Sedangkan ia adalah dua jenis ketuanan yang berbeza.

Islam adalah agama perdamaian kesejahteraan. Islam mengharamkan menggunakan paksaan untuk memeluk Islam. Orang bukan Islam yang bernaung di bawah ketuanan Islam dijamin keselamatan mereka bahkan mereka akan disantuni dengan sebaik mungkin.

Firman Allah SWT: “Allah tidak melarang kamu melakukan kebaikan dan keadilan terhadap mereka yang tidak menyerang kamu pada agama dan tidak mengeluarkan kamu daripada negara kamu. Sesungguhnya Allah suka orang yang melakukan keadilan.” (Al-Mumtahanah: 8)

Ketuanan Islam juga menjamin kebebasan mereka (non muslim) pada pakaian, makanan dan minuman dengan syarat tidak terkesan pada syiar orang islam, ataupun syiar mereka tidak mencabar syiar Islam atau kebebasan mereka itu tidak membawa kepada fitnah dan kebinasaan.

Antara wasiat-wasiat Rasulullah SAW dalam peperangan dapat diperhatikan secara jelas semasa baginda memberikan wasiat kepada pasukan yang akan berangkat ke Perang Mu’tah. Antaranya: Berperanglah dengan nama Allah dan perangilah musuh Allah dan musuh kamu di Syam. Kamu akan mendapati disana, paderi-paderi yang mengasingkan diri di gereja. Jangan kamu ganggu mereka. Jangan kamu menbunuh perempuan, kanak-kanak dan orang-orang tua. Jangan menebang pokok dan merobohkan bangunan.

Khalifah Umar ketika menerima penyerahan kunci al-Quds secara rasmi dari Sophronius telah mengikat jaminan keamanan penganut Kristian yang akan tetap tinggal di Jerusalem (penduduk Iliya’).

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha penyayang; inilah apa yang telah diberikan hamba Allah Umar, Amirul Mukminin keamanan kepada penduduk Iliya’. Dia (Allah) telah memberikan keamanan untuk diri mereka, harta benda mereka, gereja-gereja mereka dan rumah-rumah ibadah mereka samaada yang elok atau rosak dan kepada seluruh penganut bahawa tidak sekali-kali gereja-gereja mereka dihuni (rampas) dan tidak sekali-kali dimusnahkan dan sekali-kali dilakukan kekerasan terhadap mereka samaada pada tubuh badan atau harta benda. Dan mereka sekali-kali tidak dipaksa untuk meninggalkan agama mereka dan tidak sekali orang Yahudi menghuni bersama mereka di Iliya’.”

“Menjadi kewajipan ke atas penduduk Iliya’ untuk membayar jizyah sebagaimana ahli agama lain membayarnya. Menjadi kemestian ke atas mereka untuk mengeluarkan orang Rom dan perompak, maka sesiapa dari kalangan mereka yang keluar maka dia dan hartanya selamat sehinggalah dia sampai ke tempat perlindungannya. Dan sesiapa dari kalangan mereka mahu kekal maka dia selamat tetapi mestilah dia membayar jizyah sebagaimana yang dilakukan oleh penduduk Iliya’.”

“Sesiapa dari kalangan penduduk Iliya’ yang mahu pergi dengan hartanya bersama-sama orang Rom maka mereka selamat sehinggalah mereka sampai ke tempat perlindungan. Sesiapa dari kalangan penduduk bumi ini yang mahu kekal maka hendaklah dia membayar jizyah sebagaimana penduduk Iliya’ dan sesiapa yang mahu berada di bawah Rom dan sesiapa yang mahu kembali kepada keluarganya tidak diambil daripada mereka sesuatu pun sehinggalah mereka menuai tanaman mereka. Sesungguhnya apa yang ada di atas tulisan ini adalah janji yang bertunjang kepada Allah, Rasul dan para Khulafa’ dan orang-orang Mukmin jika mereka membayar jizyah yang diwajibkan ke atas mereka.”

Inilah sebahagian dari jaminan hak dan keselamatan umat Islam kepada rakyat Iliya’. Rakyat Iliya’ diwajibkan membayar jizyah, manakala yang telah memeluk Islam wajib membayar zakat. Kota al Quds kemudiannya menjadi tanggungjawab umat Islam dan rakyat Iliya’ untuk memeliharanya daripada ancaman dan pencerobohan musuh. Perjanjian antara penganut Kristian dan masyarakat Islam ini dinamakan sebagai ‘Wathiqah Umariyyah’ (The Umariyyah Covenant).

Islam tidak mengira warna kulit sebagai faktor untuk tindas menindas mahupun zalim menzalimi bahkan kelainan warna kulit itu adalah untuk saling berkenalan.

Ketuanan Islam di Malaysia secara realitinya bermula dengan persepakatan dan perpaduan orang Melayu yang semuanya beragama Islam dan telah membuktikan sepanjang sejarah pengorbanan yang tiada tolok bandingnya bangsa ini memperjuangkan Islam.

Perbuatan jelek yang dilakukan oleh sebilangan kecil orang Melayu tidaklah mewakili majoriti orang melayu yang taat kepada ajaran Islam.

Bila disebut ketuanan Islam dan ketuanan Melayu sebagai wasilahnya bukanlah bermakna memperhambakan orang bukan Islam dan bukan Melayu tetapi perlu difahami, biarlah orang Islam menentukan hala tuju negara ini berdasarkan ajaran Islam, manakala orang lain turut menikmati keindahan rahmah Islam.

Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *