home Semasa Penggunaan teknologi AI dalam Islam tertakluk batas, garis panduan

Penggunaan teknologi AI dalam Islam tertakluk batas, garis panduan

 

PERBINCANGAN kecerdasan buatan (AI) bukan hanya perlu dilihat dalam konteks sumbangan kepada perkembangan teknologi, bahkan menjurus kepada etika dalam pandangan Islam.

Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh, berkata ini kerana teknologi AI sebenarnya sudah menjadi sebahagian kehidupan manusia tanpa disedari.

Shaikh Mohd Saifudden berkata, Islam tidak pernah menolak perkembangan itu kerana ia mempunyai manfaat kepada kemanusiaan tetapi tetap meletakkan had, batasan dan panduan.

“Sudah ada kes seorang lelaki berkahwin dengan robot yang dalam konteks Islam, perkahwinan itu tentu tidak dibenarkan ia membabitkan penyatuan atau ikatan antara lelaki dengan wanita yang sekiranya dibenarkan, boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan.

Wujud kebimbangan

“Namun, sekiranya AI digunakan dalam bidang perubatan sebagai contoh tujuan mendiagnosis penyakit tertentu, ia dibenarkan.

“Walaupun seseorang doktor mempunyai kepakaran tertentu, mungkin ada terlepas pandang hingga penggunaan teknologi AI memungkinkan kebarangkalian kejayaan diagnosis dipertingkatkan,” katanya pada sesi Perbincangan Meja Bulat: Etika Kecerdasan Buatan di IKIM di sini.

Shaikh Mohd Saifudden berkata, perkembangan teknologi AI juga berupaya dimanfaatkan untuk melakukan pekerjaan yang mungkin disifatkan melangkaui kemampuan tenaga manusia dan pekerjaan berbahaya.

Bagaimanapun beliau mengakui wujud kebimbangan disebabkan perkembangan AI boleh menyebabkan teknologi menggantikan manusia sebagai tenaga kerja, sekali gus meningkatkan kadar pengangguran.

“Malah wujud kegusaran AI bakal mengubah kehidupan manusia kerana jika sekarang kita bekerja dari jam lapan pagi hingga lima petang, tetapi dengan perkembangan AI memungkinkan kita tidak perlu bekerja selama tempoh waktu terbabit.

“Namun, perkembangan AI tidak bermakna kita tidak perlu bekerja lagi sebaliknya memerlukan kemahiran baharu dalam sesuatu pekerjaan yang dilakukan.

“Contohnya dalam bidang perubatan, pelajar perubatan tidak hanya belajar ilmu bidang perubatan semata-mata tetapi juga berkaitan dengan teknologi,” katanya.

Dalam konteks etika Islam, beliau berkata, batasan mesti diletakkan dengan melihat kepada maqasid syariah sebagai panduan kepada sesuatu perkembangan teknologi agar tidak membawa kemudaratan kepada agama, harta, nyawa, keturunan dan akal.

Sebagai contoh katanya, teknologi AI yang digunakan dalam bidang ketenteraan dibimbangi mewujudkan ancaman kepada nyawa dan kemusnahan harta benda.

Awasi penggunaan teknologi

“Jika berlaku peperangan, tentera tidak perlu dihantar tetapi teknologi ketenteraan yang dihantar di medan perang mungkin menyebabkan kesan lebih besar, sekali gus memerlukan batasan dan mengawasi penggunaannya.

“Ini kerana Islam mempunyai adab berperang yang boleh diterjemahkan dalam penggunaan teknologi AI,” katanya.

Jelas Shaikh Mohd Saifuddeen, kita perlu sedar bahawa AI dalam konteks teknologi berbeza dengan manusia yang dijadikan Allah SWT sebagai makhluk istimewa.

Seperti dibahaskan ulama terdahulu termasuk Imam al-Ghazali, unsur manusia merangkumi jasad, roh, hati, akal dan nafsu.

“Teknologi tidak mempunyai roh dalam erti kata ia berfikir bukan seperti akal manusia walaupun saintis dalam usaha menjadikan AI boleh ada perasaan dan emosi.

“Bagaimanapun, kita tetap tidak boleh menganggap sebagai manusia tetapi ia menjadi mesin atau teknologi yang bertujuan memudahkan kerja,” katanya.

Tambahnya, perkembangan AI perlu diawasi kerana dibimbangi boleh membawa kemudaratan kepada manusia yang seterusnya memerlukan kita untuk meneliti dan berhati-hati dalam penggunaannya.

Dalam konteks etika penggunaan media sosial, Shaikh Mohd Saifuddeen berkata, kemampuan aplikasi media sosial mampu untuk mewujudkan dan menjejaki identiti seseorang, manakala penularan gambar disunting dibimbangi mengancam masyarakat.

Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiki kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.” (Al-Hujuraat: 6)

Terdedah kepada ancaman

“Perkara ini perlu berbalik kepada kesedaran pengguna kerana apabila sesuatu maklumat diletakkan di alam maya, ia ditinggalkan di tapak kaki digital.

“Ini kerana perkongsian maklumat di internet menyebabkan kita akan terdedah kepada ancaman sekiranya tiada persiapan, malah Islam juga menyarankan kita bersiap-siaga.

“Islam tidak pernah menolak teknologi tetapi kita perlu sedar risiko, ancaman dan cabaran yang boleh menyebabkan kita terdedah kepadanya,” katanya.

Beliau berkata, iman dan takwa penting dalam pergantungan umat Islam kepada teknologi.

“Dalam dunia sebenar, ada tempat baik boleh memberi manfaat, begitu juga lorong gelap yang penuh dosa dan maksiat.

“Sekiranya ada iman dan takwa, setiap yang dilakukan kita akan merasakan Allah SWT sentiasa memerhati,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *