home Kolumnis, Semasa Siapakah yang akan membantu kaum muslimin?

Siapakah yang akan membantu kaum muslimin?

 

1. Pembunuhan beramai-ramai ke atas kaum Muslimin di New Zealand bukanlah insiden yang pertama yang menimpa kaum Muslimin. Di zaman Rasulullah, para sahabat pernah dibunuh beramai-ramai ketika mereka cuba membantu kaum Ri’l dan Zakwan. Perkara ini direkodkan di dalam hadith yang menyebutkan:

أَنَّ رِعْلاً، وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ اسْتَمَدُّوا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَدُوٍّ، فَأَمَدَّهُمْ بِسَبْعِينَ مِنَ الأَنْصَارِ، كُنَّا نُسَمِّيهِمُ الْقُرَّاءَ فِي زَمَانِهِمْ، كَانُوا يَحْتَطِبُونَ بِالنَّهَارِ وَيُصَلُّونَ بِاللَّيْلِ، حَتَّى كَانُوا بِبِئْرِ مَعُونَةَ قَتَلُوهُمْ، وَغَدَرُوا بِهِمْ، فَبَلَغَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، فَقَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو فِي الصُّبْحِ عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ‏.‏

“Bahawasanya Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan meminta bantuan daripada Nabi SAW untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka. Maka Baginda SAW menghantarkan kepada mereka tujuh puluh orang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai Al-Qura’ (penghafaz al-Quran).

Maka mereka ini membantu untuk mengumpul kayu api pada siang, dan bermunajat kepada Allah pada waktu malam. Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’una, mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, baginda membaca qunut (nazilah) selama sebulan dalam solat subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas puak arab, Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan.

2. Pembunuhan dan pengkhianatan ke atas kaum Muslimin ini telah menyebabkan Baginda berasa sangat sedih lalu Baginda membaca Qunut Nazilah selama sebulan, mendoakan kecelakaan ke atas mereka yang membunuh kaum Muslimin.

3. Abu Hurairah R.A, turut pernah menceritakan bahawa Rasulullah membaca Qunut Nazilah ini pada Solat Isya, mendoakan azab ke atas mereka yang menganiaya orang-orang Islam. Kata Abu Hurairah:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فِي الرَّكْعَةِ الْآخِرَةِ مِنْ صَلَاةِ الْعِشَاءِ قَنَتَ اللَّهُمَّ أَنْجِ عَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ اللَّهُمَّ أَنْجِ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ اللَّهُمَّ أَنْجِ سَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا عَلَيْهِمْ سِنِينَ كَسِنِي يُوسُفَ

Maksudnya: Bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila berkata “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” pada raka’at terakhir ketika solat ‘Isya’, beliau membaca qunut “Ya Allah selamatkanlah ‘Ayyasy bin Abi Rabi’ah, Ya Allah selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Ya Allah selamatkanlah Salamah bin Hisyam, Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman, Ya Allah keraskanlah ‘azab-Mu ke atas Mudhar, Ya Allah jadikanlah (‘azab-Mu) ke atas mereka dalam bentuk musim kemarau yang panjang sepertimana musim kemarau zaman Nabi Yusuf AS”.

4. Berdasarkan hadis-hadis di atas, Imam al-Nawawi mengatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi mazhab al-Syafie adalah:

ان نزلت بالمسملين نَازِلَةٌ كَخَوْفٍ أَوْ قَحْطٍ أَوْ وَبَاءٍ أَوْ جَرَادٍ أَوْ نَحْوِ ذَلِكَ قَنَتُوا فِي جَمِيعِهَا وَإِلَّا فَلَا

“Sekiranya ditimpa ke atas orang-orang Islam musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak, (serangan) belalang dan lain-lain, maka dibacakan qunut pada semua solat, namun jika tiada musibah, maka tidak perlu membaca qunut”. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/475)

5. Marilah bersama-sama kita mendoakan kesejahteraan ke atas saudara-saudara kita di sana. Semoga Allah memudahkan segala urusan mereka.

Moga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *