home Semasa Pertahankan Islam, hentikan polemik penghinaan agama: JAKIM

Pertahankan Islam, hentikan polemik penghinaan agama: JAKIM

 

HIFZU addin (حفظ الدين) iaitu memelihara agama Islam daripada sebarang ancaman merupakan prinsip yang paling utama dalam Maqasid Syariah iaitu tujuan Islam disyariatkan.

Justeru, menjadi kewajipan kita sebagai Muslim untuk meletakkan kepentingan agama di tempat yang tertinggi dan paling utama dalam segala urusan. Agama Islam menjadi pembimbing hidup setiap Muslim di dunia ini untuk kesejahteraan abadi di akhirat kelak.

Kita semua sedia maklum bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menobatkan Islam sebagai agama persekutuan. Manakala Islam yang diamalkan pula adalah berasaskan akidah, syariah dan akhlak berteraskan pegangan Ahli al-Sunnah Wal-Jamaah.

Kita juga amat meyakini bahawa Islam yang dibawa Nabi Muhammad dengan misi rahmatan lil alamin adalah satu-satunya ajaran yang benar lagi diredhai oleh Allah SWT. Dengan nilai-nilai rahmah yang terkandung di dalam syariat Islam inilah maka Islam diterima secara meluas oleh kebanyakan umat dim ka bumi ini. Ini bertepatan dengan firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud:

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam.”

Dan firman-Nya lagi dalam Surah Al-Maaidah ayat 3 yang bermaksud:

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagimu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agamamu.”

Sejarah telah membuktikan bahawa dengan kedatangan Islam yang menegakkan Negara Islam di Madinah telah membawakan rahmat memayungi umat yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Setiap individu hidup di bawah prinsip keadilan dan toleransi dalam kepelbagaian masyarakat tanpa ada paksaan kepada penganut agama lain untuk memeluk Islam.

Fitrah manusia dipelihara tanpa sebarang unsur diskriminasi kerana perbezaan warna kulit, kabilah dan agama yang berbeza serta menjalani kehidupan dengan penuh aman dan harmoni. Kekuatan dan kesatuan ummah ketika itu menjadi asas kepada kegemilangan Islam sehingga terpelihara daripada sebarang ancaman, bahkan berkembang ke seluruh pelusuk bumi.

Namun, mutakhir ini terdapat usaha-usaha yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang cuba menangguk di air yang keroh dengan melakukan provokasi melampau bagi mencetus kesabaran dan kemarahan umat Islam melalui penghinaan terhadap agama Islam.

Polemik penghinaan terhadap agama Islam bukanlah suatu perkara baharu. Perkara ini terjadi sejak zaman berzaman termasuklah di awal perkembangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW di Kota Mekah lagi. Baginda SAW dan agama Islam yang dibawa olehnya telah dihina bahkan diperlaku dengan perbuatan yang keji dan kejam.

Pada zaman kini, penghinaan terhadap Islam termasuk terhadap Rasulullah SAW terus berlaku walaupun baginda SAW telah meninggalkan kita lebih 1400 tahun lampau. Malahan trend penghinaan telah berubah mengikut arus perubahan semasa.

Di Malaysia, sejak kebelakangan ini isu penghinaan terhadap agama Islam dan institusinya semakin membimbangkan kerana keghairahan penggunaan media baharu dengan cara yang tidak berhemah. Ia berkemungkinan disebabkan oleh kefahaman yang tersasar terhadap dasar keterbukaan dan kebebasan bersuara kerajaan kini. Perbuatan tersebut seolah-olah dijadikan trend oleh sesetengah pihak dan ia bukan lagi kes yang terpencil.

Bentuk-bentuk penghinaan ini kerap berlaku dalam media sosial seperti lakaran karikatur Nabi Muhammad SAW, memulakan komunikasi jelek, membuat komen menghina, menghasilkan video pendek, memperlekeh hukum Islam, menghina raja atau sultan sebagai simbul Islam dan bangsa Melayu serta pelbagai perkara lain lagi.

Terbaru, pemilik akaun Facebook yang dikenali sebagai “Sabah-Sarawak Merdeka” juga telah memuat naik pernyataan jelek yang menghina Yang di-Pertuan Agong. Ini adalah satu perbuatan yang keterlaluan dan menghina Institusi Raja Melayu sebagai institusi agama Islam di negara ini. Perbuatan ini tidak melambangkan budaya rakyat Malaysia serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.

Kugusaran mengenai perkara ini telah menarik perhatian Ketua Negara dan Ketua Agama Islam di negara kita iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ketika bertitah pada Pembukaan Mesyuarat Penggal Ke-2 Parlimen Ke-14 pada 11 Mac 2019 mengingatkan rakyat jelata agar menjunjung keluhuran perlembagaan, terutamanya yang menyentuh sistem demokrasi berparlimen, Raja Berpelembagaan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama-agama lain serta Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan harus dipandang serius.

Sebagai langkah menangani isu ini, pada 7 Mac 2019 JAKIM telah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menerima aduan berhubung isu hina agama melalui medium aplikasi whatsapp. Tindakan ini bertujuan untuk memudahkan orang awam menyalurkan aduan terhadap perlakuan menghina dan provokasi kepada agama Islam di semua platform media sosial.

Sehingga artikel ini ditulis, mesej aduan yang diterima daripada orang awam telah mencecah lebih 15,000 aduan dalam pelbagai isu sejak talian hotline ini diwujudkan. Semua aduan yang diterima telah disaring dan hanya aduan yang disertakan bukti saheh dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan pencegahan, sekatan akses atau digugurkan kandungan pada pautan yang diadukan.

Antara bentuk kes aduan yang diterima ialah:

i. Hina Allah, Nabi dan Sahabat
ii. Hina Al-Quran dan Hadis
iii. Hina Fatwa dan hukum hakam
iv. Hina Raja-raja Melayu dan Institusi agama

JAKIM menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan agar terus menjunjung dan mempertahankan prinsip kehidupan aman damai yang diperjuangkan selama ini agar tidak tergadai dengan sikap dan kelakuan yang tidak mencerminkan gaya hidup masyarakat yang bertamadun.

JAKIM juga berharap polemik penghinaan terhadap agama ini dapat dihentikan dalam usaha untuk meredakan keadaan bagi membolehkan masyarakat Islam dan bukan Islam menikmati kehidupan yang sejahtera di negara tercinta ini di bawah payung Islam sebagai agama yang membawa rahmat bagi seluruh alam.

Datuk Mohamad Nordin Ibrahim
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Sumber: Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *