home Semasa Gejala lucah dalam dunia politik Malaysia menurut perspektif siyasah syar’iyah

Gejala lucah dalam dunia politik Malaysia menurut perspektif siyasah syar’iyah

 

Noktah Pertama

Syariah ialah satu manhaj (method) kehidupan yang jika dilaksanakan sebaik mungkin pada peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara akan melahirkan tamadun gemilang yang pernah memakmurkan dunia ini selama lebih kurang sepuluh kurun.

Tamadun Islam telah melahirkan masyarakat berperadaban tinggi dan berbudi pekerti mulia. Kesopanan dan kesusilaan generasi Melayu terdahulu yang amat sensitif dan pantang dengan gejala kelucahan adalah saki baki bukti ketamadunan yang mereka warisi daripada zaman kegemilangan Syariah sebagai satu cara hidup yang dominan dalam kalangan penduduk dunia suatu masa dahulu.

Noktah Kedua

Generasi umat Islam hari ini lahir dalam naungan dan pengaruh tamadun Barat. Persekitaran mereka sejak kecil diwarnai oleh pengaruh nilai-nilai kehidupan daripada masyarakat Barat, kecuali dalam sudut-sudut yang amat terhad seperti ibadat khusus, prosedur nikah cerai dan sebagainya.

Salah satu nilai mafsadah (kerosakan) yang dibawa oleh tamadun Barat ialah gejala lucah. Gejala lucah ini sudah berleluasa, terutamanya di media sosial; daripada perkataan mencarut, pakaian tak senonoh, aksi seksi gadis yang ketagihan perhatian atas talian, sampailah kepada tahap mengaku terang-terangan melakukan zina, liwat, malah terdapat yang mempromosikan gaya hidup lucah dan songsang itu.

Tiada tindakan undang-undang yang benar-benar serius untuk membanteras gejala lucah ini, yang merosakkan identiti umat Islam. Tidak seperti sesetengah negara kafir seperti China, tapisan isi dalam dunia maya negara kita amat longgar sekali.

Pemimpin negara kita amat cuai dalam menjaga maslahah akhlak anak muda, malah ada pemimpin yang anaknya sendiri sudah kebaratan melebihi orang Barat. Itu tidak termasuk menteri muda yang menganggap konsert artis seksi Selena Gomez sebagai oksigen.

Noktah Ketiga

Syariah, sebagai satu cara hidup, memperuntukkan satu hukuman yang tegas ke atas orang yang melakukan jenayah qazaf, iaitu menuduh orang lain melakukan zina, tanpa mendatangkan empat saksi.

Salah satu maslahah di sebalik pengharaman qazaf dan hukumannya yang tegas ialah untuk memelihara maruah setiap individu muslim agar tidak dijadikan bahan gurauan apatah lagi sebagai alat meraih keuntungan “kotor” politik yang merupakan mafsadah.

Selain itu, tujuan Syariah menjadikan kesalahan qazaf sebagai jenayah ialah untuk menolak mafsadah pergaduhan, perbalahan, permusuhan sesama muslim, yang boleh meruntuhkan rumahtangga dan menjahanamkan institusi keluarga yang merupakan tunjang kekuatan masyarakat Islam.

Qazaf liwat berkongsi mafsadah yang sama yang ada pada qazaf zina. Oleh sebab itu, hukum qazaf liwat boleh diqiaskan kepada qazaf zina.

 

 

Noktah Keempat

Bagaimanapun, ketegasan Syariah dalam isu qazaf ini tidak mendapat kesungguhan yang jitu daripada Ulil Amri yang bertanggungjawab dalam urusan agama Islam (pihak istana, Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam hal ehwal agama Islam, JAKIM, Menteri Besar, institusi kehakiman dan mahkamah Syariah, Mufti dan lain-lain).

Ini memandangkan, selepas lebih 60 tahun merdeka daripada penjajahan British, qazaf masih lagi tidak mempunyai peruntukan undang-undang jika melibatkan liwat, di sesetengah wilayah dan negeri dalam Malaysia, seperti Wilayah Persekutuan dan Sabah.

Selepas lebih 20 tahun isu qazaf liwat ini berlaku dalam negara kita, ia berulang kembali dan undang-undang Syariah kekal tiada upaya untuk menghukum pesalah qazaf liwat. Ternyata kenyataan pemimpin politik yang menjijikkan video lucah dan taktik qazaf liwat sebagai cara untuk menjatuhkan lawan politik, adalah kenyataan yang amat memualkan. Lakonan yang menjijikkan, sama seperti jijiknya video lucah yang mereka jijikkan itu.

Ini kerana kebanyakan mereka sudah berkecimpung dalam arena politik lebih 20 tahun yang lalu tetapi tidak melakukan apa-apa tindakan, sekurang-kurangnya gesaan kepada kerajaan agar peruntukan qazaf zina itu dipinda supaya meliputi liwat juga. Sebahagian mereka malah mempersetankan (membuang, tidak menghiraukan, memperlekeh) undang-undang Syariah kecuali ketika kepentingan politik mereka terancam.

Masih banyak pembaikan dan pindaan undang-undang Syariah yang perlu dilakukan , malah diselaraskan di seluruh Malaysia, agar selari dengan kehendak Syariah yang sebenarnya. Tetapi sejarah membuktikan perkara ini tergadai di pertengahan jalan, kerana faktor ketidaksungguhan dan yang paling penting dijadikan bahan gadaian untuk kepentingan politik kepartian semata-mata.

Noktah Kelima

“Tindakan pemerintah dalam urusan rakyat mesti diasaskan atas maslahah”. Itu salah satu hukum induk Syariah berkaitan Siyasah Syar’iyah. Apabila tersebarnya video lucah baru-baru ini yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan, maka menjadi satu maslahah besar, penting dan segera bagi umat Islam untuk pemerintah menamatkan gejala lucah itu secepat mungkin.

Caranya ialah pasangan yang melakukan atau melakonkan aksi lucah dalam video itu mesti dikenal pasti secepat mungkin, agar rakyat tidak dibiarkan berpolemik dalam mafsadah kelucahan, terutamanya di media sosial.

Mereka ini mesti dihadapkan ke muka pengadilan dan dihukum dengan hukuman yang keras, agar menjadi pengajaran kepada umat Islam yang lain supaya tidak berani lagi mengulangi kesalahan itu di masa depan. Itulah sebahagian makna fungsi pemerintah untuk menjaga agama, dengan menyekat proses normalisasi maksiat dan kemungkaran.

Jika ditakdirkan yang terlibat itu pemimpin negara sekali pun, prinsip “rule of law” tetap dijalankan. Saidina Umar dan Saidina Ali pernah dihadapkan ke mahkamah yang dihakimi oleh Syuraih. Itulah makna sebenar keadilan seseorang pemimpin menurut Islam.

Noktah Keenam

Wilayah dengan maksud kuasa kepimpinan tidak diberikan kepada orang fasiq. Adil adalah satu syarat kelayakan bagi seseorang untuk memegang wilayah atau menjawat jawatan awam. Syarat utama bagi sifat adil menurut Syariah ialah tidak fasiq. Pemimpin mesti bersih dan dilihat bersih daripada sebarang kefasiqan, walaupun dalam perkara yang tiada diperundangkan lagi seperti tabiat merokok, apatah lagi dalam perkara yang melibatkan undang-undang jenayah Syariah.

Lagikan wali nikah tidak boleh fasiq, inikan pula wali negeri dan negara.

Tetapi sudah menjadi lumrah dalam masyarakat Islam di Malaysia, untuk memilih pemimpin berdasarkan parti semata-mata walaupun terdapat banyak kecacatan komitmennya terhadap hukum syara’ dalam konteks kehidupan individu, sampaikan pemimpin wanita yang bergaya pengkid sekali pun tetap terpilih untuk menjadi menteri.

Noktah Ketujuh

Salah satu mafsadah sistem kepartian ialah menyuburkan asobiyah jahiliyah, iaitu memenangkan puak walaupun ternyata batil. Maslahah untuk memastikan saf kepimpinan bersih daripada orang fasiq sepatutnya mengatasi sebarang maslahah kepartian secara umum, apatah lagi jika membabitkan maslahah yang diharamkan oleh syara’, iaitu memenangkan puak walaupun batil.

Asobiyah jahiliyah inilah punca perpecahan umat Islam dan meruntuhkan hegemoni politik mereka, lalu menobatkan parti sekular (dominasi) orang kafir seperti DAP sebagai parti yang dominan dalam kalangan parti komponen yang memerintah, bahkan sebelum memerintah lagi.

Asobiyah jahiliyah inilah yang menyebabkan pesalah rasuah, salah laku seks, pecah amanah, penipu dan bermacam-macam kesalahan lain dipertahankan habis-habisan oleh penyokong parti dan kroni, walaupun jelas-jelas batil.

Asobiyah jahiliyah inilah yang menyebabkan anak-anak watan yang bertakwa dan berkebolehan diketepikan dan dicantas awal-awal kerana tidak satu kem atau parti, atau tidak cukup setia kepada puak kerana tidak sanggup mengatakan ya kepada puak sendiri ketika melakukan kebatilan.

Sesungguhnya orang-orang politik yang mendiamkan diri di depan kemungkaran kawan satu puak atau parti, demi menjaga maslahah jawatan dan kedudukan, ketahuilah bahawa mereka sudah menjual agama dengan harga yang amat murah.

Perkara ini berlaku kerana asobiyah jahiliyah telah membingkaikan tindakan berani menegur kemungkaran puak sendiri sebagai tindakan bodoh, tak pandai berpolitik. Begitulah, yang benar dibatilkan, yang batil dibenarkan.

Ingatlah saudara, jangan kerana dunia, akhirat digadaikan. Mati itu bila-bila.

Semoga kita diberikan taufiq oleh Allah Taala dan dibantu untuk melepasi zaman kegelapan dan kecelaruan ini dengan iman yang kekal sejahtera memandu ke arah kejayaan dunia dan akhirat.

Ustaz Mohd Hazizi bin Ab Rahman

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *