home Kalam Tokoh, Semasa Jangan mencari kemuliaan dengan tipu daya: Timbalan Mufti Perak

Jangan mencari kemuliaan dengan tipu daya: Timbalan Mufti Perak

 

UMAT Islam tidak sepatutnya terkinja-kinja memburu kemuliaan yang tidak mengikut piawai Islam, sehingga melanggar batas-batas syarak demi mencapai cita-cita meraih kemuliaan. Dalam memaknakan kemuliaan itu sendiri, ramai yang masih keliru.

Menariknya al-Quran memperincikan makna kemuliaan, cara untuk meraihnya dan sekaligus memberi amaran agar tidak mencari kemuliaan dengan tipu daya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah SWT), kerana bagi Allah SWT jualah segala kemuliaan. Kepada Allah SWT lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.
(QS Fatir: 10)

Firman Allah SWT lagi :
Padahal bagi Allah SWT jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
(QS al Munafiqun: 8)

Dua ayat di atas jelas merujuk bahawa Allah SWT adalah sumber kemuliaan. Rasul dan orang -orang beriman lebih utama terlebih dahulu mendapat kemuliaan kerana ketaatan mereka kepada Allah SWT Yang Maha Mulia. Merujuk kemuliaan kepada piawai-piawai lain tanpa dirujuk semula kepada piawaian Allah SWT adalah satu kesilapan.

 

 

Di dalam ayat 10 surah Fatir di atas, jelas memberi panduan kepada kita acara mendapat kemuliaan menurut piawaian Allah SWT memperjuangkan “kalimah toyyibah” iaitu laa ila ha illallah. Walaupun ada ahli tafsir yang merekodkan kalimah-kalimah tertentu berbentuk zikir dimaknakan sebagai segala perkataan yang baik, namun kalimah toyyibah yang merupakan iqrar ketuhanan hanya mutlak milik Allah SWT adalah yang paling utama, kerana pemahaman terhadap kalimah ini membentuk falsafah kehidupan yang tersendiri. Bahkan ia sangat dimusuhi oleh falsafah-falsafah yang mempertuhankan hawa nafsu.

Memperjuangkan falsafah kehidupan yang bersumberkan tiada tuhan yang disembah melainkan Allah SWT adalah satu kemuliaan. Mencari kemuliaan melalui system-sistem lain adalah satu kehinaan apabila menolak sistem Allah SWT.

Kemuliaan tidak mampu diraih oleh pejuang yang hanya kaya dengan idea-idea, teori-teori yang terawang-awang tanpa mampu demikian secara realistik. Pada ayat berkenaan juga menegaskan amal-amal soleh yang diterima Allah SWT, yang akan menjulang pelaku-pelakunya mendapat kemuliaan dari Allah SWT.

Ayat berkenaan juga memberi amaran kepada pemburu-pemburu kemuliaan dengan cara tipudaya bahawa mereka sedang ditunggu oleh azab Allah SWT yang maha pedih dan tipu daya mereka akan binasa.

Dalam masyarakat kita, menggunakan tipu daya untuk meraih sesuatu yang mereka sangka mulia itu sering juga berlaku. Ada orang sanggup menipu untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi. Ada orang sanggup menfitnah untuk menjatuhkan pesaing. Ada orang sanggup merasuah untuk kekal kaya kerana menganggap ia satu kemuliaan dan berbagai cara tipu daya lagi.

Kesimpulannya, apa juga kemuliaan yang bercanggah dengan syariat Allah SWT ataupun cara mendapatkan kemuliaan itu melanggar hukum Allah SWT penuh makar dan tipu daya, maka hakikatnya ia bukan kemuliaan, bahkan ia adalah satu kehinaan.

Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *