home Kolumnis, Semasa Khutbah Raya Aidilfitri 1440H: Kedaulatan Islam di tangan umat yang dominan

Khutbah Raya Aidilfitri 1440H: Kedaulatan Islam di tangan umat yang dominan

 

 

Saudara-saudari yang dikasihi sekalian,

Marilah kita bertakwa kepada Allah… kita laksanakan segala suruhan-Nya, kita tinggalkan segala larangan-Nya. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, kerana mengizinkan kita menyempurnakan puasa di bulan Ramadan. Alhamdulillah juga kerana mengizinkan kita berkumpul pada hari ini, untuk sama-sama kita hayati khutbah yang bertajuk “Kedaulatan Islam Di Tangan Umat Yang Dominan”.

 

 

Sidang Eidul Fitri yang mulia,

Lafaz takbir di pagi hari raya adalah lafaz kemenangan. Kemenangan iman kita, yang lebih dominan daripada hawa nafsu. Iman kita yang lebih dominan itulah yang menyebabkan kita berjaya mengawal hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan. Malah dengan dominasi iman itulah, kita mampu bersolat terawih, berqiamullail, membaca al-Quran dan bersedekah lebih daripada kebiasaan.

 

وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ – 79:40

فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ – 79:41

 

“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya”. (Surah An-Nazi’at: 40-41)

Dominasi dengan erti kata “pengaruh yang lebih kuat”, adalah termasuk dalam undang-undang alam ciptaan Allah. Allah Taala ciptakan kekuatan dan kelemahan sebagai faktor survival mana-mana makhluk. Bangsa yang lebih dominan akan berjaya mengharungi persaingan hidup. Bangsa yang lebih dominan akan menentukan peraturan dan corak persaingan. Manakala yang tidak dominan, akan terserah nasibnya pada bangsa lain. Ini sunnatullah, yang tidak akan berubah hingga hari kiamat.

Rasulullah S.A.W. juga telah menyatakan bahawa kemungkaran hanya boleh dicegah, jika sekiranya kita punyai kekuatan, jika sekiranya umat ini dominan:

 

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ , فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ , وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإيمَانِ

 

“Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah ia mencegahnya dengan tangan (kuasa), jika dia tidak mampu maka dengan lidahnya, jika dia tidak mampu juga maka dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Begitu jugalah dengan kebenaran dan kebatilan. Allah Taala telah menetapkan bahawa kebenaran itu perlukan kekuatan. Inilah yang ditegaskan oleh al-Imam al-Ghazali, bahawa kuasa itu peranannya melindungi Syariat dan Islam.

 

اعلم أن الشريعة أصل والملك حارس وما لا أصل له فمهدوم وما لا حارس له فضائع

 

“Ketahuilah bahawa Syariat itu asas dan kuasa itu penjaga. Apa yang tiada asas maka ia runtuh. Apa yang tiada penjaga maka ia hilang.”

Islam adalah satu-satunya agama yang benar. Dan kebenaran ini ditetapkan oleh Allah mesti ada kekuatan. Umat Islam mesti dominan, barulah kebenaran yang mereka bawa boleh berjaya.

Islam bukan sistem ‘theology’ yang cukup sekadar iman di dada. Islam juga bukan sekadar syiar-syiar yang terlihat pada masjid dan kubahnya.

Islam sebenarnya adalah sistem hidup yang amali dan realistik. Islam perlu berdepan dengan sistem hidup ciptaan manusia. Sistem hidup yang berasaskan akidah tauhid ini perlukan kekuatan dan dominasi, untuk berdepan dengan kekuatan dan dominasi sistem hidup lain, yang berasaskan sekularisme, liberalisme, sosialisme dan pluralisme.

Berdasarkan hakikat inilah… berdasarkan hakikat bahawa Islam perlu bersaing dengan falsafah hidup ciptaan manusia yang sesat dan meruntuhkan Islam… maka umat Islam mesti dominan. Allah Taala telah menetapkan hanya yang dominan dan kuat sahaja yang akan menang, maka Allah Taala telah memerintahkan umatnya agar bersedia dengan kekuatan:

 

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ – 8:60

 

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu” (Surah Al- Anfal: 60)

Ayat ini menggesa umat Islam agar bersiap siaga… agar bersedia dengan segala kekuatan; politik, ekonomi, akhlak, budaya, bahasa, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Fungsi kekuatan ini ialah untuk menggerunkan musuh.

Betapa hari ini kita menyaksikan pelbagai gelagat musuh yang menyakiti hati umat Islam. Betapa murahnya nyawa dan maruah umat Islam pada hari ini. Betapa sanggupnya sebahagian umat ini untuk berpaling tadah dan mengkhianati saudaranya sendiri. Semuanya gara-gara umat ini lemah. Semuanya gara-gara musuh berada di kedudukan yang lebih dominan dan lebih berkuasa.

 

 

Ibnu Khaldun, sebagai seorang pengasas ilmu sosiologi, telah mengajarkan kita konsep Asobiyyah Gholibah (عصبية غالبة). Maksud istilah Asobiyyah Gholibah menurut Ibnu Khaldun ialah puak atau bangsa yang kuat dan dominan serta mempunyai pengaruh yang besar dan dihormati dalam sesebuah negara.

Asobiyyah atau semangat setiakawan sesama puak itu tidak terpuji dan tidak pula keji dengan sendirinya. Asobiyyah boleh jadi keji jika untuk tujuan yang keji. Asobiyyah boleh jadi terpuji apabila bertujuan untuk memenangkan Islam dan mengalahkan segala sistem hidup yang menyesatkan manusia daripada jalan kebenaran, daripada jalan lurus menuju keredhaan Allah Taala.

Noktah yang diajar oleh Ibnu Khaldun melalui konsep Asobiyah Gholibah ini ialah umat Islam mesti dominan. Orang Melayu yang membentuk 90% daripada umat Islam di Malaysia mesti dominan, barulah Syariat dan agama suci ini mampu dipelihara. Barulah kemungkaran boleh dicegah. Barulah gaya hidup songsang LGBT boleh disekat daripada merebak. Barulah umat Islam dihormati dan digeruni.

Umat Islam tidak diciptakan untuk mengikut umat-umat yang lain. Ini kerana umat Islam punyai kitab petunjuk, iaitu al-Quran. Umat Islam mesti mengambil kedudukan memimpin, bukan dipimpin, agar sesuai dengan kedudukan Islam yang tinggi dan tidak boleh ada sesuatu yang lebih tinggi daripadanya.

 

وَلَن يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا – 4:141

 

“Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman.” (Surah An-Nisa’: 141)

Untuk memimpin, kita mesti dominan. Untuk memimpin, kita tidak boleh menjadi pengiya bagi apa saja kata orang lain. Kita mesti tunjuk dan pandu orang lain dengan manhaj dan sistem hidup Islam.

Kita mesti dominan untuk menentukan bagaimana naratif sejarah sebenarnya bagi tanah warisan Islam ini, bukan orang lain. Kita mesti dominan untuk menghalang negara ini daripada menjadi sekular liberal. Kita mesti dominan untuk menentukan apa yang terbaik sebagai undang-undang bagi umat ini, bukan orang lain. Kita mesti dominan untuk mengekalkan kedaulatan Islam di negara ini.

 

 

Jika umat Islam tidak dominan, jika kita lebih selesa menyerahkan kekuatan dan kekuasaan kepada orang lain, maka jadilah nasib kita serupa yang disebut oleh baginda dalam hadith beliau yang bermaksud:

“Hampir saja para umat (yang kafir dan sesat) mengerumuni kalian dari berbagai penjuru, sebagaimana mereka berkumpul menghadapi makanan dalam piring”. Kemudian seseorang sahabat bertanya,”Katakanlah wahai Rasulullah, apakah kami pada saat itu sedikit?” Rasulullah berkata,”Bahkan kalian pada saat itu banyak. Akan tetapi kalian bagai buih yang dibawa oleh banjir. Allah akan menghilangkan rasa takut pada hati musuh kalian dan akan menimpakan dalam hati kalian ’Wahn’. Kemudian seseorang bertanya,”Apa itu ’wahn’?” Rasulullah berkata,”Cinta dunia dan takut mati.”

Dua noktah penting hadith ini ialah:

1. Kita dikerumuni oleh musuh-musuh Islam sebagaimana mereka mengerumui hidangan makanan. Kita dipotong, disiat-siat, dibakar, dimasak, diratah dan dimamah. Itulah perumpamaan apabila kita sudah tiada kekuatan dan dominasi.
2. Punca kita hilang kekuatan dan dominasi, sehingga diratah musuh, ialah cintakan dunia dan takut mati. Cintakan keselesaan. Cintakan kerusi. Cintakan kuasa untuk kepentingan sendiri. Takut hilang nikmat dunia. Takut dipandang hina oleh musuh. Takut hilang mata pencarian.

Sebagai penutup, khatib meringkaskan khutbah pada hari ini dalam noktah-noktah berikut:

1) Islam agama yang benar. Kebenaran mesti ada kekuatan yang melindungi dan memperjuangkannya.
2) Umat Islam mesti dominan untuk mencegah kemungkaran, untuk menyekat fenomena LGBT dan segala kesongsangan identiti akibat menurut hawa nafsu.
3) Umat Islam mesti dominan, agar mampu mencaturkan masa depan mereka sendiri, bukan dicatur, agar mampu menyusun sistem yang terbaik untuk diri sendiri berdasarkan Islam, bukan disusun oleh orang lain berdasarkan cara hidup mereka.
4) Tanpa dominasi, umat Islam akan hidup dalam keadaan diperkotak-katikkan.
Dihina, dipermainkan, diratah tanpa belas kasihan dan simpati.

 

 

Disediakan oleh:

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
Penyelidik Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah

Muat turun khutbah di sini:
http://www.indahnyaislam.my/wp-content/uploads/2019/06/Khutbah-Raya-Aidilfitri-1440.pdf

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *