home Kolumnis, Semasa Penuntut ilmu tidak seharusnya dihidangkan dengan persembahan maksiat

Penuntut ilmu tidak seharusnya dihidangkan dengan persembahan maksiat

 

1. MUFTI Pulang Pinang menegur tindakan penganjur yang menghidangkan aktiviti tarian mencolok mata ketika majlis konvokesyen berlangsung. Kata beliau, banyak lagi aktiviti yang lebih baik yang boleh dipersembahkan kepada pelajar kita.

2. Nasihat ini sangat benar. Penuntut ilmu seharusnya tidak dihidangkan dengan persembahan yang bertentangan dengan ajaran al-Quran dan hadith. Malah para salafssoleh terdahulu amat menjaga pelajar mereka dari mendekati maksiat.

 

Image may contain: 4 people

 

3. Ketika al-Imam Malik melihat potensi yang ada pada al-Syafie, beliau menasihatkan kepada al-Imam al-Syafie (yang juga pelajar kepada al-Imam Malik) agar menjauhi maksiat. Kata Malik:

إني أرى أن الله قد ألقى على قلبك نورا فلا تطفئه بظلمة المعصية

“Sesungguhnya aku melihat bahawa Allah telah mencampakkan cahayaNya ke dalam hatimu (wahai al-Syafie), maka janganlah engkau cemari hatimu dengan maksiat.”

Bererti Malik sebagai guru membimbing pelajarnya (al-Syafie) agar menjauhi maksiat, bukan menghidangkan pelajar dengan aktiviti maksiat.

4. al-Imam Ali ibn Khashram pernah bertanya kepada gurunya Waki’ tentang bagaimana menguasai ilmu dengan baik. Waki menasihatkannya agar menjauhi maksiat. Kata Ali:

سألت وكيعًا عن دواء الحفظ فأجاب: ترك المعاصي”

“Aku bertanya kepada Waki tentang penawar bagi mempunyai kekuatan ingatan, lalu Waki’ berkata: Tinggalkan maksiat.

 

 

5. Malah yang lebih membimbangkan adalah, keterlibatan dalam maksiat turut menjauhkan pelajar dari sumber rezeki. Ini difahami daripada hadith Rasulullah yang menyebutkan:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيُحْرَمُ الرِّزْقَ بِالذَّنْبِ يُصِيبُهُ

“Sesungguhnya seorang hamba itu akan dijauhkan dari rezeki disebabkan dosa yang dilakukan” (HR Ahmad)

6. Adalah lebih wajar sekiranya setiap aktiviti yang ingin dipertontonkan kepada pelajar diteliti dahulu selari dengan peranan institusi ilmu yang menjunjung martabat ilmu dan budi. Jangan pula ada Liberal yang kata nanti: “takkan lemah sangat iman.”

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *