home Kolumnis, Semasa Sistem ekonomi Islam: Mirip kapitalis atau sosialis, atau sebenarnya tidak wujud?

Sistem ekonomi Islam: Mirip kapitalis atau sosialis, atau sebenarnya tidak wujud?

 

SESETENGAH orang mudah teruja dengan suatu sistem yang diasaskan barat.

Ya, kita sedia faham, apa yang baik – selagi mana tidak bercanggah dengan Syarak – amat digalakkan untuk dimanfaatkan, selari dengan sabda Nabi SAW:

الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها فهو أحق بها

“Hikmah (apa yang membawa kebaikan dan manfaat kepada kehidupan manusia) adalah suatu yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya.” (HR Tirmizi)

Namun yang merisaukan adalah, dalam banyak kes, keterujaan tersebut membuatkan mereka terperangkap dalam fahaman/ideologi barat, yang agendanya antara lain, menanam benih dalam minda umat bahawa Islam tidak menyeluruh, al-Quran dan sunnah tidak mampu memberi solusi semasa. Maka ia tidak lagi relevan untuk dunia hari ini.

Akhirnya lahirlah kesimpulan seperti: Tidak wujud ekonomi Islam. Tiada istilah negara Islam. Islam hanya nilai, seperti mana yang diungkapkan oleh sebahagian aktivis ‘progresif’ beragama Islam.

Barangkali inilah sebahagian kejayaan penjajah, hasil strategi yang telah lama dikemukakan oleh Cheryl Benard untuk berhadapan dengan gerakan Islam termasuklah;

“Challenge their interpretation of Islam and expose inaccuracies”

dan

“Demonstrate their inability to rule, to achieve positive development oftheir countries and communities” (Ruj: Civil democratic Islam, partners, resources, and strategies; RAND Corporation)

* * *

Berbalik kepada hal ekonomi, sebahagian orang Islam sendiri sering mengkritik dan mempersoalkan kewujudan sistem ekonomi Islam.

Seolah tiada nas al-Quran dan hadis, sunnah khulafa’ rasyidin, serta kitab-kitab para fuqaha silam yang menerangkan dan meletakkan prinsip-prinsip ekonomi.

Puncanya (yang saya biasa saksikan), selain teruja dan terpengaruh dengan idea kapitalisme atau sosialisme atau fahaman asing lain, mereka juga sebenarnya tidak pernah baca pun timbunan kitab-kitab yang ditulis fuqaha silam berkenaan ekonomi.

Sedangkan telah banyak prinsip dan teori ekonomi yang diasaskan dan dijelaskan fuqaha berpandukan penelitian dan istiqra’ (analisis induktif) nas-nas al-Quran dan Sunnah yang jauh mendahului pakar-pakar ekonomi kapitalis atau sosialis yang mereka banggakan.

 

 

Ibnu Khaldun sebagai contoh, sejak 600 tahun lalu lagi telah mempelopori theory of population (hubung kait antara pertumbuhan populasi dan sumber-sumber spt bekalan makanan) sebelum Malthus, dan menekankan peranan intervensi kerajaan dalam ekonomi sebelum Keynes berkurun lamanya.

Malah 900 tahun yang lalu, Al-Ghazali telah mensyarahkan dengan begitu panjang berkenaan hakikat dan fungsi wang, serta parameter dalam berurusan dengan wang, yang secara umumnya menyatakan bahawa wang hanyalah medium pertukaran dan bukannya komoditi untuk didagangkan. Ini merupakan kunci utama dalam menjamin kestabilan sistem kewangan dan ekonomi negara. Hal ini juga telah ditekankan oleh Ibnu Qayyim lebih 600 tahun yang lalu.

Malangnya ia terus tidak diendahkan oleh blok timur dan barat berkurun lamanya (bahkan hingga kini). Cuma ada lah sebahagian pakar ekonomi barat yang terpaksa akur, contohnya ketika berlakunya depression yang teruk sekitar 1930-an, salah seorang ahli Jawatankuasa Krisis Ekonomi yang ditubuhkan oleh Southampton Chamber of Commerce telah menyatakan:

“In order to ensure that money performs its true function of operating as a means of exchange and distribution, it is desirable that it should cease to be traded as a commodity.” (Economic Crisis Committee Report, 1933; Historic Judgment on Interest by Mufti Taqi Usmani)

Namun perkara ini terus diabaikan, bahkan pasca krisis kewangan global 2008 pun fungsi sebenar wang dan parameternya menurut Islam tidak diambil serius oleh dunia. Maka berterusanlah golongan elit kapitalis dan sosialis global mencipta dan mengganda-gandakan duit di atas duit, hanya melalui aktiviti/bisnes pinjaman (merely through lending activities) berasaskan riba.

* * *

Berbalik kepada soalan asal, adakah sistem ekonomi Islam ini seperti sistem kapitalis atau sosialis?

Atau sebenarnya tidak wujud?

Dalam ruangan yang singkat ini, saya cuba simpulkan tiga (3) perkara asas berkenaan sistem ekonomi Islam berdasarkan bacaan dan pemerhatian saya yang terbatas ini:

1) Sistem ekonomi Islam tidak seperti sistem kapitalis mahupun sosialis. Ia adalah sistem tersendiri.

Jika kita perhatikan nas-nas al-Quran dan hadith, hukum hakam Syarak dan perbahasan fuqaha berkenaan kewangan dan ekonomi, kita akan dapati Islam menjamin dan amat menekankan keseimbangan antara kepentingan/maslahah individu dan maslahah umum mahupun negara.

Sebab itu Syarak membenarkan (bahkan sampai satu tahap, mewajibkan) pemerintah untuk menguatkuasakan agihan/pembahagian harta dengan adil sesama rakyat. Ambil dari yang kaya, agih kepada yang miskin.

Sebab itu jugalah Khalifah Islam dahulu ambil serius perkara ini, sehingga ada yang melancarkan perang ke atas kelompok yang menolak zakat.

Tidakkah kita rindui zaman khalifah dahulu, di mana harta zakat boleh mencukupi malah berlebihan untuk menampung semua keperluan asasi asnaf? (Ruj; Kitab Al-Amwal li Abi `Ubaid)

Jangan putus asa, sentiasa optimis dan teruskan perjuangan. Kerana Nabi sendiri telah janjikan suatu yang menarik bakal berlaku di akhir zaman ini:

يكونُ في آخرِ أمتي خليفةٌ يُحثي المالَ حثيًا . لا يَعدُّه عددًا

“Di akhir umatku nanti akan muncul seorang khalifah yang akan membahagikan harta tanpa dia menghitungnya.” (HR Muslim)

2) Islam memberi kebebasan kepada manusia untuk berniaga dan menjana harta sebanyaknya, namun ada parameternya.

Antara contohnya: Penetapan harga (tas’ir) oleh pemerintah, pada asalnya tidak dibenarkan kerana ia boleh menzalimi salah satu pihak (pembeli atau penjual). Maka pada asalnya, penetapan harga adalah berdasarkan persetujuan antara pembeli dan penjual, mengambil kira faktor penawaran dan permintaan dalam pasaran.

Namun jika terdapat sebarang unsur kezaliman seperti monopoli oleh suatu pihak, atau bagi menjaga maslahah rakyat secara umum dalam situasi-situasi tertentu, dalam hal ini pemerintah berhak untuk membuat kawalan/ penetapan harga barangan.

3) Ekonomi Islam bertunjangkan Aqidah Tawhid.

Manusia akhirnya perlu sedar bahawa akalnya terbatas. Hanya wahyu dari Allah Yang Maha Esa yang menciptakan manusia yang mampu memberi solusi terbaik buat kehidupan manusia.

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, telah banyak prinsip dan teori ekonomi yang telah diasaskan dan dijelaskan fuqaha berpandukan penelitian dan istiqra’ (analisis induktif) nas-nas al-Quran dan sunnah yang diturunkan oleh Tuhan Yang Satu, Allah swt.

Manusia yang tidak beriman dengan Allah yang menciptanya dan tidak mengikuti Syariat-Nya sebenarnya telah merendahkan martabatnya kerana ia hanya ‘menyembah’ makhluk-makhluk yang tidak mampu pun menciptakan atau memberi manfaat, sebaliknya memberi mudarat kepadanya.

Lihatlah bagaimana sistem kapitalisme atau sosialisme hari ini gagal untuk menyelesaikan masalah ekonomi. Krisis demi krisis berlaku hanya memberi manfaat kepada golongan elit yang sedia kaya. Cukai yang dibayar rakyat terpaksa digunakan untuk menyelamatkan krisis ekonomi negara, angkara ketamakan golongan tertentu.

Jika diberi kesempatan, saya ingin juga menulis dengan lebih terperinci khususnya berhubung kesan Aqidah Tawhid kepada pertumbuhan ekonomi, insya Allah.

Wallah A’lam.

Ustaz Ahmad bin Khairuddin

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *