home Semasa Dr Zakir Naik lapor polis terhadap lima individu pembuat fitnah

Dr Zakir Naik lapor polis terhadap lima individu pembuat fitnah

 

SHAH ALAM – Penceramah bebas, Dr Zakir Naik menamakan lima individu atas tuduhan memfitnah beliau menerusi laporan polis yang dibuatnya hari ini.

Mereka ialah Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Dalam, Satees Muniandy dan bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis J Ignatius.

Zakir atau nama sebenarnya Zakir Abdul Karim Naik membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 11.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Bagaimanapun, Baharudin berkata, laporan itu kemudian dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan laporan polis dibuat Zakir, pendakwah dari India itu mendakwa kelima-lima individu yang dinamakan telah memfitnah berdasarkan kenyataan disiarkan di media sosial dan laman sesawang mereka berhubung syarahan dibuatnya di Kota Bharu Kelantan pada 8 Ogos lalu.

Dalam laporan itu, Zakir turut menyenaraikan 11 pautan artikel yang didakwa kenyataan fitnah dibuat oleh lima individu dinamakan itu.

Zakir berkata, kenyataan media dan artikel berkenaan telah memesong dan mengelirukan orang ramai berhubung maksud sebenar ceramahnya semasa berdakwah mengenai keamanan serta keharmonian antara rakyat di negara ini.

 

 

“Kelima-lima mereka telah memetik kenyataan di luar konteks dalam jawapan terhadap salah satu soalan diajukan selepas ucapan saya mengenai topik ‘Salah fahaman tentang Islam’ dan jelas sekali mereka memutar belit dan memanipulasi kenyataan saya untuk agenda politik mereka.

“Semasa ceramah itu, syarahan sebenarnya adalah memuji Malaysia yang mengamalkan cara Islam sebenarnya dalam layanan terhadap minoriti penganut Hindu dan menegakkan hak-hak kepada mereka, yang mana ini adalah sesuatu yang gagal dilakukan oleh kerajaan India dalam menangani masyarakat minoriti negara itu,” katanya.

Menurut Zakir, kenyataan memfitnah itu turut merosakkan dan menjejaskan reputasi, kedudukan dan kredibilitinya serta mengaitkan beliau dengan skandal, kebencian dan penghinaan yang tidak terhingga di mata orang ramai.

“Tuduhan dan hasutan tidak berasas itu telah mewujudkan ketidakharmonian dalam masyarakat dan mencetuskan perbalahan dalam kalangan rakyat Malaysia yang aman,” katanya.

Zakir berkata, pautan kenyataan disenaraikan daripada lima individu yang dinamakan telah memberi gambaran dirinya sebagai seorang yang mempunyai perwatakan tidak baik dan kenyataan itu sama sekali tidak berasas serta fitnah.

Susulan itu, katanya, laporan dibuat bagi membolehkan polis melakukan siasatan ke atas lima nama yang dinyatakan kerana memfitnah dirinya dan menimbulkan ketidakharmonian kaum serta kebencian dalam kalangan rakyat Malaysia. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *