home Semasa Ibadah haji, korban lambang pengabdian kepada Allah

Ibadah haji, korban lambang pengabdian kepada Allah

BANGI – Umat Islam tidak akan dapat membebaskan diri daripada belenggu keruntuhan akhlak, perpecahan, penindasan, kemundurun dan kemiskinan, sekiranya roh pengorbanan ibadah haji dan korban tidak dihayati sepenuhnya.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam khutbahnya sempena Hari Raya Aidiladha hari ini berkata, pengorbanan masa dan wang ringgit perlu diperuntukkan untuk belajar dan menghadiri majlis ilmu bagi memantapkan akidah Islam sebenar, sekali gus membebaskan diri daripada belenggu kejahilan.

Katanya, dengan pegangan akidah yang mantap, umat Islam akan terselamat daripada dipengaruhi oleh ajaran sesat dan pemikiran liberal yang membawa kemurkaan Allah SWT.

“Kita juga mestilah mempunyai keazaman yang kuat dengan berusaha sedaya upaya melaksanakan syariat dalam kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Dalam masa yang sama kita perlu sama-sama mengorbankan masa dan tenaga, memastikan masyarakat kita terutamanya generasi muda agar tidak terjerumus ke dalam keruntuhan akhlak seperti LGBT, penagihan dadah, ponteng sekolah, buli dan seumpamanya,” kata khutbah.

Khutbah berkata, umat Islam tidak akan menjadi bangsa yang miskin, mundur dan lemah sekiranya semangat serta roh ibadah haji dihayati untuk berusaha memperoleh harta yang lebih dengan pekerjaan halal.

“Ibadah haji juga mengajak umat Islam supaya menghayati semangat kesetuan berteraskan ketauhidan kepada Allah SWT, mengelak perpecahan sekalipun berbeza bangsa dan warna kulit,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *