home Semasa Ucapan Dr. Zakir Naik disalah tafsir demi agenda politik jahat

Ucapan Dr. Zakir Naik disalah tafsir demi agenda politik jahat

 

SHAH ALAM – Pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik menafikan dakwaan yang mengatakan beliau mewujudkan suasana tidak harmoni di Malaysia sambil menjelaskan pengkritiknya salah tafsir berhubung ucapannya bagi tujuan politik dan menganiayanya.

Zakir menjelaskan, ketika ucapannya di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, 9 Ogos lalu, beliau memuji langkah Malaysia mengamalkan pendekatan Islam memberi layanan adil kepada masyarakat India dan menegakkan hak mereka.

Malah katanya, situasi itu berbeza di India di mana kerajaan India gagal melakukan perkara sama bagi melakukan sesuatu terhadap golongan minoriti.

“Tuduhan yang dilaporkan dalam media adalah bersifat jahat dan direka untuk bukan sahaja untuk mempolitikkan saya tetapi juga mewujudkan ketidakharmonian agama dalam masyarakat.

“Rakaman ceramah saya akan mendedahkan bahawa realitinya adalah bertentangan dengan apa yang dikatakan.

“Selepas pidato saya mengenai ‘Salah tafsir tentang Islam’, saya telah ditanya soalan khusus dari penonton mengenai isu Kashmir yang sedang berlangsung dan nasib umat Islam di India.

“Dalam jawapan saya, saya benar-benar memuji Malaysia dan kerajaannya kerana cara melayan minoriti Hindu dan memberi mereka hak yang wajar, sesuatu yang kerajaan India gagal melakukan dengan minoriti Muslim di India,” katanya.

 

 

Beliau berkata demikian melalui kenyataan media yang diberikan Penasihat Media Zakir, Aarif Malik yang berpangkalan di India kepada Sinar Harian bagi menjawab pidatonya yang diputar belit selepas tiga hari berlangsungnya majlis anjuran Kerajaan Kelantan itu.

“Mengenai tuduhan terhadap saya oleh kerajaan Narendra Modi (Perdana Menteri India), pendirian saya sangat jelas. Saya mendapati tidak adil bahawa sesetengah golongan Hindu di Malaysia seolah-olah mempercayai pemerintah Modi lebih daripada Interpol, atau mahkamah India, atau kerajaan Malaysia sendiri.

“Pujian saya terhadap kerajaan Malaysia pemerintahan secara Islamik dan adil terhadap minoriti masyarakat beragama Hindu, telah dimanipulasi bagi tujuan politik dan mencetuskan ketidakharmonian kaum,” katanya.

Zakir berkata, program pidatonya ketika itu berlangsung dengan jayanya walaupun terdapat kumpulan yang tidak menyukainya.

“Hadirin yang hadir terdiri daripada lelaki dan wanita Islam serta golongan media yang tidak mendapati sebarang kesalahan terhadap program sepanjang lapan jam dalam tiga ceramah saya termasuk sesi soal jawab.

“Walau bagaimanapun, selepas tiga hari, pengkritik saya menimbulkan isu yang tidak berguna. Sebarang percubaan untuk mengeruhkan keharmonian kaum adalah tidak adil untuk rakyat Malaysia dan saya yakin, Insya-ALLAH percubaan mereka ini akan gagal,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *