home Kolumnis, Semasa Bilakah masanya ummah boleh merasai duit gaji kita?

Bilakah masanya ummah boleh merasai duit gaji kita?

 

RATA-RATA kenalan lingkungan umur saya masih ‘struggling’ menstabilkan hidup.

Biasa berlaku, gaji yang masuk akhir bulan tidak sempat disentuh kerana membayar hutang/sewa rumah dan kereta, internet, yuran anak dan lain-lain komitmen, lalu terpaksa mencari rezeki tambahan melalui pelbagai cara, termasuk kerja separuh masa atau mohon belas ihsan isteri.

Tidak kurang juga yang sudah stabil. Dimurahkan rezeki dengan kerja dan majikan yang baik, atau pulangan perniagaan yang lumayan.

Namun, biasa pula berlaku, kenaikan gaji atau penambahan pulangan perniagaan tidak terasa. Kerana perbelanjaan telah naik secara sedar atau tidak sedar dengan pembelian rumah baharu, upgrade kereta dan macam-macam lagi untuk keselesaan diri dan keluarga.

Akhirnya usaha menstabilkan diri berterusan tidak berkesudahan.

Selalu saya terfikir, tambah dilemma, haruskah aku beli rumah dengan bayaran ansuran separuh gaji bulanan, tetapi sumbangan kepada ummah, aktivitisme sosial, dakwah dan tarbiyah tidak pernah cecah suku gaji bulanan?

Naik sahaja gaji, perbelanjaan bertambah untuk kesenangan diri. Maka bilakah masanya ummah boleh merasai duit gaji kita?

Sampai bilakah dakwah dan tarbiyah ini mahu ‘mengemis’ dari kita?

Sedangkan duit dan harta yang kita pegang adalah hak milik Allah. Manusia hanyalah pemegang amanah selaku khalifah Allah (خليفة عن الله) yang bertanggungjawab mengurus harta-Nya di muka bumi mengikut kehendak-Nya.

لِلَّهِ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡغَنِيُّ ٱلۡحَمِيدُ

“Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi; sesungguhnya Allah Dia lah jua yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji”. (Luqman: 26)

 

 

* * *

Pesanan khusus buat diri saya (ada baiknya jika dikongsikan juga dengan sahabat seperjuangan sekalian), dalam kesibukan mencari rezeki dan mengumpul harta, jangan sampai menjadikan kita orang yang kedekut dan tamak yang hanya memikirkan kepentingan diri.

Islam tidak halang umatnya memiliki kekayaan.

Tetapi jangan lupa amalan infaq, sedekah, wakaf yang amat digalakkan, serta zakat yang diwajibkan.

إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَ

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga…” (Al-Taubah: 111)

وَفِيٓ أَمۡوَٰلِهِمۡ حَقّٞ لِّلسَّآئِلِ وَٱلۡمَحۡرُومِ

Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)” (Al-Zhariyat: 19)

Bagi memastikan keadilan sejagat, kehendak/kepentingan individu dan kepentingan masyarakat amnya haruslah seimbang.

Menjadi tanggungjawab kita dalam mengurus harta yang diamanahkan oleh-Nya untuk memastikan keperluan asasi SELURUH manusia di muka bumi ini dipenuhi.

Ini tidak mustahil. kerana menurut teori ekonomi Islam, berdasarkan banyak firman-Nya, harta mahupun sumber asli di bumi ini sepatutnya mencukupi bahkan melebihi keperluan asasi bagi seluruh manusia. Ini berlawanan dgn teori ekonomi kapitalis barat yang menyatakan “scarce resources for limitless wants and needs.”

Maka jika infaq, sedekah, wakaf dan zakat tidak diamalkan melainkan cukup syarat (hanya bayar zakat 2.5%), apakah perbezaaan kita dengan kelompok sosialis dan kapitalis yang juga membayar cukai, tetapi hanya mementingkan diri sendiri, berterusan melebarkan jurang kekayaan melalui amalan monopoli dan perniagaan riba yang membinasakan orang kebanyakan?

Ya, kita faham sistem dan realiti hari ini tidak memihak kepada seluruh manusia, sebaliknya hanya memberi keuntungan kepada kelompok tertentu seperti elit kapitalis.

Tapi mulakanlah perubahan dari diri kita. Uruslah gaji dan harta sebaiknya, hidupkan amalan infaq dan buang sifat pentingkan diri, sebelum meruntuhkan apa jua sistem buatan manusia yang tidak adil hari ini.

Ustaz Ahmad bin Khairuddin

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *