home Semasa Fahaman Syiah tidak boleh disebarkan walaupun secara tertutup: Mufti Perak

Fahaman Syiah tidak boleh disebarkan walaupun secara tertutup: Mufti Perak

 

SHAH ALAM – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyokong tindakan pihak berkuasa menyerbu dan menahan pengikut fahaman Syiah.

Beliau berkata, ajaran Syiah tidak boleh disebar dan diamalkan di Malaysia walaupun diadakan secara tertutup.

“Semua agama yang ada dalam dunia ini tidak pernah mengaku dia sesat, walaupun dia sesat. Saya nasihat jangan kita cari benda yang sudah dihukum ribuan tahun salah, tiba-tiba kita nak terima (Syiah), kenapa?

“Sebab sekarang kita berada dalam keadaan yang cukup selamat, kenapa nak tukar fahaman (di Malaysia), isu ini timbul sebab ada orang kita mudah terpengaruh dan ada sifat ingin menunjuk,” katanya memetik laporan portal berita FMT.

Menurut Harussani, fahaman Syiah jelas menyimpang daripada fahaman Sunnah yang diamalkan majoriti rakyat Malaysia.

“Kita Malaysia tidak iktiraf langsung fahaman lain seperti ajaran Syiah, kita tidak benarkan masyarakat kita amalkan ajaran Syiah atau Syiah dikembangkan di negara ini,” katanya.

Mengulas dakwaan pengikut Syiah bahawa mereka tidak sesat dan menyeleweng, Harussani berkata tidak ada mana-mana pengikut agama di dunia ini yang akan mengaku mereka salah.

Pendirian Harussani senada Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang menegaskan Syiah tidak sepatutnya diberi hak untuk disebarkan di Malaysia kerana Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1996 memutuskan sebarang ajaran mengenai agama Islam selain ajaran Sunnah adalah bercanggah dengan hukum syarak.

Rahman turut menyeru pihak berkuasa melakukan pemantauan secara bersungguh dalam membanteras penyebaran Syiah di Malaysia kerana isu sama berulang menjelang Hari Asyura setiap tahun.

“Ajaran Syiah boleh pecah-belahkan masyarakat Islam di Malaysia jika ia tidak dikawal secara bersungguh, sepatutnya mereka tidak diberi hak di Malaysia kerana kita berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah bermazhab Shafie.

“Sedangkan mazhab lain kita tidak benarkan di Malaysia inikan pula ajaran Syiah. Fahaman ini mengelirukan jika diamal di Malaysia,” katanya sambil memaklumkan fahaman itu mungkin lebih sesuai diamalkan di negara yang majoriti mengamalkan ajarannya.

Rahman berkata, selain ajaran Syiah, fahaman lain juga tidak sesuai diamalkan Malaysia termasuk Wahabi dan Qadiani kerana dibimbangi akan memecah-belahkan umat.

“Macam Wahabi ia Islam tapi ia boleh memecahbelahkan masyarakat dan dari segi akidah ada benda yang Wahabi bercanggah dengan ahli Sunnah,” katanya.

Terdahulu, Mufti Pulau Pinang berkata pengikut ajaran Syiah sepatutnya diberi kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan mereka selagi mereka tidak menyebarkan kepada umat Islam lain yang berpegang kepada aliran Sunnah.

“Kalau penganut semua agama selain Islam dibenarkan mengamalkan agama masing-masing di tempat-tempat tertutup, kenapa pula pengikut Syiah perlu dilarang? Kita mesti konsisten dan tidak memilih sesuka hati saja,” katanya kepada FMT.

 

 

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid juga menyokong tindakan penguatkuasaan oleh JAIS yang menyerbu dan menahan beberapa pengikut ajaran Syiah menerusi operasi dilaksanakan baru-baru ini.

Beliau berkata, JAIS telah diberi mandat oleh Ketua Agama Negeri Selangor supaya mengambil tindakan secara berhikmah terhadap mana-mana ajaran yang berkembang secara menyeleweng dan sesat di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya JAIS dan pasukan yang telah dilatih mengambil tindakan tersebut sebaik mungkin tanpa menganiayai mana-mana pihak.

“Maksud secara hikmah di sini ertinya tindakan itu bersalurkan kepada justifikasi dan bukti-bukti yang boleh menyebabkan mereka ini diambil tindakan dan ia bukannya secara melulu.

“Tindakan JAIS ini adalah bermatlamat untuk memberikan pengajaran kepada pihak-pihak yang melanggar undang-undang yang ditetapkan menerusi Enakmen Undang-Undang Islam Negeri Selangor,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, JAIS melakukan serbuan ke atas markas Syiah di sekitar Gombak selepas mendapat aduan orang awam berhubung aktiviti yang dilakukan oleh pengikut ajaran itu.

Susulan itu, sebuah portal melaporkan kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata pengikut ajaran Syiah sepatutnya diberi kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan mereka selagi pihak berkenaan tidak menyebarkan ajaran itu kepada umat Islam lain yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mengulas lanjut, Tamyes berkata, ajaran tersebut sememangnya menyalahi peraturan ditetapkan dalam enakmen terlibat.

“Kita selaku umat Islam di Selangor berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, akidah kita pula Mazhab Asy’ariyah Maturidiyah, syariah kita berpegang kepada mazhab muktabar iaitu mazhab Shafie, mazhab Hanafi, mazhab Maliki dan mazhab Hambali.

“Kemudian dari segi tasawuf atau akhlak kita pula adalah daripada pandangan Imam Al Ghazali. Itu semua sudah jelas,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *