home Kalam Tokoh, Semasa Muslim mesti mengutamakan produk Muslim: Timbalan Mufti Perak

Muslim mesti mengutamakan produk Muslim: Timbalan Mufti Perak

 

ABU Hasan `Ali al-Nadwi, seorang ulama hebat bukan berbangsa Arab pernah mengkritik dunia Arab dalam bukunya ‘Apakah kerugian yang dialami oleh dunia disebabkan kejatuhan orang Islam’.

Beliau secara sinis menyatakan: “Sepatutnya dunia Arab sebagai dunia Islam mampu memiliki sendiri dan menguasai dunia perniagaan, hartanah, pendidikan dan industri. Bangsa ini sepatutnya tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya.

Sesungguhnya dunia Arab sepatutnya mampu untuk memerangi Barat jika keadaan memerlukan. Tetapi hakikatnya mereka selamanya gagal menyaingi Barat selagi mereka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan.

Tidak ada pen yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pen tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat melainkan senjata itu dibuat di Barat.

Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain.”

Ekonomi adalah salah satu sendi penting untuk menegakkan kekuatan ummah. Selagi kita tidak mampu berdiri dengan sendirinya, kita akan terus menjadi umat yang lemah. Begitu jugalah hakikat umat Islam di Malaysia, seharusnya terus berusaha mengeluarkan berbagai produk dan keperluan sehingga kita tidak bergantung kepada orang lain.

Alhamdulillah sudah banyak produk yang dihasilkan oleh orang Islam di Malaysia.

Kuasa membeli terbesar terletak pada tangan umat Islam di negara ini. Sewajibnya Muslim mesti mengutamakan produk-produk saudara muslimnya sendiri.

 

 

Ini adalah salah satu bentuk tolong menolong yang berpahala. Mereka yang tidak menyertai kempen ini, melupai bahawa diri mereka adalah satu juzuk daripada umat, juga melupai tanggungjawab ukhuwwah Islamiah.

Nabi SAW memuji kaum al-Asy’ariyyin iaitu kaum Abu Musa al Asy’ari yang mengutamakan kaum sendiri tolong menolong sesama mereka ketika susah. Sabda baginda: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila keluar berperang, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maksud “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi SAW dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah.

Kita umat Islam sangat perlu mengambil pengajaran terhadap hadis di atas ketika kita ingin membina semula kekuatan umat Islam di negara ini. Tatkala kekuatan ekonomi tidak dikuasai oleh umat Islam bahkan jauh ketinggalan mengutamakan barangan umat Islam adalah satu tuntutan.

Sudah tentu ia tidak termasuk di dalam asabiyyah yang dilarang oleh Rasulullah SAW. Nabi SAW dalam hadith di atas memuji kaum al-`As`ariyin yang sentiasa tolong menolong sesama sendiri dan tidak menganggap itu sebagai sikap berpuak yang dicemuh.

Sebaliknya baginda memuji mereka. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadith di atas: “Sesungguhnya Nabi SAW memerangi `asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-`As`ariyin sebahagian daripada baginda.

Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan.

Membantu sesama muslim adalah antara tanggungjawab yang mesti dipikul oleh bahu setiap yang beriman dengan ayat Allah: “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara” (Al-Hujurat: 10).

Bagi membuktikan persaudaraan islam yang tulin, baginda Nabi SAW menghuraikan di dalam hadithnya, daripada Abi Musa RA, sabda Nabi SAW: “Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *