home Semasa Umat Islam diseru bersungguh beli, sokong produk Muslim: Mufti Perak

Umat Islam diseru bersungguh beli, sokong produk Muslim: Mufti Perak

 

IPOH – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyeru umat Islam di negara ini supaya bersama-sama menjayakan agenda memperkasa ekonomi ummah dengan berusaha bersungguh-sungguh membeli dan menyokong produk Muslim.

Beliau berkata, Islam menuntut umatnya untuk berusaha memperkasa ekonomi dengan mengeluarkan serta membekalkan produk buatan sendiri disebabkan mereka mengetahui hukum-hakam serta prinsip-prinsip penyediaan sesuatu produk.

Namun pada masa sama, katanya, Islam tidak menafikan hak serta penglibatan orang bukan Islam dalam berjual beli dengan syarat mematuhi hukum serta etika pengeluaran sesuatu produk.

“Asas kepada urusan jual beli yang dititikberatkan dalam Islam ialah unsur saling meredhai (taradhin) manakala konsep ta’awun atau tolong-menolong merupakan perkara asas dalam agama Islam termasuklah dalam jual beli sekali gus mempunyai kebaikan dan falsafah tersendiri dalam membangun serta menjaga kepentingan ekonomi umat Islam.

“Kempen Utamakan Produk Muslim (BMF) yang diketengahkan dalam masyarakat negara ini adalah implementasi daripada konsep ta’awun yang bertujuan memperkasa ekonomi umat Islam di negara ini.

“Oleh itu, adalah menjadi keutamaan kepada umat Islam untuk mendaulatkan segala perintah al-Quran dan al-Hadith dalam segenap aspek kehidupan termasuk jual beli serta dikira sebagai mujahadah dan ibadah di sisi Allah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

 

Dalam pada itu, Harussani berkata, umum mengetahui bahawa kekuatan sesuatu bangsa adalah dipengaruhi oleh kekuatan ekonominya.

Sehubungan itu katanya, sebagai umat Islam, kekuatan akidahlah yang akan mempengaruhi kekuatan ekonomi mereka.

“Seorang Islam yang kuat akidahnya akan memperkuatkan ekonominya dengan memastikan rantaian produk mestilah bersumberkan yang halal dan thoyyib.

“Thoyyib merujuk kepada perkara-perkara kebaikan yang ada pada produk tersebut meliputi sumber-sumber bahan mentah dan kaedah-kaedah penyediaan termasuklah pekerja yang bersih serta mempunyai hati ikhlas dan jujur,” katanya. – Utusan Online

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

One thought on “Umat Islam diseru bersungguh beli, sokong produk Muslim: Mufti Perak

  1. Alhamdulillah, Para Mufti kini lantang bersuara, kami insan kerdil dan golongan marhain ini sentiasa menunggu2 kalam Para Mufti untuk jadikan penguat keyakinan dan semangat dalam mendepani isu2 ummah terkini.

    Bila Ulama menzahirkan sikapnya yang tegas sebegini mampu membangunkan jiwa2 yang masih “tidur” untuk terjaga dan membuka mata dan minda utk bangkit bersama dengan sahabat muslimnya yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *