home Kolumnis, Semasa Wanita merdeka dengan Islam

Wanita merdeka dengan Islam

Wanita mendapat pembebasan pertamanya dengan kedatangan Islam. Sebelum kedatangan Islam, wanita suatu ketika dahulu diletakkan di tempat yang hina dan sering berhadapan dengan penindasan. Pada zaman kegelapan, harga diri wanita dipersia-siakan, mereka diperlakukan seperti binatang, dianggap sebahagian sebagai syaitan malah tidak mempunyai hak ke atas diri mereka sendiri. Seumpama barangan, mereka dibahagikan kepada ahli waris bahkan tidak langsung mempunyai hak untuk mewarisi.

Di semenanjung Arab sebelum kedatangan Islam, keadaan wanita tidak jauh berbeza kecuali beberapa perempuan Mekah dari golongan terhormat seperti ibunda Rasulullah SAW Aminah binti Wahab dan Khadijah binti Khuwailid. Selain mereka, wanita dilayan dengan buruk malah menjadi simbol keaiban yang ingin dihindari. Hinggakan apabila seseorang menerima berita kelahiran seorang anak perempuan seolah dia ditimpa malapetaka besar seperti mana yang diceritakan kepada kita melalui firman-Nya:

“Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. Ia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil ia berfikir): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu”. (An-Nahl: 58-59)

Pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul pembawa rahmat menukarkan kebencian terhadap wanita serta perlecehan terhadap peranan mereka kepada keterujaan menerima anak perempuan dan penghormatan terhadap peranan wanita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“ Barangsiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia mendidik akhlak, mengajari dan menyayanginya, maka baginya syurga.” Salah seorang sahabat bertanya , “ Andainya dia memiliki dua anak perempuan?” Rasulullah menjawab, “ Andai dia memiliki dua anak perempuan (juga baginya syurga).” Sahabat yang lain berkata, “Andainya dia memiliki satu anak perempuan?” Rasulullah SAW lalu tersenyum.

Wanita dalam Islam, dibebaskan dari kebencian, penghinaan dan penindasan dengan syariat yang memeliharanya dan meletakkannya di tempat yang tinggi. Kecantikan mereka dipelihara dengan pensyariatan menutup aurat, maruah mereka dilindungi dengan perintah menundukkan pandangan dan larangan khalwat, kedudukan mereka dihargai dengan keutamaan ibu dan kewajipan memuliakan mereka. Sabda Rasulullah SAW:

“Seorang pemuda berjumpa dengan Rasulullah SAW dan berkata:  Wahai Rasulullah s.a.w, siapakah orang yang lebih berhak mendapat layanan dan kasih sayangku?  Nabi s.a.w berkata:  Ibumu.  Kemudian siapa pula?  Nabi s.a.w berkata:  Ibumu.  Dia bertanya lagi:  Kemudian siapa pula?  Nabi menjawab:  Ibumu.  Bertanya lagi beliau:  Kemudian siapa?  Nabi s.a.w berkata:  Bapamu.”  (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam melalui syariatnya telah membebaskan wanita daripada segala bentuk kongkongan zalim dan penindasan. Namun untuk seorang wanita itu merasai erti kebebasan yang sebenar, ia perlu memiliki dua perkara:

Pertama: Kebergantungan penuh kepada Allah dan mencapai keredhaan-Nya

Apabila seorang wanita meletakkan keredhaan Allah sebagai matlamatnya, pada saat itulah seorang wanita seolah-olah dilepaskan dari pelbagai ikatan yang mengongkong dan menariknya dari terbang tinggi menuju Allah. Seorang wanita hanya akan berpakaian untuk mendapat keredhaan Allah, melakukan pekerjaan yang diredhai Allah, berakhlak dengan akhlak yang Allah redha. Tanpa terikat dengan ikatan kemasyhuran, pangkat, pengiktirafan manusia, harta dan lain-lain. Kebergantungan penuh kepada Allah pula menjamin seorang wanita itu tidak mudah putus asa mahupun kecewa dalam usaha menggapai redha-Nya.

Kedua: Ketundukan kepada syariat

Matlamat mencapai keredhaan Allah semata tidak cukup untuk membebaskan wanita sekiranya tidak dipandu oleh syariat. Ketundukan kepada syariat memandu wanita untuk mencapai kebebasan yang sebenar tanpa terpesong oleh kelemahan nafsu dan ikatan-ikatan dunia. Ini kerana Islam merupakan deen fitrah, yang mana selagi mana seseorang wanita itu tidak mengikut syariat, maka fitrahnya akan berlawanan dengan pilihannya yang tidak mematuhi syariat. Lantas, ahli maksiat yang disangkakan bebas melakukan apa sahaja keinginan hati, hakikatnya jiwanya tidak akan tenteram,  walau dunia di dalam genggamannya.

Ayuh para sahabat wanita yang saya kasihi sekalian, kembalilah mengecapi kebebasanmu yang sebenar. Sepertimana dahulunya kita dibebaskan oleh Islam!

Ustazah Kauthar Binti Jamalludin
Ketua Wanita
Ikatan Muslimin Malaysia Hulu Langat

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *