home Semasa Batalkan larangan kempen BMF terhadap masjid di Perak

Batalkan larangan kempen BMF terhadap masjid di Perak

 

1. SAYA amat kecewa dengan keputusan kerajaan negeri Perak yang memutuskan untuk melarang kempen Buy Muslim First (BMF) di masjid-masjid seluruh negeri itu melalui keputusan mesyuarat yang dibuat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).(1)

2. Sedangkan, menurut Seksyen 7(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004:
“Maka hendaklah menjadi kewajipan Majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan selaras dengan Hukum Syarak.”

3. Pada 10 September 2019, Mufti Perak dalam satu kenyataan telah menyebut bahawa:
“Kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) yang diketengahkan dalam masyarakat negara ini ketika ini adalah implementasi daripada konsep ta’awun yang bertujuan memperkasa ekonomi umat Islam di negara ini.”(2)

4. Selanjutnya, Mufti Perak menegaskan:
“Adalah menjadi keutamaan kepada umat Islam untuk mendaulatkan segala perintah al-Quran dan al-Hadis dalam segenap aspek kehidupan termasuk aktiviti jual beli dan dikira sebagai mujahadah dan ibadah di sisi Allah SWT,”

5. Berhubung produk bukan Muslim, Mufti juga memperjelaskan:
“Bagaimanapun, pada masa sama Islam tidak menafikan hak dan pembabitan orang bukan Islam dalam urusan berjual beli dengan syarat ia mestilah mematuhi hukum dan etika pengeluaran sesuatu produk, malah asas kepada urusan jual beli yang dititik beratkan dalam Islam adalah wujudnya unsur saling meredai (taradhin),”

6. Penglibatan Jabatan Mufti Perak dalam program tersebut seharusnya tidak menimbulkan rasa kecewa, malah kerajaan sepatutnya menyambut baik peranan yang dimainkan kerana ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk menggalakkan kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di Perak selaras dengan hukum syarak.

7. Exco Agama perlu sedar bahawa walaupun menjadi tugas MAIPk untuk menasihati DYMM Sultan, ia adalah dalam perkara berhubung agama Islam di Perak, kecuali perkara-perkara hukum syarak dan yang berhubung dengan pentadbiran keadilan.

 

 

8. Seksyen 6 Enakmen tersebut berbunyi:
“Majlis hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan, kecuali perkara-perkara Hukum Syarak dan yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan…”

9. Exco Agama, Asmuni Awi juga harus sedar bahawa tugas Mufti Perak adalah untuk menasihati Sultan dalam perkara Hukum Syarak.

10. Seksyen 34 menyebut bahawa:
“Mufti hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak…”

11. Maka sekiranya Mufti tidak mendapati bahawa kempen BMF adalah sesuatu yang haram, dilarang oleh agama, bahkan ia melibatkan produk orang Islam yang lebih diyakini halal (maka tidak bercanggah dengan polisi kerajaan mempromosi produk halal), apatah lagi ia bertujuan mendukung ekonomi umat Islam di Perak sesuai dengan fungsi Majlis, maka Exco Agama dan kerajaan negeri tidak mempunyai alasan untuk melarang kempen tersebut dijalankan di masjid-masjid.

12. Ia dilihat sebagai salah satu usaha untuk menarik lebih ramai orang Islam untuk bertandang ke masjid dan mengimarahkan masjid dalam konteks beribadah dalam bermuamalah dan berurus niaga demi umat.

13. Oleh itu, saya menggesa agar Exco Agama, MAIPk dan kerajaan negeri Perak menarik balik larangan tersebut demi kepentingan umat Islam, dan agar MAIPk tidak dipergunakan untuk kepentingan politik.

Danial Ariff Shaari

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *