home Semasa Berjasa sedia tanding, pertaruh calon Melayu Islam wibawa di Tanjung Piai

Berjasa sedia tanding, pertaruh calon Melayu Islam wibawa di Tanjung Piai

 

BANGI – Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) bersedia mengetengahkan calon Melayu berwibawa sekiranya diberi peluang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 16 November depan.

Presidennya, Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, Berjasa bersedia menjadi calon PRK Tanjung Piai sekiranya disokong kuat daripada semua pihak.

“Bagi Berjasa, selain daripada calon Melayu yang berwibawa, sokongan padu daripada semua pihak amat penting terutama PAS dan Gagasan Sejahtera serta UMNO dan Barisan Nasional termasuk NGO-NGO Melayu untuk merampas kerusi daripada PH,” katanya kepada Ismaweb.

Beliau berkata demikian mengulas saranan Gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) supaya Berjasa mempertimbangkan bertanding PRK Parlimen Tanjung Piai, jika UMNO meletakkan calon bukan Melayu.

Terdahulu, Amir Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, tiada sebab untuk pembangkang mempertaruhkan calon berbangsa Cina, kerana difahamkan kerusi Parlimen berkenaan adalah kawasan majoriti Melayu.

Menyambut baik cadangan Ustaz Abdullah, Badhrulhisham berkata, Berjasa bersedia mengetengahkan calon berwibawa yang terdiri daripada tokoh nasional dan profesional dari kalangan anak jati Johor termasuk Tanjung Piai sendiri.

 

 

“Selain itu, Berjasa juga bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana calon Melayu berwibawa bertanding dari mana-mana parti Melayu,” katanya.

Setakat ini, BN dan PAS belum membuat keputusan berhubung calon di Tanjung Piai. Namun, sudah kecoh mengatakan MCA mahu mempertahankan kerusi itu yang dianggap sebagai ‘tradisi’.

PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat sakit jantung pada 21 September lalu.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU14 adalah kawasan majoriti Melayu, memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *