home Kolumnis, Semasa Debat bertujuan mengangkat Islam, bukan mempertikai syariat: MUIS

Debat bertujuan mengangkat Islam, bukan mempertikai syariat: MUIS

 

SEMALAM tular tentang Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 di kalangan pelajar-pelajar sekolah yang melibatkan topik-topik kontroversi berkaitan asas Islam. Berikut adalah pendirian Majlis Ulama ISMA (MUIS):

1. Debat secara asasnya adalah perkara yang diiktiraf dalam Islam. Ini kerana ia adalah tindakan menggunakan akal untuk berfikir secara kritis terhadap sesuatu isu untuk mendapatkan pandangan yang terbaik. Atas asas ini jugalah wujudnya konsep “khilaf” yang membolehkan umat Islam berbeza pandangan dalam sesuatu isu.

2. Namun ini tidak bermaksud semua sudut dalam Islam boleh didebatkan atau dinilai menggunakan akal. Islam iaitu sebuah agama bersifat tanzil melalui wahyu sepatutnya memandu manusia dalam berfikir. Dengan wahyu bersifat kebenaran mutlak itulah manusia mengetahui haq dan batil, hakikat dan fantasi, makruf dan mungkar yang kesemuanya memandu fikiran manusia, bukan sebaliknya.

3. Atas asas ini jugalah bukan semua perkara dalam Islam boleh dikhilafkan atau dinilai menggunakan akal. Padanya ada sudut “tsawabit” atau “ittifaq” yang perlu dipegang oleh seluruh umat Islam walaupun adakalanya tidak dapat difahami oleh akal. Saidina Ali ra pernah menegaskan perkara ini saat wujud pada zamannya usaha-usaha menafsir agama dengan akal:

لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْىِ لَكَانَ أَسْفَل الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلاَهُ

Maksudnya: Sekiranya agama itu berdasarkan kepada logik akal semata, nescayalah bahagian bawah khuf itu lebih utama untuk disapu berbanding bahagian atasnya. (Riwayat Abu Daud)

4. Seperti mana kesyumulan Islam dengan maksud menujukan seluruh urusan kehidupan kepada Allah, asas debat berkaitan agama dalam Islam juga hendaklah berasaskan membawa manusia kepada Penciptanya. Seperti mana debat Nabi Ibrahim dengan Namrud, Nabi Musa dengan Fir’aun, Nabi Lut dengan kaumnnya, Nabi Muhammad dengan Yahudi serta banyak lagi kisah al-Quran yang meletakkan asas ini. Inilah intipati dakwah manusia dengan hikmah.

ٱذۡهَبَآ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ إِنَّهُ ۥ طَغَىٰ (٤٣) فَقُولَا لَهُ ۥ قَوۡلاً۬ لَّيِّنً۬ا لَّعَلَّهُ ۥ يَتَذَكَّرُ أَوۡ يَخۡشَىٰ

Maksudnya: Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia BERINGAT DAN TAKUT (kepada Allah). (Surah Taha: 44)

 

 

5. Oleh itu tindakan debat yang berlaku dalam isu ini yang mempersoalkan tentang undang-undang Syariah, menukar isi kandungan al-Quran dan merubah keharaman homoseksual adalah satu bentuk debat yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Ini kerana isi kandungan seperti itu akan mengundang peserta untuk berfikir dalam kerangka merungkai syarak itu sendiri serta menimbulkan keraguan terhadap Islam dikalangan penonton yang hadir.

6. Debat seperti ini bukan sekadar bertindak biadab terhadap Islam yang umatnya merupakan majoriti di negara ini, tetapi ia adalah satu tindakan menghina Islam, Yang di Pertuan Agong serta Sultan-sultan yang merupakan ketua negeri bertanggungjawab terhadap Islam pada setiap negeri.

7. Oleh itu, MUIS menyeru pihak berkuasa supaya tindakan yang tegas perlu dikenakan terhadap penganjur debat ini. Penganjur perlu disiasat kerana setiap penganjur ada matlamat dan objektif masing-masing yang ingin dicapai dalam menganjurkan pertandingan. Jadinya tajuk-tajuk yang dipilih jelas menunjukkan terdapatnya tujuan untuk menghina Islam dalam penganjuran.

8. Tindakan yang tegas dan segera ini perlu supaya memberi pengajaran pada mereka dan seluruh masyarakat Malaysia amnya. Menerima Malaysia sebagai tanah air sepatutnya disertakan mengiktiraf Islam sebagai agama negara.

Moga Allah memelihara negara ini daripada mereka yang berterusan merancang untuk merungkai Islam.

Memandu Masyarakat Mendaulat Syariat

Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *