home Semasa BMF promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan halal

BMF promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan halal

Kempen Beli Produk Muslim Dahulu (BMF) yang dilancarkan pada 2 April oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bertujuan memberi galakan kepada ekonomi orang Islam selain mengetengahkan produk serta perkhidmatan halal seluruh negara.

Bagaimanapun, kempen yang dilancarkan badan bukan kerajaan (NGO) Islam itu menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan beberapa pihak di negara ini. Ada yang menyokong bahkan ada yang memandang serong.

Ikuti temubual eksklusif Ismaweb.net bersama Penganalisis ekonomi, Prof Emer Dr Barjoyai Bardai berhubung kempen itu.

Ismaweb.net: Apa pandangan Prof berkenaan kempen ini? Adakah kempen ini berbahaya kepada ekonomi negara seperti dakwaan segelintir pihak?

Prof Barjoyai: Sebenarnya bagi saya, kita perlu mula daripada satu perspektif lain iaitu perspektif halal. Pengguna muslim resah kerana melihat konsep halal ini ditafsirkan berbeza-beza kerana lebih 90 peratus pengeluar barangan halal adalah kumpulan bukan Islam. Maknanya kepada pengeluar barang halal, apa yang ditakrifkan sebagai halal bagi mereka kerana mereka bukan Islam adalah asalkan tidak ada khinzir, alkohol. Ini meresahkan pengguna Islam kerana kepada kita semua takrif halal itu lebih luas daripada itu. Contohnya halal untuk makanan yang berasal daripada haiwan adalah haiwan yang halal disembelih dan diproses secara Islam. Konsep khinzir itu pun banyak disalahtafsirkan di mana kepada pengeluar bukan Islam, khinzir itu daging babi tetapi kepada kita, khinzir itu meliputi apa-apa juga elemen dan komponen daripada haiwan itu termasuk gelatin, kulit dan pelbagai lagi. Resahan ini menyebabkan selalu kita dengar dan baca di dalam internet mengatakan setengah barang adalah tidak halal walaupun sudah mendapat pengesahan jenama halal kerana kandungan-kandungan ini yang tidak disengajakan mungkin oleh pengeluar, peniaga bukan muslim. Atas sebab itu pengguna-pengguna muslim sentiasa menunggu dan mencari apakah pilihan lain untuk penggunaan bagi barang-barang yang benar-benar halal. Kempen Buy Muslim First merupakan satu jawapan kepada keresahan mereka kerana ini memberikan satu potensi ataupun harapan kepada mereka untuk benar-benar mendapatkan barang-barang halal khususnya makanan.

Kemudian kalau kita lihat definisi halal itu, mengikut JAKIM konsep halal itu berasas pada nas dlm al-Quran, halalan toyibban, maksudnya halal dan bersih. Tapi kalau di negara seperti di Brunei, konsep halal itu diluaskan meliputi konsep halalan kamilan, iaitu halal yang sempurna. Di Brunei, jika kita pergi ke hotel yang besar pun restorannya akan tertulis di situ, ini bukan makanan untuk orang Islam. Kenapa? Kerana restoran itu dimiliki oleh orang bukan Islam, pekerjanya bukan Islam, tukang masaknya bukan Islam dan pembekalnya pun bukan Islam. Brunei hari ni mengemukakan satu perspektif halal, khusus untuk barang makanan, untuk menjadikan sesuatu makanan halal pengusahanya mestilah muslim, tukang masaknya mestilah muslim, pembekalnya mestilah muslim, dan pekerja-pekerja lain pun mesti muslim. Lebih luas jika boleh, pembiayaannya pun mengggunakan kaedah halal. Jika ini boleh dilaksanakan, kita boleh pastikan barang-barang yang dikeluarkan itu makanan yang dihidangkan adalah benar-benar halal. Dan konsep halal ini sebenarnya mempunyai banyak perspektif dan kehalusannya. Contohnya satu masa, Kuwait Finance House memperoleh keuntungan yang sangat besar daripada perniagaan perbankannya di Malaysia. Bila pendapatan atau keuntungan ini dihantar semula ke Kuwait, ibu pejabat bank Kuwait Finance House ini menolak keuntungan itu dan mengatakan keuntungan itu tidak halal, dan membuat keputusan untuk sedekahkan semua keuntungan itu tetapi mensyaratkan supaya ia tidak diberi kepada orang Islam untuk digunakan kerana ia tidak halal. Ia tidak halal kerana kaedah pembiayaan yang digunakan di Malaysia ini, walaupun memenuhi kehendak syariah tetapi ada keraguan kerana perbezaan pandangan mazhab. Maknanya perspektif halal itu perlu diperincikan.

Balik semula kepada BMF, kempen ini mewujudkan satu harapan untuk mewujudkan satu peluang kepada pengguna-pengguna Islam mendapatkan barang-barang yang halal khususnya barang-barang makanan sebagai asas. Kemudian jika kita lihat daripada aspek peluang pula kepada peniaga-peniaga muslim, mereka cuba sedaya upaya untuk mengeluarkan barang yang benar-benar halal. Ini kerana mereka sebagai seorang muslim yang bertanggungjawab ingin memastikan semua pelanggannya mendapat barangan yang benar-benar halal. Ini boleh menyebabkan kos pengeluarannya agak sedikit mahal dan mereka mengalami masalah untuk memasarkan barang-barang keluarannya kerana mungkin skop perniagaannya kecil, saiznya kecil, oleh itu pengeluarannya juga kecil. Mereka tidak dapat masuk ke supermarket dan hypermarket juga kerana kaedah-kaedah atau syarat-syarat pembelian dikenakan agak ketat oleh peruncit-peruncit hypermarket dan supermarket. Disebabkan ini, banyak barang-barang keluaran peniaga muslim tidak sampai ke pasaran maknanya ia tersorok di kawasan-kawasan yang dekat dengan kilang saja. Dengan wujudnya kempen BMF ini, ia memberi harapan kepada peniaga-peniaga muslim ini dalam anggaran lebih lima ribu peniaga yang mengeluarkan barang makanan yang halal. Setengah daripada mereka tidak ada logo halal pun kerana untuk mendapatkan logo halal bukanlah satu usaha yang mudah. Tetapi mereka yakin sebagai peniaga muslim mereka mengeluarkan barang yang halal. Jadi kempen BMF ini sebenarnya menemukan kedua-dua pihak, pelanggan yang sangat memerlukan barang-barang halal, pengguna atau peniaga-peniaga muslim yang perlu memasarkan barang-barang keluaran halal. Barang-barang keluaran halal ini memang diperlukan oleh pengguna muslim. Jadi ia adalah satu usaha untuk menemukan pelanggan dan pengeluar yang mempunyai minat yang sama.

Ismaweb.net: Adakah kempen BMF ini memberi tanggapan negatif kepada pelancong?

Prof Barjoyai: Kita berniaga barangan halal dan barangan halal ini tiada kena mengena dengan kaum. Ia berkait dengan agama sebab kita sebagai orang Islam perlu makan barang-barangan yang halal. Jadi ia tidaklah perkauman kerana banyak juga peniaga halal ini yang merupakan orang Islam selain daripada keturunan Melayu. Banyak peniaga daripada bangsa India, Cina dan bangsa lain yang juga mengeluarkan barangan halal dan mereka juga orang Islam. Jadi, ia bukan perkauman. Kepada pelancong sebenarnya pengalaman saya sendiri apabila keluar negara, saya akan cuba mencari hotel yang paling dekat dengan masjid kerana walaupun hotelnya kurang selesa tetapi kerana ia berdekatan dengan masjid pastinya akan ada restoran halal dan barang-barang keluaran halal yang berada di sekitar masjid itu. Begitu juga dengan kempen ini, jika kita dengan tegas menonjolkan barang-barang keluaran muslim yang halal, ini sebenarnya akan menarik pelancong-pelancong yang beragama Islam. Kita mempunyai lebih daripada 1.5 bilion penduduk beragama Islam di seluruh dunia dan mereka melancong ke seluruh dunia. Mereka melihat Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik kerana negara ini bukan sahaja sebuah negara Islam tetapi sebuah negara yang sedang membangun dan akan menjadi sebuah negara maju tidak lama lagi. Oleh itu, kita sebenarnya melihat BMF ini sebagai satu promosi Malaysia sebagai satu destinasi pelancongan halal. Kepada bukan muslim, sebenarnya orang bukan muslim pun datang ke Malaysia untuk merasa masakan orang muslim di Malaysia yang berbeza dengan masakan yang biasa mereka makan dan masakan muslim di negara-negara lain di dunia. Boleh jadi mereka datang ke Malaysia kerana tertarik dan ingin belajar cara hidup, cita rasa, dan cara pemakanan dan orang Islam.

Ismaweb.net: Benarkah dakwaan bahawa BMF hanya akan memakan diri peniaga muslim kerana terpaksa bersaing dengan barangan halal non-muslim yang diiktiraf halal oleh JAKIM?

Prof Barjoyai: Ada kebenaran kepada dakwaan itu jika peniaga, pengeluar produk halal ini adalah mereka yang bergantung kepada bahan mentah yang dikeluarkan oleh peniaga bukan Islam. Jika ini berlaku bermakna mereka terpaksa menghentikan bekalan ini daripada peniaga bukan Islam kerana itu akan menjadikan barangan keluaran mereka meragukan dan peniaga-peniaga bukan Islam yang membekalkan barang mungkin tidak bersimpati dengan mereka kerana tidak memahami apakah falsafah dan prinsip Islam yang diamalkan oleh orang Islam. Tapi dalam jangka pertengahan dan jangka masa panjang kita lihat bahawa Malaysia dan penduduk muslim di Malaysia begitu kehadapan, berupaya mengeluarkan bahan-bahan mentah dan barang-barang keluaran halal yang original. Mereka tidak memerlukan peniaga bukan Islam untuk membekalkan barang-barang mentah. Isu yang mungkin wujud di jangka pendek ialah peniaga-peniaga Islam tidak mampu untuk mendapatkan sijil halal dan dengan itu ia akan menghadapi isu dalam pertandingan kerana sesetengah pengguna masih lagi berasaskan kepada logo untuk membeli. Jika kita pergi kepada UK misalnya, kita tanya adakah peniaga itu muslim dan apabila kita telah menerima hakikat bahawa peniaga itu muslim, apa yang dia hidangkan kita terima sebagai halal. Mungkin perkara yang sama juga berlaku di Malaysia, jika orang Melayu yang jual kita tidak tanya lagi halal atau tidak. Itu menjadi isu yang agak teoritikal sama ada sijil halal itu penting dalam pertandinagn perniagaan pada masa hadapan. Saya rasa dalam jangka pertengahan dan panjang, ini menjadi satu cabaran untuk peniaga muslim untuk maju kehadapan. Namun ia tidak menjadi penghalang sebaliknya pemangkin kepada kejayaan peniaga muslim di Malaysia.

Ismaweb.net: Mampukah kempen BMF ini mengekalkan momentum harga barangan untuk sentiasa turun?

Prof Barjoyai: Saya rasakan bahawa supermarket dan hypermarket terpaksa menurunkan harga kerana mereka perlu menghabiskan stok dan pada masa sama mereka perlu memikirkan strategi baru bagaimana nak bertanding di pasaran di mana orang Islam hanya nak membeli daripada peniaga Islam. Dalam jangka masa panjang, mungkin peniaga-peniaga bukan Islam ini akan menstruktur semula perniagaan seperti menjemput peniaga Melayu menjadi rakan kongsi untuk memastikan barang-barang keluarannya adalah benar-benar halal dan diterima. Saya harap ini akan berterusan, tetapi kita tidak boleh menjangkakan barang-barang pasaran akan terus turun kerana pasaran yang cekap akan sentiasa menyelaraskan harga berkait dengan permintaan dan penawaran.

Ismaweb.net: Ada dakwaan menyatakan bahawa BMF hanya akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara, apa pendapat Prof?

Prof Barjoyai: Sebenarnya di Malaysia ini kita mengalami masalah struktur ekonomi di mana perniagaan dikuasai oleh segelintir peniaga. Di Malaysia misalnya ada 1,000 syarikat yang tersenarai dan 1,000 syarikat yang tersenarai itu 80 peratus dimiliki oleh keluarga dan mereka menguasai sebahagian besar ekonomi negara. Kapitalisma ataupun nilai perniagaan mereka hari ini menjangkau lebih dari 1.5 trillion. Kepada peniaga Islam, mereka sebelum ini mungkin bekerja, baru mula berniaga dan menjinak-jinakkan diri dengan dunia perniagaan. Justeru, BMF mewujudkan satu arena pasaran yang baru bagi mereka. Di satu pihak ia akan mengembangkan perniagaan orang Islam. Bukan sahaja meningkatkan keluaran negara kasar tetapi mengubah struktur ekonomi menjadikan mereka yang dahulunya pendapatan kurang dari dua ribu ringgit kerana makan gaji, sekarang menjadi peniaga dan memperolehi pendapatan yang lebih tinggi. Ini akan menyeimbangkan semula kekayaan. Kepada peniaga-peniaga yang besar, BMF sebenarnya tidak menjejaskan perniagaan mereka kerana mereka pada hari ini pun bertanding di arena antarabangsa. Mereka boleh pergi ke pasaran global yang lebih luas sebenarnya. Ini akan mengembangkan lagi perniagaan dan memaksa mereka menjadi ‘global player’ ataupun perniagaan antarabangsa.

Ismaweb.net: Untuk jangka masa panjang, apa yang perlu usahawan Bumiputera lakukan untuk bersaing dengan usahawan lain? Cukupkah peranan kerajaan selama ini?

Prof Barjoyai: Saya rasa kita tidak boleh mengharapkan peranan kerajaan untuk menolong dan BMF pun bukanlah diinisiasikan oleh kerajaan. Sebenarnya BMF merupakan satu era baru di dalam dunia kepenggunaan di Malaysia di mana pelanggan-pelanggan, pengguna-pengguna bangun menyatakan minat dan hasrat mereka untuk menentukan apa yang mereka nak beli. Ini perlu diteruskan dan dengan sistem sosial media, BMF sudah cukup berjaya. Usahawan-usahawan muslim perlu menyahut BMF dengan mengembangkan dan mempercekapkan pengeluaran supaya kos mereka dapat diturunkan seterusnya mereka boleh menjual pada harga yang lebih rendah berbanding dengan harga bukan muslim. Selain itu, mereka perlu mengembangkan skop perniagaan meliputi barang-barang lain yang setakat ini tidak diceburi oleh peniaga muslim supaya dalam tempoh lima tahun, kita boleh berbangga kerana semua jenis barangan khususnya barang-barang makanan sudah diliputi oleh peniaga muslim. Oleh itu akan ada pembekal, peniaga muslim yang cukup stabil untuk membekal pasaran kepada pengguna muslim.

Ismaweb.net: Sekiranya BN atau PAS menang di PRU akan datang, adakah kemungkinan mereka akan menyambut kempen ini di peringkat Persekutuan?

Prof Barjoyai: Saya rasa tidak kisahlah BN atau PAS atau PKR, mereka tidak ada pilihan sebab mereka hanyalah sebuah kerajaan yang memerintah dan mereka pun tidak berani campur tangan dalam pasaran kerana pasaran di Malaysia adalah sebuah pasaran bebas, dipanggil free market, sistem di mana pengguna dan peniaga akan menggunakan kuasa mereka dalam permintaan dan penawaran untuk menentukan harga mereka. Jadi sama ada kerajaan menyokong atau tidak menyokong tidak menjadi soal besar kepada usaha BMF. Tetapi kalau kerajaan serius untuk mengimbangi pembangunan ekonomi Malaysia dan kekayaan antara kumpulan yang kaya dan miskin, mereka perlu menyokong usaha BMF kerana ia mewujudkan satu cara baru untuk menggalakkan orang Islam berniaga. Ini kerana 80 peratus rezeki datang dari perniagaan dan ia akan mewujudkan perseimbangan dalam ekonomi yang selama ini dikuasai oleh mungkin yang bukan Islam.

Ismaweb.net: Adakah MARA atau JAKIM boleh memainkan peranan dalam membantu memasarkan produk muslim?

Prof Barjoyai: Pasti. MARA sekiranya masih relevan lagi dalam negara ini boleh memainkan peranan kerana MARA merupakan institusi yang bertanggungjawab ke atas orang Melayu. Oleh itu mereka boleh menolong untuk mewujudkan pasaran (bukan dalam bentuk permintaan berkesan) seperti lokasi pasaran, mereka boleh tolong wujudkan supermarket hypermarket halal. Mereka boleh tolong menaja portal halal misalnya bagi menggalakkan orang Islam atau orang Melayu berniaga. JAKIM juga boleh memainkan peranan untuk mewujudkan satu kaedah baru mentakrifkan halal supaya ia sesuai dengan kehendak pengguna. Jika JAKIM ingin menolong, institusi itu boleh menyelesaikan isu peniaga Islam yang hari ini tidak mempunyai logo halal.

Ismaweb.net: Adakah Kempen BMF ini satu peluang untuk kerajaan bantu usahawan muslim memasarkan produk mereka ke negara-negara Islam seperti Indonesia dan Timur Tengah?

Prof Barjoyai: Sebenarnya di Indonesia, kerajaan dan juga gerakan pengguna di Indonesia sangat terkejut dengan kejayaan BMF. Bagaimana kita boleh mulakan kempen dan jadikan ini satu revolusi dalam konsumerism. Kita boleh bekerjasama dengan masyarakat dan institusi kepenggunaan di Indonesia untuk melakukan kempen yang sama di Malaysia. Dengan itu, ia dapat mengembangkan pasaran di Indonesia dan kita boleh bekerjasama dalam pengeluaran barang halal di Indonesia dan juga di Malaysia menggunakan kaedah perkongsian atau bekerjasama kerana pasaran Indonesia adalah pasaran yang besar. Ada lebih 265 juta penduduk dan Indonesia sekarang sebuah negara yang hampir maju dengan lebih 1.5 bilion US KDNK serta lebih 30 juta jutawan di Indonesia yang boleh menyokong pergerakan kepenggunaan halal di nusantara ini. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *