home Semasa Jadikan al-Quran rujukan utama urus zakat: Timbalan Mufti Perak

Jadikan al-Quran rujukan utama urus zakat: Timbalan Mufti Perak

 

IPOH – Nas al-Quran dan hadis perlu dijadikan rujukan utama di samping ijtihad ulama sebagai pembimbing dalam mengurus zakat.

Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim berkata, mereka yang berhak menerima zakat secara umum ditetapkan kepada lapan golongan seperti terkandung dalam al-Quran ayat 60 surah al Taubah.

“Setiap kategori diperincikan ulama mujtahidin yang turut mengambil kira kedudukan baitulmal di dalam pengurusan negara dan kekuatan ekonomi umat Islam semasa itu.

“Satu golongan yang berhak mendapat zakat adalah ‘almuallafatu qulubuhum’ atau diterjemahkan secara literal sebagai golongan yang dijinakkan hatinya namun dalam memperincikan siapakah golongan itu, para ulama berijtihad dan sudah tentu ijtihad mengambil kira beberapa faktor semasa pada zaman itu,” katanya.

Menurutnya, realiti di Malaysia terutama di Perak, ijtihad yang dikemukakan Imam As Syafie atau pendokongnya dalam kalangan As Syafe’iah dijadikan sebagai medium untuk menyeragamkan amalan beragama.

“Ia termasuklah berfatwa (tetapi tidak menafikan penggunaan mazhab lain dalam isu-isu tertentu apabila dilihat lebih ‘aslah’ atau sesuai dengan kepentingan umum umat Islam).

“Jika dilihat dari kitab-kitab al Syaf’iyyah ketika menghuraikan kategori berkenaan mereka tidak membenarkan menggunakan zakat kepada orang kafir, jika golongan itu perlu kepada bantuan maka boleh dibantu dengan sumber yang lain,” katanya.

 

 

Katanya, seperti mana dinukilkan dalam Al-majmu bagi Al-imam Nawawi, Ar-raudhah dan Ghoyah Al-qos’wiy bagi Imam Al-baidhowi bahawa ‘Al-muallafat Qulubuhum’ merangkumi kaum muslimin pada zaman baginda Rasulullah dan golongan kafir yang diharapkan memeluk Islam ataupun golongan kafir yang dikhuatiri kejahatannya.

“Maka mereka (ashab syafe’iyyah) berpendapat diberikan kepada golongan kafir tersebut adalah habuan, bukanlah dalam bentuk zakat.

“Perkara ini dipraktikkan di negeri-negeri di Malaysia iaitu a golongan susah dalam kalangan bukan Islam dibantu oleh berbagai-bagai agensi selain zakat,” katanya.

Zamri berkata, dalam pengurusan zaman kewangan sekarang, institusi baitulmal terasing daripada perbendaharaan negara sebagai satu entiti berbeza dan diwujudkan agensi yang fokus untuk memberi bantuan kepada golongan memerlukan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Laporan disediakan Unit Perancang Ekonomi melihatkan pada 2016 pendapatan isi rumah kasar bulanan purata bagi Bumiputera adalah RM6,267 berbanding RM8,750 untuk kaum Cina dan RM7,150 (India).

“Kadar insiden kemiskinan mengikut kaum berdasarkan kepada laporan yang sama menunjukkan Bumiputera berada di tempat utama dengan 0.5 peratus diikuti kaum Cina dan India masing-masing dengan 0.1 peratus,” katanya.

Menurutnya, perkara itu membawa kepada kesimpulan umat Islam lebih memerlukan bantuan kehidupan, wang zakat yang dikutip lebih utama untuk membantu sesama Islam juga.

“Instrumen zakat terbukti membantu kerajaan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan dalam kalangan rakyat negara ini yang beragama Islam.

“Contoh di Perak sejak 2015 sehingga September 2019, sebanyak RM63.3 juta ringgit dibelanjakan untuk memberi manfaat kepada 1,129 penerima bantuan bina rumah.

“Dalam tempoh masa sama sebanyak RM148 juta diagihkan kepada penerima yang layak kalangan fakir miskin secara bulanan melibatkan 45,649 penerima,” katanya.

Katanya, seramai 3,264 pesakit buah pinggang menerima bantuan hemodialisis yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM83 juta dan 132,962 orang menerima manfaat bantuan didik dan sekolah melibatkan peruntukan RM26 juta.

“Daripada fakta-fakta di atas dapatlah dibuat kesimpulan bahawa realitinya umat Islam lebih perlu untuk dibantu dengan menggunakan wang umat Islam sendiri.

“Mereka (umat Islam) mengumpulkan duit sesama sendiri mengikut sistem yang ditetapkan Tuhan mereka dan menyelesaikan masalah yang timbul sesama mereka,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *