home Semasa Pemilihan pemimpin: Antara janji syarak dan janji kontrak

Pemilihan pemimpin: Antara janji syarak dan janji kontrak

 

1. SAYA melihat isu pemilihan PRK Tanjung Piai ini adalah sejauhmana seseorang itu berpegang pada tasawwur kefahaman demokrasi, atau seseorang itu berpegang kepada tasawwur syar’ie yang telah wujud sebelum terwujudnya sistem demokrasi ini.

2. Saya tidak perlu mengupas kembali hujjah-hujjah yang dikemukakan pihak berkepentingan, kerana ia hanyalah hujjah yang dikitar semula sejak PRU 13 lagi ketika mereka bekerjasama dengan DAP. Hujjah itu jugalah yang telah dijawab oleh mereka sendiri menjelang PRU 14 ketika mereka melawan DAP.

3. Melihat kepada perkembangan mutakhir ini, suka untuk saya jelaskan bahawa dalam menanggapi sistem demokrasi kepartian, yang mana wujudnya persepakatan politik antara parti-parti politik tidak kira agama dan bangsa, selayaknya kita melihat apakah neraca syarak dalam mempercayai atau menyokong persepakatan tersebut.

4. Oleh kerana tujuan siyasah dalam Islam adalah menegakkan agama dan menjaga dunia dengannya, maka segala percaturan dan persepakatan mesti membawa kepada titik tersebut, bersama dengan mereka yang bersedia untuk tunduk dengan agenda tersebut, secara terus terang tanpa berselindung.

5. Bagi saya apa yang berlaku pada hari ini dalam pertimbangan kepartian atau pertimbangan permainan politik, apabila kita menanggapi bahawa sistem demokrasi adalah sebuah ‘permainan’ pertarungan bagi mendapat satu takhta pemerintahan yang lebih besar, bak kata mereka ; mengorbankan ‘castle’ tetapi mendapatkan ‘king’.

Tasawwur saling perangkap dan memerangkap, terlalu politikal dan strategis, hingga membawa kepada mengutamakan janji kontrak hingga mengorbankan janji syarak, itulah dia yang menerkam minda rakyat pada hari ini.

6. Janji kontrak politik ini telah dibuktikan bahawa ia tidak benar-benar boleh dipercayai, lebih-lebih lagi apabila ia diberikan oleh orang yang terbukti dirinya tidak dipercayai.

Janji kontrak ini hanya melibatkan perkara-perkara yang cukup terhad, perkara yang hanya kita tahu atas kertas, kerana atas sebab itu kita bina sebuah persefahaman.

Namun janji syarak inilah sebenarnya yang menyelamatkan umat Islam daripada segala bencana yang menimpa, yang sebabnya adalah perkara-perkara luar kertas. Ia tidak diketahui secara tepat kerana ia melibatkan perkara-perkara mendatang, namun ia telah pun diberitahu kepada kita oleh syarak itu sendiri, demi kesejahteraan umat Islam di dunia dan akhirat.

7. Apabila kita melihat syarak hanyalah ‘penghalal’ bagi sesuatu motif politik, maka hakikatnya kita seolah-olah sedang mempermainkan hukum Allah SWT, bukanlah kita sebenar-benarnya mahu mengikut syarak.

Syarak telah menetapkan bahawa yang memimpin kita mesti adalah orang Islam. Namun sistem demokrasi sedikit sebanyak telah mencairkan pegangan ini, kita lebih percaya orang lain yang memberikan perjanjian, berbandingan syarak yang telah lama menetapkan syarat-syarat dan menjanjikan dengan kita ikut syarat itu kita akan capai kesejahteraan dan kegemilangan.

Walaupun mungkin boleh kita kata itu adalah keadaan dharurat yang mesti diambil kira kerana situasi hari ini, kaedah syarak menyebut ; al-maysur la yasqutu bil ma’sur, yakni perkara yang ringan (yang boleh dilakukan) tidak gugur kewajipannya sekiranya perkara yang sukar itu tidak dapat dilakukan. Serta kaedah ; apa yang tidak boleh dilakukan semuanya, jangan ditinggalkan pula seluruhnya.

 

 

8. Jadi dalam pertimbangan politik hari ini, apabila kita melihat calon-calon yang bertanding adalah orang Islam, maka keutamaan kepada orang Islam itu adalah penting.

Lihatlah dia dalam dua aspek, aspek peribadinya dan aspek kumpulannya.

Seseorang itu mungkin lulus dari aspek peribadinya, tetapi aspek kumpulannya itu jelas-jelas tidak lulus kerana sebab-sebab tertentu, seperti tidak mampu menjadi dominan dalam menegakkan hak-hak umat Islam, atau tidak mampu mempertahankan hak umat Islam itu sendiri dan seumpamanya.

9. Boleh saya simpulkan, bagi mereka yang pemikiran kerangkanya adalah demokrasi secara dominan, maka dia akan melihat Tanjung Piai adalah satu permainan bagi mendapatkan kepercayaan pihak tertentu, atau menjatuhkan kepercayaan pihak tertentu bagi tujuan yang lebih besar iaitu mendapatkan tampuk pemerintahan peringkat Pusat.

Namun bagi sesiapa yang melihat dalam kerangka syarak, dia akan melihat demokrasi sebagai satu sistem buatan manusia, yang boleh dieksploitasi dan diragui kesetiaan sahabat-sahabat parti lain dalam persepakatan.

Jadi mereka melihat pilihanraya bagi setiap kawasan, memang mewakili keperluan rakyat dan tuntutan kawasannya. Wakil rakyat yang bertanding mesti benar-benar kompeten, dan dapat menyelesaikan masalah tempatan di samping menjulang tinggi agenda pembangunan umat Islam secara keseluruhannya.

Mentaliti ‘letak kucing pun boleh menang’ yang pernah dilaungkan oleh salah seorang ahli politik sebelum ini itulah mentaliti dangkal demokrasi yang merosakkan pemikiran rakyat pada hari ini.

Ia sangat bertentangan dengan kerangka syarak yang meletakkan syarat-syarat yang utama, kerana menganggap kepimpinan adalah sebuah tanggungjawab, bukan sebuah ‘permainan mendapatkan kuasa’ yang boleh menghilangkan kefarduan-kefarduan yang telah ditetapkan.

10. Kesimpulannya: Sistem demokrasi kepartian pada hari ini secara jelas dan terus terang telah dan sedang membentuk neraca masyarakat kita, hingga sebahagiannya lebih percaya kepada perjanjian dan persepakatan yang diwujudkan, berbanding janji-janji yang telah Allah rakamkan dalam Al-Quran sejak dahulu lagi.

Kita sepatutnya sedar bahawa terperangkapnya kita dalam sistem ini boleh melenyapkan kita daripada radar pembangunan umat Islam dan kegemilangan tamadunnya satu waktu dahulu. Adaptasi syarak yang dilakukan mesti berteraskan kepada tujuan asasi siyasah syariah itu sendiri, dan kerangka syarak dalam menanggapi hakikat isu kepimpinan.

Sekiranya kita terus menerus dengan kerangka demokrasi kepartian ini, dan kita hanya menjadikan syarak sebagai ekor yang menghalalkan perbuatan kita, maka ketahuilah, kita akan mengulangi kesilapan-kesilapan yang sama, yang telah kita rasai hasilnya sebelum ini, berkali-kali.

“Dan sekiranya engkau (wahai Muhammad) mengikut kehendak nafsu mereka selepas datang kepadamu ilmu kefahaman, maka tiadalah bagimu pertolongan dan penjagaan daripada Allah SWT” – surah Al-Baqarah, ayat 120

Wallahua’lam

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha Agung
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *