home Semasa Akta khas larang minum arak secara terbuka perlu diwujudkan – PPIM

Akta khas larang minum arak secara terbuka perlu diwujudkan – PPIM

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu duduk semeja untuk mewujudkan undang-undang khas yang melarang orang ramai daripada meminum arak dan minuman beralkohol secara terbuka.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata undang-undang berbentuk akta itu perlu bagi menangani peningkatan masalah sosial akibat daripada minuman keras itu.

“Ahli-ahli parlimen perlu bawa usul ini ke parlimen dan PBT juga perlu lebih tegas menjalankan penguatkuasaan untuk tangani isu ini secara proaktif. Kita lihat betapa banyak masalah yang timbul akibat meminum arak ini, contohnya mencetuskan pergaduhan dengan orang sekeliling dan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan.

“Kita patut contohi negara Australia dan United Kingdom (UK), di sana penjualan dan meminum arak tidak boleh dilakukan secara terbuka, mesti diminum di dalam premis sahaja dan tidak boleh diminum guna botol arak (mesti diminum menggunakan gelas),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye semalam yang menyatakan pihak kementerian tidak mempunyai kuasa untuk melarang orang awam minum arak di tempat tertentu kerana larangan itu tertakluk di bawah bidang kuasa PBT masing-masing.

 

 

Nadzim turut meminta orang ramai supaya terus membuat aduan kepada pihak PBT agar tindakan tegas boleh diambil sekiranya didapati ada individu yang meminum minuman keras secara terbuka dan bukannya di dalam premis yang telah ditetapkan.

“Ini kerana meminum minuman keras juga melibatkan isu sensitiviti kaum dan agama, seolah-olah mereka tidak menghormati masyarakat dengan cara meminumnya secara terbuka. PBT boleh ambil tindakan tegas sekiranya mendapat aduan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata PBT khususnya perlu memperkasakan Zon Larangan Arak yang melarang orang ramai untuk minum minuman keras itu secara terbuka, contohnya di kedai makan dan restoran.

“PBT ada kuasa untuk memperketatkan Zon Larangan Arak ini, mereka boleh menentukan premis mana yang sesuai digazetkan sebagai premis jualan yang dibenarkan untuk pelanggan minum minuman keras. Premis yang tidak boleh untuk sebarang aktiviti melibatkan arak antaranya kedai kopi dan restoran,” katanya.

Beliau turut bersetuju sekiranya denda yang tinggi dikenakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan meminumnya secara terbuka dengan mengambil contoh di Singapura, mereka yang bersalah boleh dikenakan denda sehingga S$10,000.- Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *