home Semasa Ekspo tatu: Menteri Agama jangan lepas tangan

Ekspo tatu: Menteri Agama jangan lepas tangan

 

BANGI – Sikap lepas tangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang kononnya mendakwa ada pihak cuba menyerang kerajaan dengan isu peragaan tatu dalam keadaan separuh bogel pada program ‘Tattoo Malaysia Expo 2019’ amat dikesali.

Mujahid sebelum ini dilaporkan berkata, program itu bukan di bawah kendalian kerajaan dan tidak pernah mendapat pengiktirafan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Penafian daripada kementerian itu membuktikan kita tidak pernah menyokong program itu. Cuma, saya fikir dalam hal ini, pihak tertentu sekali lagi dan buat sekian kalinya menjadikan isu ini untuk menyerang kerajaan. Kononnya dulu tak pernah berlaku tapi sekarang berlaku.

“Sedangkan kita tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku dan sengaja disebarkan dalam media seolah-olah kitalah yang merencanakannya. Jadi, dengan itu naratif mereka tercapai. Apa naratif mereka? Kerajaan hari ini tidak menjaga Islam dan sebagainya,” kata Mujahid.

Kesal dengan kenyataan menteri agama itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Tarbiyah, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Omar Kassim berkata, hampir tidak percaya kenyataan sebegitu boleh keluar dari mulut seorang menteri yang bertanggungjawab menjaga agama Islam di negara ini.

Beliau berkata, Mujahid sepatutnya melihat kelemahan penguatkuasaan yang ada di pihak kementerian atau undang-undang negara berbanding membuat tuduhan.

 

 

“Menteri itu bersikap lepas tangan tanpa memberikan teguran tegas apatah lagi memanggil pihak terbabit. Seolah-olah menyatakan berbogel, berzina dan berparti boleh selagi dalam keadaan tertutup walapun kerajaan boleh halang,” kata Ustaz Omar kepada Ismaweb.

Bahkan beliau menyifatkan, tiada kesungguhan daripada kerajaan PH untuk mendaulatkan syariat Islam apabila tidak bertindak menghalang ‘majlis maksiat’ seperti itu.

“Memetik hadis, sesiapa yang melihat suatu kemungkaran, hendaklah dia cegah dengan tangannya dalam erti kata kekuasaan, jika dia tidak mampu, dengan lidahnya, jika tidak mampu dengan hatinya. Itulah selemah iman. Saya nak tanya, siapa yang memiliki kuasa sekarang?,” soalnya.

Terdahulu tular gambar-gambar lelaki dan wanita bertatu separuh bogel yang menyertai ekspo bertaraf antarabangsa itu. Ekspo itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) seperti yang tertera di layar belakang pentas.

Penganjuran ekspo terbabit menghimpunkan peserta dari 35 negara berbanding penganjuran pada tahun 2015, 2016 dan 2017 yang diadakan di Sabah sebelum ini. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *