home Semasa Nabi Daud bukanlah seorang Gay

Nabi Daud bukanlah seorang Gay

 

1. SEMALAM seorang pengirim mengutus soalan kepada saya, bertanyakan tentang adakah benar Nabi Daud seorang Gay? Saya beristighfar panjang membaca kiriman gambar yang diberikan. Persoalan tersebut berkenaan kenyataan anak muda (seakan Muslim) yang mendakwa Nabi Allah Daud sebagai seorang Gay.

2. Sekiranya diteliti dakwaan ini, penghujahan tersebut seakan berasaskan dari petikan Bible. Ia digunakan oleh pejuang-pejuang LGBT Kristian yang berusaha mengemukakan hujah menegaskan bahawa homoseksual bukanlah sesuatu yang dilarang didalam agama Kristian.

3. Golongan pejuang LGBT ini menggunakan petikan dari Bible (II Samuel 1:26) dimana mereka menafsirkan bahawa kecintaan David kepada Jonathan mengatasi cintanya kepada wanita. Menurut mereka, ini menggambarkan elemen homoseksualiti dalam teks agama. Dalam petikan Bible tersebut, David dikatakan meluahkan kata-kata dengan menyebutkan: “Your love for me was wonderful, more wonderful than that of women.”

4. Rentetan dari penghujahan ini, kumpulan gereja sendiri menolak fitnah tersebut dengan menyatakan bahawa ia adalah manipulasi golongan LGBT menggunakan Bible untuk menjustifikasi nafsu haiwani mereka. Ayat yang diungkapkan oleh David tidak lain hanyalah luahan kasih seorang sahabat yang menyayangi sahabatnya yang lain.

5. Bahkan sebahagian gereja mengeluarkan ayat-ayat berhubung kecaman keras Bible terhadap pendirian LGBT yang jelas dilihat sebagai perbuatan dosa yang ditegah di dalam agama Kristian sendiri. (Antaranya rujuk: Romans 1:26-27; Leviticus 18:22; Romans 1:18-18 dan Jude 7).

6. Dalam Islam, Allah memuliakan Nabi Daud dan menegah perlakuan LGBT. Perkara ini direkodkan di dalam al-Quran yang jelas menyebutkan tentang orientasi seks songsang ini. Firman Allah:

إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاء بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.

 

 

7. Dalam surah al-Shu’ara pula, Allah sekali lagi menyelar orientasi songsang lelaki dengan lelaki. Firman Allah:

(166)أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ (165) وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ

“Patutkah kamu (lelaki) melakukan hubungan dengan lelaki dari kalangan manusia” (165). Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyaKan haiwan)!” (166).

8. Pemahaman larangan LGBT ini turut disokong dengan tindakan Rasulullah ﷺ, orang pertama yang menerima wahyu al-Quran tersebut. Berhubung perlakukan LGBT ini, Rasulullah ﷺ menegaskan bahawa amalan ini adalah perkara yang dilaknat oleh Allah. Sabda Baginda:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ

“Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut.” (HR Ahmad)

Menurut al-Imam Ibn al-Jauzi, Rasulullah tidak pernah melaknat pelaku dosa besar sebanyak tiga kali berturut-turut seperti yang dilakukan kepada pelaku homoseksual ini. Di sini jelas menampakkan ketegasan Baginda ﷺ dalam menangani permasalahan ini.

9. Hari ini terdapat anak muda yang seakan mendokong pemikiran Liberal, menggunakan pendekatan Liberal untuk menafsirkan al-Quran dan hadith. Bahkan ada dikalangan mereka yang memanipulasi teks agama bagi membolehkan tindakan nafsu haiwani mereka.

10. Kalau dahulu golongan Liberal menyatakan Nabi Lut tidak melarang LGBT, hari ini terdapat pula anak muda yang mendakwa Nabi Daud tidak melarang perbuatan terkutuk tersebut. Malah lebih jauh lagi mereka menfitnah Nabi Daud sebagai seorang gay.

11. Hati-hati dengan kerosakan pemikiran ini Tuan-Puan. Jangan sampai ada dikalangan kita yang terpengaruh dengan pemikiran Liberal yang merosakkan asas Islam bahkan boleh menyebabkan generasi muda terjerumus dalam kancah kemusnahan.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Universiti Sains Islam Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *