home Semasa Bantuan rakyat Malaysia disalur terus ke Palestin

Bantuan rakyat Malaysia disalur terus ke Palestin

 

BANGI: Banyak misi bantuan kemanusiaan yang dijalankan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia untuk rakyat Palestin disalurkan secara terus tanpa melalui pihak kedutaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut, berkata kebanyakan bantuan ini sampai ke sasarannya terutama penduduk tempatan yang terjejas, malah ada pelbagai projek pembangunan sudah siap.

Katanya, ini termasuk pembinaan hospital yang menjadi tempat rakyat Palestin mendapatkan bantuan perubatan segera dengan sukarelawan, selain pengamal perubatan juga tampil membantu.

“Kita kena melihat kedudukan Palestin dari segi pembahagian politiknya. Palestin dibahagikan kepada Hamas dan Fatah.

“Kebanyakan rakyat Malaysia menyokong perjuangan dipelopori Hamas sebab mereka lebih dekat dengan perjuangan pembebasan rakyat Palestin sementara Fatah dikuasai PLO (Pertubuhan Pembebasan Palestin).

“Mereka ini (PLO) diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kebanyakan bantuan diberi negara tertentu akan diagih ke PLO, akan sampai ke Fatah sementara bantuan dari NGO biasanya akan disalurkan terus kepada rakyat,” katanya pada sidang media di pejabat Aman Palestin, di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini tidak timbul masalah dan sebarang kesulitan jika agihan bantuan tidak melalui pihak kedutaan, memandangkan wujud pelbagai saluran boleh digunakan NGO termasuk bantuan dari rakyat tempatan.

“Bantuan ke Masjidil Aqsa bukan tak sampai, sampai.. tapi bukan melalui kedutaan Palestin di Malaysia. Memang sifat rakyat Malaysia mahu sampaikan secara terus, akan tanya projek ini untuk apa dan ke mana ia disalurkan.

 

 

“Aman Palestin juga, kita memberikan secara terus. Kita ada pejabat sendiri di Palestin untuk membolehkan bantuan dihantar terus ke Gaza, Tebing Barat dan Masjidil Aqsa,” katanya.

Beliau berkata, isu bantuan dibangkitkan ini bukan baru, malah pihak Aman Palestin sudah membangkitkan perkara ini kepada pihak Duta Palestin di Malaysia sejak 2012 dan mereka maklum kaedah pemberian ini.

Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali semalam memaklumkan sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin untuk tujuan pembangunan dan pembebasan Masjid Al-Aqsa tidak sampai kepada pihak pengurusan di negara itu.

Pada sidang media itu, Aman Palestin turut melancarkan kempen Ramadan Bersama Palestin dengan sasaran kutipan sumbangan RM14.2 juta bagi membantu meringankan beban rakyat Palestin dan Syria terutama menjelas Ramadan nanti.

NGO itu juga melancarkan kempen sumbangan pelaburan akhirat untuk membina Pusat Rehabilitasi dan Kesihatan Mental di semenanjung Gaza.

Awang Suffian berkata, pihaknya memerlukan suntikan dana sebanyak RM20 juta dan orang ramai yang berkemampuan boleh menyumbang sebanyak RM500 bagi satu lot atau bayaran secara ansuran RM50 sebulan.

Beliau berkata, pihaknya menyelar pelan damai Palestin dibuat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kerana sifatnya yang bercanggah dengan prinsip keadilan sejagat. – Berita  Harian

www.indahnyaislam.my

⚡️Salurkan sumbangan untuk Palestin ke akaun Aman Palestin Berhad:
Bank Islam: 12029010047880
Maybank: 562263010787
CIMB: 8600460353

📩 Hantar resit transaksi anda ke whatsapp/telegram:
0193357019 (Ustaz Nu’man)

#AmanPalestin
#JomMenyumbang
#10forsmiles

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *