home Semasa Kedudukan wanita dalam Islam

Kedudukan wanita dalam Islam

muslimah

 

Jika dalam masyarakat Barat terdapat sikap merendahkan darjat perempuan sehingga menimbulkan gerakan feminisme dan persamaan gender, maka berlainan dengan agama Islam yang sangat memuliakan perempuan. Kitab suci al-Quran memberikan hak-hak perempuan dan menempatkan perempuan pada kedudukan terhormat yang sama dengan hak dan kedudukan lelaki.

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orangorang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orangorang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” [ Al-Ahzab : 35 ]

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” [ An-Nahl : 97 ]

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [ At-Taubah : 71 ]

Kedudukan perempuan dalam masyarakat Islam sangat mulia dan terhormat. Halim Abu Syuqqah dalam kitab “Kebebasan Wanita” menyatakan bahawa peranan perempuan dalam masyarakat Islam hampir sama dengan lelaki. Rasulullah sangat memperhatikan hak pendidikan bagi kaum perempuan. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah merasa belum menyampaikan nasihatnya kepada perempuan, maka beliau pergi kepada kaum perempuan untuk memberikan nasihat dan ajaran serta menyuruh mereka bersedekah. Ibnu Juraij bertanya : “Apakah seorang pemimpin berhak melakukan perbuatan demikian dalam memberikan peringatan kepada kaum 7 perempuan? Rasulullah menjawab : Hal itu adalah hak mereka, jika demikian tidak ada sebab bagi pemimpin untuk tidak melakukan perbuatan tersebut.”

Perempuan pada zaman Rasulullah juga ikut dalam solat berjemaah. Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah menyatakan : “Perempuan-perempuan beriman ikut hadir bersama Rasulullah untuk melaksanakan solat subuh dengan memakai selimut untuk menutupi badan mereka. Kemudian mereka kembali setelah solat ke rumah mereka masing-masing sementara tidak ada seorang pun yang dapat mengenal mereka disebabkan kegelapan malam.” [ HR Bukhari, Muslim ]

Kaum perempuan masyarakat Islam juga menyertai gerakan sosial, politik dan turut berperang melawan musuh. Fatimah binti Qais berkata : “Ummu Syuraik adalah seorang perempuan kaya kaum Ansar. Dia membelanjakan harta kekayaannya untuk kepentingan agama Allah dan rumah kediamannya seringkali disinggahi oleh tetamu.” [ HR Muslim ]

Ummu Athiyah , seorang perempuan pada zaman nabi Muhammad SAW berkata : “Saya ikut berperang bersama Rasulullah sebanyak tujuh kali peperangan. Saya selalu ditempatkan di bahagian belakang pasukan. Sayalah yang membuatkan makanan untuk pasukan yang berperang, dan mengubati mereka yang sakit dan terluka.” [ HR Muslim ]

Menurut Yusuf Al-Qaradhawi, dalam pengantar kepada buku “Kebebasan Wanita” [1], memberikan contoh-contoh kehidupan perempuan dalam masyarakat Islam seperti :

  1. Kaum perempuan masyarakat Islam mempunyai kesempatan yang luas untuk mendapat pendidikan, pelajaran dan menghadiri majlis ilmu.
  2. Kaum perempuan dibolehkan menghadiri pertemuan umum di masjid untuk turut memutuskan perkara yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat dan negara.
  3. Kaum perempuan mempunyai hak dalam ekonomi, sebagaimana Zainab binti Jahsy mempunyai pekerjaan dan kegiatan ekonomi yang dilakukan dengan tangannya sendiri sehingga dapat bersedekah dari hasil pendapatannya sendiri. Zainab binti Mas’ud bekerja dengan tangannya sendiri dan memberikan belanja untuk suami dan anak yatim yang dipeliharanya.
  4. Ummu Athiyah ikut berperang bersama suaminya sebanyak enam kali, sedangkan Ummu Haram menginginkan kematian syahid bersama tentera pasukan laut. 16 Abdul Halim Abu Syuqqah, Kebebasan Wanita, Gema Insani Press, Jakarta, 2001 8
  5. Dalam politik, Ummu Hani ikut dalam melindungi pelarian perang, dan menyelesaikan perkara saudara lelakinya.
  6. Ummu Kalsum binti Uqbah, seorang remaja ikut berhijrah ke Madinah, dan berpisah dengan keluarganya.
  7. Perempuan berhak mempertahankan pilihannya dalam memilih suami , berpisah dengan suami dan terlepas dari pengaruh keluarganya.
  8. Zainab binti Muhajir berdialog dengan khalifah Abu Bakar Al-Siddiq, Ummu Darba pernah menyangkal pendapat khalifah Abdul Malik bin Marwan, dan Ummu Ya’kub berdialog dengan Abdullah bin Mas’ud yang dianggap sebagai penghulu fuqaha sahabat.
  9. Atikah binti Zaid, isteri Khalifah Umar bin Al-Khattab mempertahankan haknya dalam kesaksian jamaah.

10.Seorang remaja perempuan Bani Khatsamiyah bersusah payah untuk menghajikan bapanya sendiri.

Al-Quran telah menetapkan tugas yang seimbang bagi lelaki dan perempuan.Tugas ini diberikan sesuai dengan fitrah dan kemampuan masingmasing berdasarkan fitrah alami perempuan yang berbeza dengan kaum lelaki. Dari segi fizik, emosi dan psikologi, hanya perempuan yang dapat menjalankan tugas keibuan dengan baik. Ini kerana berbanding dengan lelaki, kaum perempuan lebih penyayang, lebih ramah, cepat bertindak dan memberikan respons sesuai dengan naluri keibuan. Sifat-sifat ini menjadi ciri utama perempuan dalam menjalankan tugas dan kewajipan. Islam memberikan persamaan di antara lelaki dan perempuan, namun hanya ada sedikit keterbatasan dan perbezaan yang digariskan oleh Islam untuk kaum perempuan seperti dalam hak harta warisan, dan ijab-kabul pernikahan, dalam kepemimpinan keluarga, dan sebagainya. Perbezaan dalam peranan dan hak yang telah ditentukan oleh Allah tidak bermakna adanya superioriti ataupun inferioriti bagi pihak manapun, akan tetapi hanyalah untuk menjaga kecenderungan fitrah masing-masing. [2]

Dari keterangan di atas dapat disimpulkan bahawa Islam telah memberikan kebebasan kepada perempuan dalam bidang ekonomi, sosial dan politik, sebelum masyarakat Barat memberikan kebebasan kepada mereka. Oleh sebab itu masyarakat Muslim tidak memerlukan gerakan pembebasan perempuan, gerakan feminisme, dan kesamaan gender, sebab ajaran Islam dan sejarah masyarakat muslim terdahulu sudah memberikan kedudukan terhormat kepada kaum perempuan sesuai dengan kudrat dan fitrahnya.

[1] Abdul Halim Abu Syuqqah, Kebebasan Wanita, Gema Insani Press, Jakarta, 2001
[2] Dinar Dewi Kania, Isu Gender : Sejarah dan Perkembangannya, Majalah Islamia, Vol.3, No.5, 2010, hal.55.

Sumber: Muhammad Ariffin bin Ismail, Gerakan Feminisme, Persamaan Gender dan Pemahaman Agama (Bahagian 1), hlm 6-8.

* Muhammad Ariffin bin Ismail merupakan Panel Jawatankuasa Pemikir Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
*Kertas kerja ini diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *