home Tarbiah Ghazwul Fikr: Jahiliyyah menyerang kita dari setiap sudut

Ghazwul Fikr: Jahiliyyah menyerang kita dari setiap sudut

gf

 

Siri-siri Perang Salib yang berterusan dari abad ke-11 Masihi sehingga abad ke-14 Masihi sebenarnya  tidak berakhir di situ sahaja. Peperangan itu masih berterusan sehingga ke hari ini namun dalam bentuk yang berbeza. Pertembungan antara al-haq (kebenaran) dan al-batil (kepalsuan) itu akan tetap ada dan berterusan selagi mana matahari, bumi, bulan, dan planet-planet serta bintang-bintang yang lain seluruhnya masih berputar dan beredar di dalam orbitnya.

Peperangan sebenar baru sahaja bermula…

King Louis IX, Raja Perancis yang telah melancarkan perang salib ke-7 (1248-1254M)  telah merumuskan sebuah formula bagi menghancurkan umat Islam sejurus setelah dibebaskan dari penjara kerajaan Khalifah Islam Bani Abbasiyah di Mesir dengan jumlah tebusan yang sangat besar.  Beliau berkata kepada bangsa Eropah ketika itu ;

“… Kamu tidak akan mampu untuk mengalahkan orang-orang Islam di medan peperangan, pertama sekali kamu mesti mengalahkan mereka dalam medan peperangan pemikiran. Kemudian selepas itu barulah mudah bagi kamu untuk menguasai mereka…”

Bukan dengan libasan mata pedang atau hujanan anak panah. Bukan juga dengan tembakan butir-butir peluru daripada senapang raifal atau ledakan-ledakan bom meriam. Tetapi dengan menjauhkan orang-orang Islam daripada ajaran Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, menjauhkan hati-hati umat Islam daripada sentuhan wahyu dari langit. Inilah yang dinamakan sebagai ‘ghazwul fikr’ atau ‘peperangan pemikiran’.

Umat yang sedang tewas

Sama ada kita sedar atau tidak, umat Islam pada masa kini secara umumnya sedang tewas dalam medan tempur peperangan pemikiran ini. Pihak musuh secara terus menerus menceroboh dan menyusup masuk ke dalam pemikiran orang-orang Islam dengan pelbagai cara seterusnya menghancurkannya dengan mudah daripada dalam. Hal ini berlaku apabila Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sudah tidak lagi diletakkan menjadi neraca pemikiran, pedoman, dan cara hidup orang-orang Islam.

Lihat sahaja keadaan masyarakat Islam kini. Sungguh, penuh dengan kebobrokan dan kebejatan. Dari sudut sosial kita dapat lihat wanita-wanita yang tanpa segan silu mendedahkan bahagian-bahagian tubuh mereka kepada umum. Kita dapat lihat puluhan batang-batang tubuh yang kurus kering tersadai di tepi-tepi jalan juga di bawah jambatan, batang tubuh mereka bergetar dan menggigil menahan rasa ketagihan kokain, marijuana, dan syabu.  Kita juga dapat lihat pemuda-pemuda berpegangan tangan dan berpelukan mesra dengan anak-anak gadis tanpa perasaan malu. Perasaan malu yang sepatutnya menjadi benteng kepada peribadi seorang muslim sudah tidak tahu hilang dicampak ke mana. Akhlak Islamiah yang luhur sudah terkubur. Hal ini seterusnya mengakibatkan kepada berlakunya peningkatan kes-kes pembuangan bayi, peningkatan kadar kelahiran anak luar nikah, penularan wabak penyakit AIDS bawaan virus HIV, dan pelbagai masalah dan krisis sosial yang lain.

Umat Islam hari ini disogokkan dengan pelbagai jenis hiburan yang melampau. Daripada corong-corong radio dan paparan skrin-skrin televisyen serta panggung wayang. 24 jam tanpa henti, terlalu banyak. Lagu-lagu yang berunsurkan cinta dan kelucahan seakan sudah menjadi halwa telinga pemuda-pemudi masa kini. Rancangan-rancangan realiti yang berbentuk hiburan makin bertambah jumlahnya bagaikan cendawan yang tumbuh subur selepas turunnya hujan. Filem-filem terbaru makin canggih dan rancak dihasilkan oleh produser-produser filem sama ada dari timur atau barat, hollywood juga bollywood. Demi memenuhi nafsu kemanusiaan mereka yang tidak pernah puas. Umat ini sudah ditimpa penyakit hedonisme, mereka sudah jatuh cinta dan mabuk kepada hiburan. Mereka sudah hanyut, tenggelam, dan lemas dalam dakapan hiburan yang melampau.

Umat Islam hari ini sudah hilang perasaan ‘izzah’ atau bangga dengan agama mereka. Rata-rata mereka seolah-olah rela kepala mereka dipijak oleh pihak musuh. Apabila agama Allah SWT ini dipermain-main dan dihina oleh pihak musuh, mereka tidak bangkit mempertahankan dan membela. Mereka seolah-olah seekor singa yang telah hilang kuku dan taring seterusnya bertukar menjadi seekor kijang pengecut. Lihatlah betapa berkesannya sistem pendidikan yang disusun oleh pihak musuh untuk anak-anak orang Islam. Sejarah-sejarah kerajaan serta pahlawan-pahlawan Islam yang ulung dipadam dan diubahsuai mengikut kehendak mereka. Anak-anak orang Islam sudah hilang semangat jihad dan kepahlawanan, anak-anak ini lebih kenal Superman, Ironman, dan Captain America berbanding Tariq Ibn Ziyad, Salahuddin Al-Ayyubi, dan Sultan Muhammad Al-Fateh.

Umat Islam hanya mampu melihat dan rela pihak musuh bertindak seolah raja. Mereka sudah terlalu selesa hidup dalam keadaan yang mereka sangka aman tetapi sebenarnya sedang membunuh mereka secara perlahan-perlahan. Selain arus media perdana yang dikuasai oleh pihak musuh yang sentiasa memberikan pandangan negatif terhadap Islam dan penganutnya. Mereka sewenang-wenangnya mewartakan Islam sebagai agama pengganas atau terrorist, mengaitkan Islam dengan rasisme, menggelar orang-orang Islam sebagai konservatif dan anti-kebebasan, menuduh orang Islam sebagai pelampau atau ekstremis agama dan lain-lain tuduhan yang keji. Namun berapa orang yang berani bangkit melawan?

Umat Islam hari ini sudah pening dan keliru. Arus-arus pemikiran atau gagasan-gagasan yang pelbagai nama dan gelaran datang menyerang orang-orang Islam tanpa mengenal erti belas kasihan. Umat Islam yang sudah sedia lemah dan jauh dari berpegang dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW kini semakin bertambah lemah dan sesat dengan hadirnya arus-arus pemikiran sesat seperti Syiah, liberalisme, sekularisme, komunisme, sosialisme, dan sebagainya. Agama Islam yang tulen kini sudah ditempel-tempel dengan kotoran-kotoran ciptaan tangan-tangan manusia. Pihak musuh demi melaksanakan misi westernization atau pembaratan telah memaksa umat Islam menerima ideologi-ideologi sesat mereka dengan dakwaan bahawa ianya akan memberi sinar kebahagiaan kepada mereka. Umat Islam sudah lupa bahawa Islam yang tulen itu sahajalah yang mampu membawa mereka ke syurga nan abadi. Bukannya Islam yang dipotong-potong atau ditempel-tempel dengan pelbagai ideologi-ideologi lain.

Apabila hal ini berterusan, lahirlah golongan-golongan yang memperjuangkan hak-hak kebebasan manusia lebih daripada memperjuangkan hak-hak Allah SWT, lahirlah golongan-golongan yang menolak bulat-bulat autoriti sunnah Rasulullah SAW, lahirlah golongan-golongan yang mendakwa Al-Quran kini sudah tidak relevan dan perlu ditafsir semula mengikut peredaran zaman dan lahirlah lain-lain golongan yang bertuhankan hawa nafsu dan syaitan sepertimana yang kita dapat lihat pada hari ini. Islam bagi mereka seolah-olah sudah menjadi seperti sebuah bahan permainan yang boleh digodek-godek sesuka hati.

Sungguh, melihat pada keadaan sekarang, umat Islam pada masa kini sedang berada di ambang kekalahan dan pihak musuh sedang mengawal arus permainan. Pihak musuh tidak akan pernah berasa bosan atau jemu untuk terus menceroboh dan menghancurkan pemikiran orang-orang Islam, bahkan semakin rancak dan aktif. Orang-orang Islam sedang dibantai teruk dalam peperangan ini, sangat sadis dan mengerikan.

Masih Adakah Sinar Harapan?

Ketahuilah bahawa peperangan pemikiran ini masih lagi berterusan, medan pertempuran ini masih lagi berlangsung dan sinar harapan buat umat ini masih ada. Orang-orang Islam wajib beriman bahawa pertolongan itu pasti akan datang, kemenangan itu akhirnya pasti milik kita.

(قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ اسْتَعِينُوا بِاللَّهِ وَاصْبِرُوا ۖ إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۖ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ)

[سورة اﻷعراف 128]

“Musa berkata kepada kaumnya: ‘Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa’.” [Al-Aaraf : 128]

Harapan itu terletak pada tangan orang-orang Islam yang sedar akan hakikat pertembungan ini, orang-orang Islam yang nampak dan melihat segala peristiwa dan fenomena dengan cahaya Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, orang-orang Islam yang pantas jiwanya dan sedar akan tanggungjawab yang digalas di atas tengkuk-tengkuk mereka bagi memenangkan agama Allah SWT ini walau dengan apa cara sekali pun. Menang kalah, nasib, dan masa depan umat ini terletak dalam genggaman tangan-tangan mereka.

Persoalannya, apakah kita telah memposisikan diri kita dalam barisan tentera yang terdiri daripada mereka yang sedar akan hakikat ini, atau kita terus statik, pegun, dan membiarkan diri kita dan umat ini terus hanyut dibawa arus jahiliyyah yang menggila?

 

Muhammad Rusyaidi Bin Mohd Pauzi
Tahun 3 Fakulti Usuluddin Jabatan Hadith
Universiti Al-Azhar Kaherah, Mesir

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *