home Tarbiah MASA – GENERASI

MASA – GENERASI

hands-generations

 

Terdapat satu peraturan (sunnatullah) penting yang telah Allah s.w.t tetapkan kepada kita di bumi ini iaitulah peraturan ‘masa’. Manusia selamanya perlu terima hakikat bahawa segala tindak-tanduk mereka berlaku di dalam batas masa yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Manusia takkan mampu mempercepatkan atau melambatkan pergerakan masa secara hakiki.

Daripada peraturan ini, timbul satu kesan tetap kepada semua manusia. Kesan itu ialah; apa sahaja yang ingin dimulakan oleh manusia perlukan masa sebelum ia boleh diakhirkan. Semakin besar perkara yang ingin dimulakan itu, semakin panjang masa yang diperlukan untuk ia diakhirkan.

Contoh perkara besar yang selalu ingin dimulakan oleh kelompok-kelompok manusia di dunia ini ialah pembinaan tamadun. Sejak dari zaman nabi Adam a.s sehinggalah ke zaman kita hari ini, manusia tanpa mengira apa agama mereka sentiasa ada cita-cita untuk mencapai kejayaan membina sebuah tamadun. Ada yang berniat besar (demi kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat), dan ada yang sekadar berniat kecil (mencapai kejayaan material sahaja).

Membina tamadun adalah satu kerja yang besar, oleh itu seperti yang telah ditetapkan oleh Allah, ia tentu sekali perlukan masa yang panjang. Dalam erti kata lain, ianya tidak mungkin berlaku dalam masa setahun dua, atau bahkan sepuluh tahun atau dua puluh tahun sekalipun.

Jika kita teliti sejarah manusia, kebiasaannya proses membina tamadun yang berjaya akan mengambil masa lebih daripada 100 tahun. Mudah kira, ia akan mengambil masa lebih daripada tempoh umur satu generasi manusia (100 tahun cukup panjang untuk umur seorang manusia). Ia perlu kepada umur beberapa generasi, mungkin dua, mungkin tiga, mungkin lebih.

Tak perlu lihat jauh. Perhatikan sahaja sirah Rasul s.a.w. Rasulullah tidak bercakap kosong apabila baginda s.a.w bersabda:

“Sebaik-baik kurun ialah kurun di mana aku diutuskan padanya, kemudian kurun yang seterusnya, kemudian kurun yang seterusnya..”.

Rasulullah s.a.w bercerita tentang projek pembukaan Konstantinopel yang menjadi cita-cita sahabat baginda di zamannya (seperti Abu Ayyub Al-Ansari) namun projek itu hanya berjaya disudahkan hampir 8 kurun, atau 8 generasi selepas itu (tahun 1453 M). Ini hanya salah satu projek dalam projek besar pembinaan tamadun Islam yang dimulakan oleh Rasulullah s.a.w di zamannya.

Pengambilkiraan faktor masa dan generasi dalam menjayakan projek besar ini turut diperhatikan oleh pesaing-pesaing tamadun Islam (atau musuh-musuhnya).

Peta dunia yang kita lihat pada hari ini, dengan beratus-ratus negara dipisahkan dengan pelbagai sempadan, adalah hasil daripada kerja keras kuasa kolonial British sejak 100 tahun dahulu (atau lebih). Kerja itu pula adalah hasil daripada kajian dan perancangan yang dicetuskan 100 tahun sebelumnya. Negara haram Israel yang hari ini penuh dengan pelbagai pencapaian teknologi, ialah hasil kerja keras generasi Yahudi 100 tahun lebih sebelum ini bermain politik, menyerang sana-sini, memungut dana dan sebagainya. Kerja keras itu lahir daripada azam dan hasrat yang dicetuskan oleh generasi Yahudi yang sebelumnya (100 tahun lebih sebelum itu). Begitulah secara kasar.

Bahkan kalau kita perhatikan kepada musuh-musuh Islam, mereka lebih tinggi kadar kepercayaan dan kadar kefahaman kepada peraturan masa/generasi ini, jika dibandingkan dengan umat Islam (sejak umat Islam hilang punca sekitar awal abad ke-20). Semenjak pertengahan kurun ke-16, ketika mereka mula rancak merancang dan mencetuskan idea, perkiraan mereka sudah mengakui keperluan menanti masa dan generasi bersilih ganti sebelum satu-satu kejayaan besar (milestones) dalam projek besar mereka boleh dicapai. Kini mereka sedang bekerja pula untuk kejayaan yang hasilnya akan diteruskan oleh generasi selepas mereka.
Terdapat 2 faktor penting dalam menentukan adakah satu-satu kelompok manusia itu berjaya meletakkan perkiraan generasi/masa yang tepat mengikut peraturan Allah, ataupun tidak.

Yang pertama; kewujudan satu gambaran besar yang lengkap kepada projek yang ingin dimulakan. Jika kelompok manusia itu hanya ada cita-cita dan impian tetapi tidak memiliki gambaran besar yang lengkap kepada projek mereka, besar kemungkinan mereka akan terseleweng daripada menuruti peraturan masa dan generasi yang Allah s.w.t tetapkan.

Yang kedua; kemampuan untuk melakukan ramalan (prediction) kepada situasi di masa depan. Jika mereka tidak mampu meramal apakah situasi dan lanskap yang akan wujud di zaman yang seterusnya (bukan di zaman mereka), tinggilah kemungkinan mereka akan gagal menuruti peraturan masa dan generasi yang Allah s.w.t tetapkan.
Kedua-dua faktor di atas hanya mampu diperolehi jika kelompok manusia ini memberi tumpuan dengan baik kepada 2 perkara asasi.

Yang pertama; kefahaman secara menyeluruh dan mendalam kepada sejarah yang telah berlaku pada zaman-zaman sebelum zaman mereka. Sejarah yang Allah ciptakan sifatnya seperti roda, ia akan berputar mengikut masa sehingga menjadi satu pusingan lengkap kemudian putaran yang sama akan berulang.

Yang kedua; penguasaan kepada maklumat-maklumat semasa di zaman mereka. Lebih banyak maklumat yang mereka miliki, lebih bertambahlah kemampuan mereka meletakkan ramalan kerana corak dan titik-titik yang belum bersambung di zaman mereka memberikan banyak bantuan dalam menentukan corak dan titik yang akan bersambung di zaman seterusnya.

Akhir sekali, yang paling penting dalam hal ini ialah seperti yang ditulis pada perenggan awal-awal; pertama-tamanya kita perlu memiliki minda dan hati yang sedar dengan peraturan yang Allah s.w.t tentukan mengenai perjalanan masa. Ini mampu membendung nafsu syahwat yang ingin mencapai satu-satu perkara dalam masa yang tidak betul (gopoh) sekaligus mengelakkan sindrom pessimisme dan sikap negatif muncul apabila melihat usaha-usaha kita tak berbuah-buah di depan mata.

Guru saya berpesan (dan tak akan saya lupa);

Apabila kita memulakan projek membina tamadun, anggaplah kita sedang berlari dalam satu acara marathon, bukannya dalam acara lari pecut.

Kita perlukan nafas yang cukup panjang. Jika kita ditakdirkan Allah berhenti di sekerat jalan, pastikan ada tangan baru yang mencapai baton larian untuk terus berusaha sehingga ke garis penamat.

Ustaz Syed Ahmad Israa’ bin Syed Ibrahim

Sumber: https://www.facebook.com/notes/syed-ahmad-israa/masa-generasi/10154079084660874

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *