home Kolumnis Rabbaniyyun La Ramadhaniyyun

Rabbaniyyun La Ramadhaniyyun

ramadhan_mubarak___2013_by_rizvigrafiks-d6cprjq

 

“Malanglah bagi orang-orang yang menemui Ramadhan, sedangkan mereka tidak pun sedikit meletakkan perbezaan dengan bulan-bulan yang lain. Mereka mempunyai nama-nama indah Islam dan hidup ditengah-tengah masyarakat Islam. Tetapi mereka mengotori kesucian dan kemuliaan kehormatan bulan mulia ini. Apakah ini sepatutnya terjadi dalam masyarakat Islam?”
[ Petikan Khutbah Jumaat Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi ]

Ramadhan bulan yang dinantikan seluruh umat Islam tidak kira latar belakang, bulan istimewa yang mempunyai tarbiyah tersendiri dan seringkali dipanggil sebagai Syahru at-Taghyir (bulan perubahan). Malangnya jika kita melayan Ramadhan hanya sekadar tetamu, apabila ia pergi kita melupakannya, menjadikan sebahagian besar kita sebagai hamba-hamba Ramadhan, yang berubah pada waktu tertentu dengan kadar tertentu. Kita tidak memanfaatkan bulan istimewa ini sebagai medan untuk menjadi seorang Rabbani, yang beramal sepanjang masa.

Niat: Langkah pertama ke arah Rabbani

Kita menginginkan Ramadhan menjadi sebuah madrasah yang mengubah hidup kita secara berkekalan, tidak boleh tidak langkah pertama harus dimulai dengan niat. Tarbiyah Ramadhan begitu istimewa kerana mampu mengubah sesiapa sahaja menjadi bersemangat untuk beribadah dan beramal dalam tempoh tersebut. Ramailah dari kita akan berlumba untuk mengkhatamkan Al-Quran paling banyak, bersedekah, bersolat malam mahupun sunat di siang hari dan lain-lain lagi. Persoalannya untuk siapakah kita melakukan semua itu?

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” [ An-Nisaa’ : 142 ]

Inilah ciri yang kita perlu hindari dalam beribadah di bulan Ramadhan, agar ibadah itu menjadi kekal selepasnya, kita tidak mahu mengikuti ciri-ciri orang munafik yang hanya beramal untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia, sedangkan pada waktu lainnya dia seorang pemalas. Begitulah kita di bulan Ramadhan, kenapa kita rajin ketika di dalamnya tetapi malas ketika kita diluar? Adakah jelas niat kita? Nauzubillah supaya kita dijauhkan dari sifat munafik.

Satu perkara yang kita lupa adalah walaupun Allah membuka pintu hati kita untuk rajin beramal sebanyak-banyaknya belum tentu Allah membuka pintu penerimaan terhadap amal-amal tersebut. Jelas Allah menyebut dalam hadith bagaimanakah amalan yang diterima-Nya :

إن الله عز وجل لا يقبل من العمل إلا ما كان خالصا وابتغي به وجهه

“Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang ikhlas dan (bertujuan) mencari keredhaanNya semata-mata.” [ HR An-Nasai ]

Menyediakan niat amat penting dalam menghadapi Ramadhan, kerana adakah kita menetapkan niat yang hanya sah tempoh lakunya selama 30 hari, atau niat yang kekal selamanya untuk menjadi seorang Rabbani.

Menyusun sistem hidup yang baru

Setiap perubahan memerlukan perancangan, lebih-lebih lagi perubahan untuk menjadi insan Rabbani. Kita boleh menjadikan Ramadhan sebagai sentuhan akhir dalam perancangan kita untuk mengubah diri sepanjang tahun, yakni dengan memanfaatkan suasana yang ada sebagai pelengkap untuk perubahan kekal selepas Ramadhan. Namun seringkali kita tidak berperancangan, tetapi pepatah cina ada mengatakan :

“Waktu terbaik untuk menanam pokok adalah 20 tahun lalu, waktu kedua terbaik adalah sekarang.”

Maka sekarang adalah waktu terbaik membuat perancangan sekiranya masih belum ada, walaupun Ramadhan sudah semakin menghampiri atau kita sedang berada dalamnya. Lakarkan perubahan diri yang kita ingin lakukan.

إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ خَوَّانًا أَثِيمًا

“Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa.” [ An-Nisaa’ : 107 ]

Semestinya ini adalah perubahan utama yang kita ingin lakukan, berhijrah meninggalkan jahiliyyah dan keseronokan yang fana kepada keimanan dan kebahagiaan yang hakiki. Bagaimana Ramadhan boleh membantu semua ini sehingga menjadi rijal Rabbani?

Ramadhan mempunyai acara utamanya iaitu puasa. Kelebihan puasa sangat hebat sehingga Allah mengatakan hanya Dia yang layak untuk menilai puasa seseorang itu berbanding ibadah lain.

كل عمل ابن آدم له إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزي به

“Setiap amalan Bani Adam itu untuknya, kecuali puasa. Maka itu adalah untuk-Ku dan akulah yang membalasnya.”  [ HR Al-Bukhari dan Muslim ]

Maka dengan puasa yang wajib di bulan Ramadhan ini kita akan mengatur jadual hidup yang baru, yang akan dilazimi selama 30 hari, seterusnya akan menentukan hasil selepas Ramadhan nanti. Maka inilah peluang keemasan yang kita nantikan, dalam menuju perubahan Rabbani, kita menyusun sebaik sistem hidup kita yang baru, meninggalkan dan membuang aktiviti tidak bermanfaat seperti tidur berlebihan, melihat perkara lagho, bermain games, melepak tanpa hala tuju dan segala perkara yang membunuh masa kita.

Tetapkan objektif yang ingin dicapai kemudian susuli dengan langkah ke arahnya. Jadual baru ini perlulah diisi sebaiknya dengan perkara kebaikan dengan masa yang secukupnya menggantikan masa kita membuat perkara lagho itu, kerana meninggalkan perkara buruk tanpa ada kebaikan yang menyusuli hanya menjemput keburukan yang lain untuk mengisinya.

اتق الله حيثما كنت، وأتبع السيئة الحسنة تمحها، وخالق الناس بخلق حسن

“Bertakwalah kepada Allah di mana pun anda berada, iringilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik, nescaya perbuatan baik akan menghapus dosa perbuatan buruk, dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang terpuji.” [ HR At-Tirmizi ]

Mengubah sistem kebiasaan yang telah biasa kita lakukan mampu menbentuk diri kita yang baru, lebih-lebih lagi dalam suasana keimanan yang Allah turunkan dalam bulan Ramadhan. Maka bermulalah dari sekarang menyusun sistem hidup yang baru, ke arah insan Rabbani.

Ustaz Ahmad Nu’man Mazlan
Pegawai Eksekutif Biro Dakwah ISMA

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *