home Kolumnis Salahkah saya bermain Forex?

Salahkah saya bermain Forex?

forex

 

Soalan:
Salam. Forex ni sebenarnya macam mana? Boleh ke tak boleh? Sebab saya dapati ramai orang kita sekarang main forex sebagai side income.

Jawapan:
Waalaikumussalam wbt. Terima kasih atas pertanyaan yang sebenarnya sudah ramai yang tanya saya sebelum ini tentang forex dan ternyata memang masih ramai orang Melayu kita yang melibatkan diri dalam forex online ini sehingga ada yang menjadikannya sebagai main income untuk menyara keluarga.

Sebagai jawapan umum, Forex iaitu Foreign Exchange / jual beli matawang asing jika dibincang mengikut perspektif fiqh muamalat, ia termasuk dalam kategori bai` al-sarf. Oleh itu, hukum hakamnya mestilah selari dengan hukum bai` al-sarf dan terdapat hadis sahih daripada Ubadah bin Somit (HR Muslim, hadis no. 102) yang jelas menerangkan hukum hakam dalam bai` al-sarf.

Untuk jual beli matawang asing, antara syarat yang ulama’ simpulkan daripada hadis tersebut dan beberapa hadis yang lain adalah:

1) Penyerahan dan taqabudh (serah-terima) kedua-dua matawang yang berbeza (contoh: RM – USD) wajib berlaku on the spot ketika majlis akad jual beli. Ia wajib berlaku pertukaran milik dan penyerahan kedua-dua matawang secara sempurna kepada kedua-dua pihak yang berkontrak ketika majlis akad dan TIDAK TERTANGGUH selepas sesi jual beli atau ke hari lain.

2) Jika mahu beli USD 10 dengan harga RM 40, bayaran yang dibuat wajib penuh (in full) secara on the spot. TIDAK boleh bayar ansuran seperti bayar RM 10 dahulu, lagi RM 30 diserahkan esoknya. Begitu juga USD10 tersebut, mesti dapat “in full” dan “on the spot”.

3) Tidak wujud elemen bai` wa salaf, yang mana dalam kes ini, forex yang merupakan akad jual beli tidak boleh digabungkan atau disyaratkan dengan akad pinjaman kerana gabungan akad jual beli dan akad pinjaman yang “contingent to each other” adalah dilarang berdasarkan hadis Nabi s.a.w;
لَا يَحِلُّ سَلَفٌ وَبَيْعٌ
“Tidak dihalalkan salaf (pinjaman) beserta jual beli” (HR Abu Daud, hadis no. 1309)

Berdasarkan syarat-syarat di atas, kesimpulan ringkas saya mengenai hukum forex adalah seperti berikut;

1) Forex yang berlaku di kaunter-kaunter pengurup wang di Malaysia hari ini (setakat yang saya maklum) adalah diharuskan kerana ia memenuhi syarat bai` al-sarf.

2) Setakat ini, Forex ONLINE yang melalui platform elektronik atau internet dalam amalan semasa hari ini adalah tidak dibenarkan. Kerana ia masih tidak memenuhi beberapa syarat bai` al-sarf termasuk syarat asas yang saya tulis di atas.

Saya ringkaskan isu shariah non-compliant bagi forex online seperti berikut:

🔺- Tidak berlaku penyerahan sempurna atau taqabudh dalam forex online. Ini kerana, sesuatu matawang yang pelabur/pedagang beli ketika “open position” tidak dikreditkan pun ke dalam akaunnya secara sebenar sehingga matawang tersebut dijual balik kepada broker ketika “Close Position”. Begitu juga bila dia jual secara short selling, sebenarnya dia jual matawang yang belum dimiliki dan tiada dalam pemilikannya kerana apa yang dimiliki olehnya di dalam akaun adalah matawang lain.

🔺-Terdapat isu bai` wa salaf yang dilarang syara`. Ini kerana dalam forex online, terdapat pinjaman yang disediakan oleh broker forex kepada pelabur berbentuk leverage contohnya seperti 100:1, 200:1 300:1 atau sebagainya. Ini membawa kepada elemen gabungan atau “contingent to each other” bagi akad pinjaman (salaf / qard) dengan jual beli (bai` al-sarf) yang dilarang syara` seperti yang disebut dalam hadis point 3 di atas.

Ada beberapa lagi isu syariah lain dalam perniagaan forex ONLINE yang wujud dan diperdebatkan oleh ulama’. Adapun saya hanya terangkan di atas dua isu sahaja kerana dua isu ini merupakan isu asas dan utama yang menyebabkan aktiviti forex ONLINE hari ini masih tidak Syariah compliant.

Wallah A’lam.

Ustaz Ahmad bin Khairuddin
Pegawai Syariah Bank Negara Malaysia

Sumber: https://telegram.me/siyasahmuamalat

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *