home Tokoh Salahuddin Al-Ayyubi penakluk tentera salib

Salahuddin Al-Ayyubi penakluk tentera salib

2802309_orig

 

Salahuddin Yusuf Al-Ayyubi atau lebih dikenali sebagai Salahuddin Al-Ayyubi merupakan pemerintah agung yang berjaya menguasai Mesir dan menentang tentera salib. Beliau dilahirkan pada 1138M di Tikrit , Iraq. Beliau menerima pendidikan pertama daripada ayahnya sendiri yang namanya cukup tersohor, iaitu Najmuddin Al-Ayyubi.

Di samping itu, sikap berani dan gagah yang telah ditunjukkan oleh Asaduddin Al-Ayyubi iaitu bapa saudara beliau, sedikit sebanyak membentuk keperibadian beliau. Najmuddin Al-Ayyubi dan Asaduddin Al-Ayyubi merupakan pembantu Raja Syria iaitu Raja Nuruddin Mahmud.

Sejarah kepimpinan keluarga Ayyub bermula apabila, Shadzi, datuk Salahuddin diundang ke Baghdad oleh sahabat baiknya iaitu Bihruz. Ketika itu Shadzi turut membawa kedua puteranya, Ayyub dan Shirkuh. Bihruz memberi kepercayaan kepada Shadzi bagi menjadi dizdar (pemimpin kastil) Tikrit, sebuah kota benteng di tepian Sungai Tigris, sekitar 140 kilometer di Barat Laut kota Baghdad. Apabila beliau meninggal dunia tak lama kemudian, salah seorang puteranya telah diberi kepercayaan untuk memimpin Tikrit.

Salahuddin dibesarkan dalam suasana Syria dan Palestin, khususnya pada zaman pemerintahan Nuruddin Zanki, sangat diwarnai oleh semangat keilmuan dan kesolehan. Kisah-kisah masa muda Salahuddin tidak banyak diceritakan dalam buku-buku sejarah, kerana peranannya pada masa-masa itu masih terbatas. Pencapaian yang sebenarnya bagi Salahuddin hanya bermula pada ketika beliau menyertai misi yang diketuai oleh bapa saudaranya, Shirkuh, misi yang membawa Salahuddin pada kedudukan yang belum pernah dibayangkan oleh sejarah sebelumnya.

Salahuddin mengisi masa mudanya dengan mempelajari teknik dan strategi perang, mahupun politik. Kemudian beliau melanjutkan pendidikannya ke Damaskus untuk mempelajari teologi Sunni selama 10 tahun. Pada 1169M, Salahuddin telah dilantik menjadi wazir di Syria, di bawah pimpinan Nuruddin Mahmud. Salahuddin memimpin Mesir pada 1171M, berlaku konflik takhta ketika itu oleh anak Nuruddin Mahmud, tetapi setelah Nuruddin Mahmud meninggal dunia pada 1174M. Salahuddin, pemimpin terkuat pada zaman pemerintahannya dan pemimpin wilayah Mesir, muncul sebagai pemimpin baru yang menyatukan wilayah-wilayah Muslim dalam menghadapi tentera Frank, menyambung tampok pimpinan Nuruddin Mahmud.

Pertengahan tahun 1180M, wilayah-wilayah peninggalan Kesultanan Nuruddin telah berjaya ditakluk semula oleh Sultan Salahuddin. Beliau telah muncul sebagai kekuatan terbesar dari wilayah Mesopotamia hingga ke Mesir, bahkan mungkin di seluruh dunia Islam pada masa itu. Sementara itu, para bangsawan Frank telah mula berpecah belah dan mengalami kemunduran. Disebabkan hal ini, tentera Salahuddin berjaya menentang tentera Frank dalam peperangan Hattin pada tahun 1187M. Tidak lama selepas itu, Kota al-Quds berjaya dikuasai kembali oleh orang Islam dan hampir keseluruhan wilayah Frank.

Salahuddin jatuh sakit dan meninggal dunia pada hari rabu, 27 safar 1193M di usia 57 tahun. Bahauddin, penasihat Salahuddin, menceritakan bahawa Salahuddin hanya meninggalkan satu dinar dan 47 dirham. Tiada rumah, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkan. Bahkan harta yang tinggal tidak cukup untuk menampung kos pengebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang bagi menampung kos pengebumian dan kain kafan pula telah diberikan oleh seorang menteri. Semangat jihad dan zuhud yang dimiliki oleh beliau sangat tinggi sehingga setiap perbicaraan beliau pasti akan berkaitan tentang jihad. Beliau adalah contoh pemuda yang mempunyai semangat juang yang tinggi dan patut dicontohi.

Nurul Jannah binti Mohd Asngari
Bendahari,
PEMBINA UM

Sumber : PEMBINA UM
text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *