home Tarbiah Bagaimana para salaf mendidik anak berpuasa?

Bagaimana para salaf mendidik anak berpuasa?

1501-WP-Kids-by-Isra-iStock-sm

 

Bila hampir tiba bulan Ramadhan, pasti ibu bapa tertanya-tanya, pada usia berapa anak-anak perlu dilatih berpuasa? Bagaimana hendak melatih anak-anak berpuasa? Dan mungkin juga ada yang bertanya, apakah ada panduan dari hadis tentang bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat melatih anak-anak mereka berpuasa?

Jawabnya ya, memang ada.

Dalam kitab Sahih Bukhari, salah satu bab diberi tajuk Puasanya Anak-Anak. Hadis yang diletakkan di bawah tajuk ini adalah berkenaan dengan kisah yang berlaku kepada Saidina Umar (atsar Umar). Diceritakan dalam hadis tersebut bahawa satu hari Saidina Umar melihat seorang pemabuk tidak berpuasa di bulan Ramadhan. Saidina Umar lalu mengherdik pemabuk tersebut dengan berkata, “celakalah engkau! Engkau melakukan ini (tidak berpuasa) padahal anak-anak kami sedang berpuasa!” Saidina Umar kemudian memukul pemabuk tersebut.

Ibnu Hajar ketika mensyarahkan hadis ini pertamanya menyatakan bahawa pendapat majoriti ulama adalah anak-anak tidak wajib berpuasa selagi belum sampai usia baligh. Namun, ada juga ulama yang mengatakan bahawa puasa bagi anak-anak adalah sunnah, iaitu Ibnu Sirin dan Az Zuhri. Imam Syafi’I mengatakan bahawa anak-anak wajar dilatih untuk mengerjakan puasa bila mereka telah mampu.

Bagi setiap anak, kemampuan mungkin berbeza-beza, ada anak yang telah bersedia untuk berpuasa seawal usia 7 tahun, ada juga yang sedikit lewat, sekitar usia 8 hingga 10 tahun. Ibu bapa lebih mengetahui tentang kekuatan anak masing-masing.

Kesimpulannya, latihlah mengikut kemampuan anak-anak, cuma, jangan sampai memudaratkan anak-anak hingga berlaku dehidrasi dan masalah-masalah kesihatan yang lain.

Dalam sebuah hadis yang lain, ada kisah yang lebih menarik, iaitu bagaimana para sahabat memujuk anak-anak mereka yang sedang berpuasa agar terus bertahan hingga berbuka.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari ar-Rubayyi’ binti Muawwidz:
Rasulullah SAW di siang hari Asyura membuat satu pengumuman kepada penduduk desa dari kalangan kaum Ansar. “Barang siapa yang hari ini berpuasa, hendaknya meneruskan puasanya. Dan barang siapa yang hari ini tidak berpuasa, maka hendaknya berpuasa untuk baki hari ini.” Setelah itu, kami berpuasa dan memerintahkan anak-anak kecil kami berpuasa. Kami pergi ke masjid. Di sana kami membuatkan untuk mereka mainan dari kain. Apabila salah seorang dari mereka menangis kerana lapar, kami berikan mainan itu kepadanya. Hal ini terus berjalan hingga tiba waktu berbuka.”

Ibnu Hajar menyatakan bahawa hadis ini adalah hujjah untuk melatih anak-anak berpuasa sejak awal usia. Satu lagi perkara yang dapat diperhatikan dari hadis ini adalah bagaimana para sahabat mendidik anak-anak mereka dengan penuh kelembutan. Tidak ada herdikan, tidak ada paksaan dan tidak ada rotan yang digunakan. Dalam menghadapi anak-anak yang mungkin tidak biasa berpuasa, para sahabat sedaya upaya menggembirakan anak-anak agar mereka leka dan lupa akan penatnya berpuasa.

Bagi kita, ini bukan bermakna untuk melekakan anak-anak kita dari laparnya puasa, kita memberikan mereka ruang untuk menonton televisyen rancangan kartun hingga waktu berbuka, akan tetapi, ajaklah mereka bermain permainan-permainan yang menyeronokkan tapi tidak memenatkan yang boleh membuatkan mereka leka hingga waktu berbuka.

Antara permainan yang mungkin boleh dicuba adalah seperti Scrabble, Sahiba, Monopoly dan sebagainya.

Jika tidak sempat bermain sekalipun dengan anak-anak, boleh juga dijanjikan hadiah kepada anak-anak yang berjaya berpuasa untuk memotivasikan mereka.

Bila tiba masuk waktu berbuka, panggillah semua anak-anak untuk berkumpul bersama dan berdoalah bersama mereka kerana ini adalah amalan para salaf seperti yang telah dilakukan oleh Abdullah Bin Umar bersama keluarganya ketika masuk waktu berbuka.

Mendidik anak berpuasa, bukan sekadar mendidik mereka lapar dan dahaga semata-mata, tapi apa yang paling penting adalah anak-anak dapat dididik dengan sifat jujur terhadap diri sendiri.

Ketika anak-anak sedang berpuasa, pesanlah kepada mereka bahawa hanya Allah sahaja yang akan mengetahui bahawa mereka jujur atau tidak dalam berpuasa, kerana Allah maha melihat walaupun jika mereka menelan air ketika berkumur-kumur.

Pengalaman saya sendiri dengan anak-anak, saya pernah membenarkan mereka untuk makan ketika mereka merengek-rengek lapar, dan saya berjanji untuk tidak memberitahu sesiapa sebagai satu cubaan ‘reverse psiko’.

Akhirnya anak saya menjawab sendiri, “ayah, mana boleh! walaupun ibu tak tahu, tapi Allah nampak.”

Selepas itu dia terus sahaja berpuasa walaupun rengekannya masih berterusan.

Tiba waktu berbuka, dialah orang yang paling gembira.

Anak-anak ketika berpuasa juga mesti dilatih untuk dikawal mata, telinga dan mulutnya. Jauhkan mereka dari televisyen, pesan juga agar sentiasa menjaga lidah dari kata-kata yang buruk dan sia-sia dan paling bagus jika dapat memperbanyakkan Quran, istighfar dan zikir.

Jadikanlah Ramadhan kali ini satu pakej tarbiah yang istimewa buat seluruh isi rumah kita. Moga Allah mengurniakan kita kejayaan dan membebaskan ahli keluarga kita semuanya dari api neraka.

Dr. Mohd Hisham Mohd Sharif

Sumber: https://www.facebook.com/isma.kubangpasu

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *