home Tarbiah Elakkan ‘kekejangan amalan’ di bulan Ramadhan

Elakkan ‘kekejangan amalan’ di bulan Ramadhan

000

 

“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman (yang artinya), “Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan karena-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kegembiraan yaitu kegembiraa ketika dia berbuka dan kegembiraan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.”” (Riwayat Bukhari)

Kurang dari bilangan jari-jari di tangan, Ramadhan bakal mengetuk lagi pintu-pintu rumah, jendela dan hati kita. Ramai yang bersemangat menyambut Ramadhan, tetapi tidak kurang juga yang semangatnya cuma bertahan seminggu atau dua. Malahan, ada yang pejam-celik, lalu Ramadhan sudah berlalu meninggalkannya tanpa sempat merebut apa-apa peluang. Baki beberapa hari ini, masih ada peluang untuk kita panaskan badan dengan merancang perancangan-perancangan yang rapi untuk menyambut Ramadhan. Tetamu ini bukan tetamu biasa-biasa, haruslah perancangannya juga luar biasa.

Pasti ada di antara kita yang mahu merancang, tetapi tidak tahu mahu bermula dari mana. Antara perancangan-perancangan terbaik yang boleh kita boleh lakukan adalah:

1)      Siap-sediakan diri kita

Cuba bayangkan pemain bola sepak atau sukan-sukan lasak yang masuk ke padang tanpa sesi memanaskan badan, mereka cuma mampu bertahan selama beberapa detik sebelum kekejangan otot. Begitulah juga persiapan untuk Ramadhan, bulan ini adalah bulan untuk kita berlasak-lasak dengan amal ibadah. Jika dimasuki tanpa warm-up, amal ibadah kita akan mudah ‘kekejangan’.

Justeru, biasa-biasakan diri untuk bangun qiyamullail di malam hari, berpuasa sunat, bersedekah, solat di awal waktu dan sebagainya. Bila di bulan Ramadhan nanti, tidaklah kekejangan.

2)      Tulis perancangan kita

Tulis semua senarai-senarai yang kita mahu capai di bulan Ramadhan. Sebagai contoh, solat awal waktu, qiyamullail setiap malam, habiskan satu juzu’ al-Quran beserta tafsir dan sebagainya. Jangan lupa untuk rancang bagaimana untuk merealisasikan capaian ini, barulah target kita lebih jelas. Niatkan untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik dan semata-mata kerana Allah.

3)      Kumpul saham pahala kita

Bagaimana? Ajaklah orang sekeliling untuk bersama-sama melakukan kebaikan. Ganjaran kita akan berganda-ganda, di samping dapat bantu-membantu kalau yang lainnya mula ‘futur’.

4)      Bersahabatlah dengan sahabat yang setia

Siapakah sahabat yang setia ini? Al-Quran. Bersahabatlah dengan Al-Quran. Latih diri untuk menjauhi gosip-gosip dan sembang-sembang kosong. Habiskan masa kita dengan sahabat yang paling setia, Al-Quran.

5)      Berbicaralah dengan Yang Sentiasa Mendengar

Habiskan malam-malammu dengan sujud-sujud dan doa. Kita berpeluang mendapat piala Lailatul Qadr walaupun tidak tahu mana satukah malamnya, bagaimana? Bangunlah pada setiap malam!

Selamat merancang untuk Ramadhan. Jika di pertengahan kelak, semangat mulai hilang, jangan risau! Sentiasa ada masa untuk mula bangkit sekali lagi. Jangan lihat sejauh mana orang lain sudah melangkah, mulakan dengan langkah-langkah bayi. Allah hitung setiap usaha kita untuk mendekatkan diri denganNya.

Allah itu Maha Hidup dan sentiasa ada, pada bulan Ramadhan dan bulan-bulan lainnya. Taatlah pada bila-bila waktu, kerana tidak ada ketaatan yang sia-sia pada ketika manapun. Kita berpuasa kerana Allah, kita taat kerana Allah, bukan kerana Ramadhan. Sentiasalah mempersiapkan diri di bulan Ramadhan dan bulan-bulan seterusnya, seperti kita mempersiapkan diri untuk kematian.

Kerana kita ini bukan hamba Ramadhan, tetapi hamba Tuhan.

 

Nursyazwani binti Khairuddin
Tahun 4 Pergigian
Jordan University of Science & Technology

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *