home Tarbiah Matlamat tertinggi tarbiyyah Ramadhan

Matlamat tertinggi tarbiyyah Ramadhan

image (1)

 

Eratnya hubungan dengan Allah dan kuatnya hubungan sesama mukmin adalah matlamat tertinggi tarbiyyah Ramadhan.

1. Hikmah Ibadah di bulan Ramadhan terbahagi dua sudut penting pertama daripada sudut menguatkan hubungan seorang Mukmin dengan Allah s.w.t melalui puasa, qiam Ramadhan, tilawah Quran, istighfar dan doa. Keduanya daripada sudut menguatkan hubungan kemasyarakatan.

2. Di bulan Ramadhan Allah menggalakkan kita banyak bersedekah, memberi makan orang-orang yang berpuasa ketika berbuka:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
“Sesiapa yang memberi makan orang berbuka puasa maka baginya pahala orang berpuasa itu tanpa kurang sedikitpun” [ HR At-Tirmizi ]

Memberi makan sama ada secara bersendirian dengan menghadiahkan makanan atau mengadakan majlis berbuka secara jamaei sudah tentu memberi kesan dalam mengeratkan hubungan sesama masyarakat mukmin.

3. Sembahyang sunat secara berjamaah pada tiap-tiap malam sepanjang bulan Ramadhan (sembahyang Tarawih) adalah satu syiar dalam menguatkan hubungan sesama masyarakat mukmin. Syiar ini tiada pada bulan-bulan yang lain.

4. Begitu juga amalan Tadarrus iaitu mengulangkaji bacaan atau pengajaran daripada Al-Quran sama ada berdua atau secara beramai ramai (jamaei) ian disunatkan di bulan Ramadhan mengambil sempena ulangkaji Rasulullah s.a.w. bersama Jibril a.s.

Kesemua amalan yang dianjurkan Allah ini terutama di bulan Ramadhan ketika kita berpuasa keranaNya adalah bertujuan mengeratkan hubungan sesama mukmin serentak dalam kita sedang menguatkan dan mengeratkan hubungan denganNya, dan kedua-dua hubungan itu tidak boleh berpisah ibarat dua muka siling yang satu. Kuatnya hubungan seseorang itu degan Allah maka akan kuatlah hubungan atau prihatinnya kepada masyarakat mukminnya.

5. Allah mengharamkan mukmin daripada bertindak menyakiti mukmin yang lain dengan kata-kata dan perbuatannya lebih-lebih lagi ketika dia berpuasa. Allah menjadikan tindakannya itu boleh membatalkan pahala puasanya.
Allah mengharamkan mengumpat,memfitnah, menghina dan berbicara bohong terhadap hak saudaranya yang lain yang menjadikan puasa seseorang sia-sia.

من لم يدَعْ قولَ الزُّورِ والعملَ بِهِ ، فليسَ للَّهِ حاجةٌ بأن يدَعَ طعامَهُ وشرابَهُ

“Barang siapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta maka Allah tidak berhajat untuk dia meninggalkan makan dan minumnya kerana berpuasa (Allah tidak menilai puasanya)” [ HR At-Tirmizi ]

Kesemua larangan ini adalah bertujuan memelihara keutuhan dari dalam masyarakat mukmin daripada runtuh dan berpecah menjadi lemah.

6. Allah juga secara umumnya dalam banyak ayat melarang orang-orang yang beriman daripada memberi wala’ atau taat setia atau setiakawan kepada orang-orang kafir mengatasi orang-orang beriman. Ini termasuk menjadi talibarut orang-orang kafir yang memusuhi Islam dan umat Islam atau mengkhianati amanah untuk memelihara kesatuan dan kekuatan orang-orang beriman

7. Islam menjadikan prinsip wala’ dan bara’ ini sebagai paksi dan benteng kedua selepas memupuk kesatuan dalam memelihara kekuatan orang-orang beriman daripada ancaman luar.

Apabila ia lemah dan berpecah sama ada disebabkan daripada dalam atau ancaman luar maka mudah untuk ditembusi musuh dan akhirnya masyarakat mukmin ini tidak dapat melaksanakan fungsinya menjadi khalifah, iaitu memakmurkan muka bumi ini dengan syariat Allah.

8. Usaha menguatkan hubungan seorang mukmin dengan Allah dan usaha menguatkan hubungan sesama mukmin dalam satu masyarakat mukmin yang membawa kepada kekuatan ummah serta memelihara kekuatan itu daripada ancaman luar adalah maksud daripada penurunan Al-Quran. Puluhan ayat malah ratusan ayat membawa kepada maksud itu bagi mereka yang memerhati dan bagi mereka yang mengerti tentang MAQASID.

Maksud itu tersurat dan tersirat dalam Khitab Allah tentang ayat-ayat WALA’ dan BARA’.

Dan sebagai khulasoh kepada ayat-ayat tadi Allah menyatakan:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (55) وَمَن يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ

“Sesungguhnya (yang rapat sebagai) Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (yang rapat dan dipercayai,maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang.” [ Al-Maidah : 55-556 ]

9. Ini kerana erat dan kuatnya hubungan seseorang dengan Penciptanya, itulah satu-satu matlamat pengabdian. Manakala erat dan kuatnya hubungan sesama mukmin disamping ia adalah manifestasi daripada hubungan kasih kepada Pencipta yang hanya mengasihi orang-orang yang beriman kepadaNya. Ia juga sebagai sumber kekuatan dalam memikul amanah Khilafah untuk memakmurkan muka bumi ini dengan syariat-Nya iaitu satu-satunya agama yang diredhaiNya.

Ustaz Rushdan Abdul Halim

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *