home Tarbiah Ke mana kita selepas Ramadhan?

Ke mana kita selepas Ramadhan?

0-5PB0_ud_GqTCp4T-

 

Ramadhan sudah lebih seminggu meninggalkan kita. Wajar kita meneliti keadaan kita, adakah kita sudah menjadi semakin baik selepas Ramadhan, atau keadaan kita kembali kepada yang asal sebelum Ramadhan.

Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali berkata:

من عمل طاعة من الطاعات و فرغ منها فعلامة قبولها أن يصلها بطاعة أخرى و علامة ردها أن يعقب تلك الطاعة بمعصية ما أحسن الحسنة بعد السيئة تمحوها و أحسن منها بعد الحسنة تتلوها و ما أقبح السيئة بعد الحسنة تمحقها و تعفوها ذنب واحد بعد التوبة أقبح من سبعين ذنبا

”Sesiapa yang melakukan ketaatan kepada Allah, dan selesai pula melaksanakannya. Antara tanda diterimanya amalan tersebut adalah dia akan berterusan melakukan ketaatan yang lain selepas itu. Manakala antara tanda tertolaknya sesuatu amalan ialah apabila amalan itu diikuti dengan sesuatu maksiat. Apa sahaja kebaikan yang dilakukan selepas kejahatan, akan menghapuskan kejahatan tersebut, dan sudah pasti yang terbaik ialah melakukan kebaikan selepas melakukan kebaikan yang lain. Yang paling buruk ialah melakukan kejahatan selepas kebaikan yang akan menghapuskan kebaikan-kebaikan yang telah dilakukan. Melakukan dosa selepas seseorang bertaubat itu lebih buruk daripada tujuh puluh dosa sebelumnya. [Lathoif al-Maarif m/s 193]

Wajar kita renungi kata-kata Ibn Rajab al-Hanbali di atas. Kita takut jika keadaan kita selepas Ramadhan bertambah buruk, ia merupakan isyarat daripada Allah bahawa amalan kita ditolak oleh Nya.

Oleh kerana itu wajar kita meneruskan momentum Ramadhan dengan berterusan melakukan amal kebaikan, walaupun boleh jadi tidak sekental dalam bulan Ramadhan.

Antara amalan kebajikan yang wajar dilakukan berterusan adalah:

a) Solat berjemaah di masjid untuk lelaki

b) Berterusan melakukan puasa-puasa sunat

c) Berterusan melakukan solat malam/Qiamullail walaupun sekadar dengan satu rakaat witir sebelum tidur

d) Bersedekah

e) Membaca al-Quran

Berdoalah agar kita menjadi insan yang istiqamah dalam melakukan ibadah.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ، أَنَّهَا قَالَتْ : سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْأَعْمَالِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ ؟ قَالَ : ” أَدْوَمُهَا ، وَإِنْ قَلَّ ، وَقَالَ : اكْلَفُوا مِنَ الْأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ “

‘Aisyah r.a berkata: Rasulullah s.a.w ditanya ‘Amal apakah yang paling dicintai Allah?’. Baginda s.a.w pun menjawab: Yang berterusan walaupun sedikit. Bebanilah diri kalian dengan amal-amal yang mampu kalian lakukan. [Sahih al-Bukhari : 6013]

Ingatlah kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:

كان السلف يقولون بئس القوم قوم لا يعرفون الله إلا في رمضان، كن ربانياً ولا تكن رمضانياً

Generasi salaf (generasi awal Islam) berkata: Seburuk-buruk manusia ialah yang tidak mengenali Allah kecuali dalam bulan Ramadhan. Jadilah manusia yang menyembah Tuhan, bukan manusia yang menyembah Ramadhan.

Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *