home Semasa Kelunakan suara imam ‘istimewa’ Masjid Jamek KL

Kelunakan suara imam ‘istimewa’ Masjid Jamek KL

image (1)

 

KUALA LUMPUR – Pengunjung ke Masjid Jamek Kuala Lumpur memang sering terpesona dengan keindahan seni bina ‘moorish’ pusat ibadat Islam ini yang terletak di tebing pertemuan dua sungai, dengan lanskap cukup menawan.

Namun di sebalik cerita-cerita indah mengenai masjid yang kini sudah berusia lebih seabad itu, ada kisah lebih istimewa.

Kelunakan suara seorang imam utamanya bila mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dalam solat, atau di luarnya.

Tidak ramai menyangka beliau seorang insan ‘istimewa’.

Sekalipun ditakdirkan tidak dapat melihat, Muhammad Syukri Ismail, 27, tetap mampu belajar dan menghafaz al-Quran dengan mengambil manfaat sistem braille.

Makhraj huruf dan tajwidnya cukup sempurna, hingga beliau muncul sebagai seorang pelajar cemerlang.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Syukri berkata harapan ibu bapanya yang mahu beliau menjadi imam merupakan faktor utama mendorongnya memilih profesion berkenaan.

“Impian kedua ibu bapanya itu termakbul hasil usaha, tawakal dan doa kepada Allah setiap hari,” kata Muhammad Syukri ketika ditemui Bernama.

Muhammad Syukri yang berasal dari Jitra, Kedah dan telah berkhidmat di masjid berkenaan sejak tahun 2011 menyifatkan kerjaya sebagai imam sesuatu yang ‘menyeronokkan’.

Mengulas lanjut, lulusan Diploma Syariah dari sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur itu berkata, masjid berusia 107 tahun itu mempunyai nilai sentimental tersendiri buat dirinya.

Imam itu berkata, memandangkan masjid itu menjadi tumpuan pelancong luar negara, beliau menjadikannya sebagai platform terbaik bagi memperbetulkan tanggapan negatif pengunjung bukan Islam mengenai Islam.

“Rata-rata mereka memberi respons positif selepas saya berinteraksi bersama mereka mengenai Islam,” katanya.

Malah, ada yang mahu mengetahui lebih dalam tentang Islam.

Memandangkan kecemerlangan bacaan al-Quran, Muhammad Syukri turut dilantik pihak masjid menganggotai kumpulan pengajar bersama empat rakan lain bagi kelas Talaqi secara percuma di masjid itu setiap hari selama sejam selepas solat Zohor.

“Kelas itu mengajar individu tentang bacaan al Quran yang betul dari segi makhraj huruf dan tajwid.

“Alhamdulillah ramai pelajar menunjukkan kemajuan baik dalam bacaan al Quran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Imam masjid berkenaan, Mohd Faisal Tan Mutalib, 35, berkata, beliau mengesan bakat dalam diri Muhammad Syukri ketika beliau menjadi pensyarahnya pada tahun 2009.

Jelasnya, beliau cukup tertarik dengan kesungguhan dan ciri-ciri kepimpinan Muhammad Syukri ketika bekas pelajarnya itu bergiat aktif dalam program keagamaan di kolej.

Bacaan ayat-ayat sucinya cukup mempesona, kata beliau.

“Menyedari potensi pada Syukri, saya terus memaklumkan beliau bahawa terdapat kekosongan di masjid ini sebagai Muazzin pada awal 2011, dan Alhamdulillah beliau berjaya memperoleh pekerjaan di sini,” katanya.

Maznah Osman, 70, yang merupakan salah seorang pelajar Muhammad Syukri dalam kelas Talaqi menyifatkan imam itu guru yang tegas ketika mengajar.

“Saya sangat suka cara Ustaz Syukri. Ia mengajar saya teknik sebutan huruf dengan jelas.

“Alhamdulillah bacaan saya semakin lancar sejak mengikuti kelas itu pada awal tahun ini,” katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/kelunakan-suara-imam-istimewa-masjid-jamek-kl-1.539341

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *