home Semasa Keselamatan siber di hari raya

Keselamatan siber di hari raya

IMG_01802

Saya nak share sikit tips keselamatan siber sepanjang hari raya Aidilfitri kali ini :-

1. Check-in
Keperluan check-in samada melalui Facebook, Instagram, dan sebagainya perlu dinilai pada aspek keselamatan diri sendiri dan keluarga. Dengan memberi maklumat setiap lokasi di mana anda berada pada setiap masa boleh memberi gambaran samada kediaman anda kosong atau pun tidak.

Sudah tentu, ini adalah maklumat penting bagi penjenayah dan pencuri untuk memecah masuk kediaman mewah anda.

2. Bergambar / selfie
Tak perlu dimuat naik(upload) semua gambar dari pelbagai sudut di rumah anda ke laman sosial.

Pastikan setiap gambar yang dimuat naik dinilai terlebih dahulu. Maklumat seperti jenis pintu rumah anda, lokasi pintu belakang, pintu pagar, jenis siling serta kedudukan kotak kunci rumah anda adalah maklumat yang amat bermakna bagi si penjenayah.

Selain itu, pastikan gambar yang sesuai sahaja dimuat naik, seperti menutup aurat dan ekspresi wajah yang jauh dari fitnah terutamanya kaum perempuan. Dan sebenarnya adalah lebih baik tidak dikongsi kepada umum pun. Kalau rasa tak keruan nk berkongsi sangat pun, berkongsilah dengan ahli keluarga terdekat sahaja.

Baru-baru ini kes pedofilia di Malaysia menjadi perhatian umum dan kita masih berkongsi gambar anak-anak kita yang comel tu di laman sosial, siap set ‘Public’ lagi.

3. Mode GPS
Pastinya beraya ke rumah sanak saudara memerlukan kita menggunakan teknologi GPS seperti Waze dan Google Maps.

Aktifkan mode GPS bila perlu sahaja, padamkan ia setelah menggunakannya. Ini dapat mengelak daripada peranti kita merakamkan setiap aktiviti pergerakan kita.

4. Keselamatan peranti
Seronok beraya, rumah terbuka dan melayan saudara akan membuatkan kita leka dengan harta benda kita termasuklah gajet-gajet mahal anda seperti komputer riba, telefon pintar dan tablet.

Disarankan untuk sentiasa mengaktifkan kekunci skrin (screen lock) dan sentiasa di bawa bersama. Paling tidak pun, letakkan di laci berkunci untuk mengelak kejadian yang tidak diingini. Kita kadang-kadang tak sedar pun sapa yang keluar masuk semasa rumah terbuka kita.

5. Elak kan ‘public WiFi’
Internet percuma adalah satu nikmat yang tidak dapat dinafikan, apatah lagi ia menjimatkan quota bulanan internet kita.

Saranan saya adalah elakkan menggunakan internet percuma ini atau public WiFi sepanjang anda beraya nanti terutamanya untuk akses ke laman-laman sensitif seperti internet perbankan. Penjenayah (baca:penggodam) mungkin boleh menyalah gunakan kemudahan WiFi percuma ini untuk kegiatan jenayah seperti mencuri kata kekunci internet perbankan anda.

Sebenarnya, yang lebih baik adalah elakkan terus menggunakan internet ketika bersama saudara mara. Fokuskan kepada aktiviti mengeratkan silaturrahim sepanjang hari lebaran ini. Gunakan telefon anda untuk kegunaan yang utama sahaja.

Akhir kata, semoga amal dan ibadah sepanjang bulan Ramadhan kita diterima Allah dan lebaran kali ini lebih bermakna untuk anda seisi keluarga.

Salam Aidilfitri dan maaf zahir dan batin.

Ikhlas dari,
Azril HanafiĀ @Techsamana

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *