home Dunia Islam Segalanya tentang Rohingya

Segalanya tentang Rohingya

41398053773_freesize

 

JADI apa yang baharu tentang Rohingya? Masalah bangsa tiada negara ini, sudah sejak berdekad lamanya. Malangnya, selama berdekad-dekad itu juga, penderitaan mereka tidak tersebar di seluruh dunia.

Secara tiba-tiba, radar tumpuan kita semua dihala semula kepada Rohingya apabila pendedahan kubur cetek di Selatan Thailand disiarkan di kaca televisyen dan landasan media lain.

Ia kemudiannya membawa pula kepada laporan berita susulan, pemerdagangan manusia, yang mengaitkan juga kepada bukan sahaja Thailand dan Myanmar, malah Malaysia.

Masyarakat Malaysia dan Rohingya

Jujur dan mengaku sahaja, kita sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang Rohingya, atau asal namanya ialah Rohang, dan tinggal di Arakan, kini namanya bertukar mengenai Rakhine.

Kepada kita di Malaysia, kita kerap kali keliru antara Rohingya dan “mamak”. Kita cuma ingat Rohingya dan peminta sedekah – itulah yang berlaku ketika tahun 2007 di mana kanak-kanak bernama Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin hilang di Kompleks Membeli Belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman dan kemudiannya dilaporkan “diculik” pasangan warga Rohingya untuk dijadikan peminta sedekah.

Bagi sebahagian orang muda pula, yang mereka lebih tahu lagu “Selamat Malam Rohingya” dinyanyikan Kumpulan Sabahat berbanding siapa itu Rohingya.

Itulah kita.

Kepada Myanmar, Rohingya ialah pendatang dari Bangladesh, mereka bukan sebahagian daripada 137 minoriti di negara itu.

Kepada Myanmar juga, Rohingya adalah “Benggali” asal dari Bangladesh dan bukannya Arakan sebagaimana didakwa sejarahwan dan beberapa ilmuwan.

Maka, mereka menolak untuk membincangkan masalah Rohingya walaupun ada desakan mahukan junta menyebut mengenainya.

Penindasan ke atas Rohingya gagal di pentas diplomatik. Sidang kemuncak ASEAN di Langkawi dan Kuala Lumpur baru-baru ini langsung tidak menyebut mengenai Rohingya walaupun pada awal-awal mesyuarat menteri kanan dikatakan itu tumpuan utama.

Bangsa Tanpa Negara

Kalau Myanmar tidak mahukan Rohingya, Bangladesh juga ada masalah sendiri untuk menerima mereka.

Mereka menganggap Rohingya pelarian dari Myanmar yang menindas etnik itu secara berterusan sejak 1978 lagi apabila junta melucutkan kerakyatan mereka.

Apabila Myanmar dan Bangladesh masing-masing tidak mahukan Rohingya, maka berlaku dakwaan bahawa mereka ini pemisah yang cuba memperjuangkan sebuah negara bebas di Arakan.

Penderitaan yang ditanggung oleh kaum Rohingya di bawah kuasa junta tentera Burma yang menafikan sebarang dokumen kerakyatan kepada mereka menjadikan Rohingya bangsa tanpa negara.

Maka mereka menjadi pelarian untuk mendapatkan perlindungan di Bangladesh sedangkan negara itu sendiri pun mempunyai masalah sendiri. Pelarian ini akhirnya sampai juga ke Thailand dan Malaysia.

Pemerdagangan Pendatang

Kepada Thailand, Rohingya ialah masalah Myanmar, walaupun ditangkap dan diseksa di dalam kawasan wilayah mereka.

Rohingya, hujah Thailand, menggunakan perairan di sempadan  untuk tiba ke Malaysia atau negara lain bagi mencari kehidupan lebih baik.

Tetapi logiknya, apabila itu berlaku, lebih-lebih lagi dalam kumpulan yang ramai mahu melarikan diri, ia membuka peluang perniagaan yang lain pula.

Maka berlaku perdagangan di situ, apatah lagi berniaga manusia adalah antara yang paling untung sekali terutama bagi tujuan seks dan buruh murah.

Kemanusiaan Malaysia

Kepada Malaysia, atas sifatnya yang pemurah dan dasar perikemanusiaan, kita menerima Rohingya sehingga sejak awal tahun 1980-an lagi, tanpa memikirkan kesannya untuk jangka masa panjang.

Keadaan ini sekali gus membuka peluang untuk lebih ramai lagi kumpulan itu datang ke negara ini.

Dalam hal ini, saya menyamakan Malaysia itu kelip-kelip untuk malam hari Rohingya. Berdasarkan data UNHCR, mereka kini membentuk komuniti kecil di Lembah Kelang, Pulau Pinang, Kedah dan Pahang.

Kebanyakannya bekerja di sektor pembinaan, pertanian dan ladang getah.

Kini, dengan terbongkarnya isu pemerdagangan manusia, kita semua menyelak semula segalanya tentang Rohingya.

Ya, sebagai pengkaji tentang Rohingya, saya mengakui, masalahnya agak kompleks tetapi jawapan penyelesaian konflik ini tetap ada dan tidak pula begitu sukar. Kita cuma tidak memahami akar masalah Rohingya ini.

Akar Masalah Rohingya

Kepada saya, masalah Rohingya menjadi isu kerana Burma menganggap mereka adalah pendatang daripada Bangladesh; sedangkan pihak Bangladesh pula menyifatkan mereka sebagai pelarian daripada Burma.

Kesemua ini berlaku kerana British yang menjajah kedua-dua Burma dan India telah membuat sempadan yang menjadikan Arakan sebagai sebahagian daripada Burma, dan bukannya negara berasingan.

Sedangkan sejak berzaman-zaman, penduduk Arakan bergerak keluar masuk sempadan India dan Burma secara bebas.

Bergerak dari galur sejarah itu, ia berpanjangan sehingga hari ini. Ia tidak selesai, sekali pun British sudah tiada.

Tidak juga menunjukkan perkembangan lebih baik walaupun Myanmar kini secara perlahan-lahan bergerak untuk memulangkan semula negara itu ke pangkuan demokrasi.

Sinar Untuk Rohingya

Pemerdagangan manusia melibatkan pendatang Rohingya sebagaimana dibongkar, bukan masalah utama Rohingya. Ia isu sampingan kepada masalah yang lebih besar dari itu, hal pengiktirafan serta layanan lebih manusiawi kepada bangsa tanpa negara ini.

Saya ingin memetik status dalam Tweeter @drzarni, tulisnya, “Human trafficking is a symptom, seek remedial measures but address the cause”.

Dr Maung Zarni ialah warga Myanmar yang lantang menyuarakan bantahan ke atas layanan junta terhadap  Rohingya, walaupun beliau beragama Buddha. Beliau kini Felo Penyelidik di London Business School, UK.

Selain mahu bersetuju dengan Dr Zarni, saya turut mahu senada dengan lirik lagu “Selamat Malam Rohingya”.

Bahawa bait-bait dalam lagu itu mencadangkan supaya Rohingya yang selama ini lena di sisi mayat, bangun esok pagi dengan doa serta harapan ada matahari untuk mereka.

Azlinariah Abdullah, Astro Awani

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-dunia/segalanya-tentang-rohingya-59901

text gambar

2 thoughts on “Segalanya tentang Rohingya

  1. Adakah Rohingya ini senuanya Muslim ? Kalau ye … nasibnya sama mcm warga Muslim di Myamnar … tp mereka tdk di bunuh dgn kejam sebaliknya di usir. Negara2 Islam x mampu atau x mahu bersatu utk membantu umat Islam yg tertindas tp negara2 Islam boleh turut bersama Negara Bukan Islam utk membantu penduduk2 ‘dunia’ yg bermasalah atau di timpa bencana. Pelikkan .. kita ada OIC .. bersidang untuk apa ??

  2. apa guna OIC kalau tak mampu membela orang atau negara2 islam..bagi saya kita sebagai umat islam harus bantu..bukan lagi harus malah wajib..kerana islam itu bukan dinilai dari keturunan mahupun warna kulit..kita semua bersaudara.jika tidak mampu mengankat senjata..ayuh dgn doa..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *