home Semasa Hanya Al-Quran tak terbakar

Hanya Al-Quran tak terbakar

image (7)

 

JERANTUT – ‘Al-Quran saja yang tak terbakar, yang lain semua habis,’ kata seorang peniaga kedai makan setelah keseluruhan rumahnya musnah dalam satu kejadian kebakaran, di Kampung Batu Satu, di sini, semalam.

Sinar Harian difahamkan tiga unit rumah sewa juga terbakar dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 pagi itu.

Roslan Deris, 44, berkata, ketika kejadian dia sedang membuat persiapan memasak untuk berniaga di kedai makannya yang terletak di hadapan rumahnya.

“Masa saya tengah masak, saya dengar jiran beritahu rumah dia terbakar. Cepat-cepat saya keluar pergi rumah jiran, masa tu saya cuba padam kebakaran guna pemadam api tapi tak dapat nak kawal dah…sebab api dah marak, asap pula terlalu tebal” katanya.

Menurutnya, dia tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen atau barangan berharga lain, namun Roslan terkejut apabila mendapati senaskhah al-Quran miliknya masih dalam keadaan baik.

“Al-Quran ni hanya terbakar di bahagian tepinya saja, isi kandungannya selamat dan masih boleh dibaca…ini tanda kekuasaan ALLAH.

“Sedangkan dokumen penting, peralatan rumah dan elektrik semua musnah. Tak ada apa yang tinggal. Nasib baik saya sempat alih motosikal saya…dua motosikal milik jiran pula tak sempat diselamatkan.

“Saya anggar kerugian bagi keseluruhan termasuk wang tunai dan barang kemas sekitar RM80,000,” katanya.

Tambahnya lagi, Roslan bagaimanapun bersyukur kerana dia dan beberapa jiran yang menyewa bersebelahan rumahnya termasuk enam kanak-kanak terselamat dalam kejadian terbabit.

Katanya, dia tinggal bersendirian di rumahnya manakala isterinya berada di Kuala Lumpur sementara empat anaknya berada di asrama.

“Api berpunca dari rumah sebelah saya di mana ketika kejadian dia tinggal berseorangan manakala isterinya di Hospital Temerloh menjalani pembedahan kaki dan anak-anak jiran berada di kampung.

“Jiran rumah ketiga pula secara kebetulan pulang ke kampung di Terengganu manakala jiran rumah terakhir yang tinggal bertiga turut terselamat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen, Ahmad Nazlan Idris yang menziarahi tempat kejadian semalam turut menghulurkan sumbangan kecemasan bernilai RM1,000, bantuan makanan dan pakaian terpakai kepada empat keluarga itu.

“Kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan cuba bantu keluarga-keluarga ini kerana kebanyakan mereka merupakan penduduk susah,” katanya.

Sumber : Sinarharian

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “Hanya Al-Quran tak terbakar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *