home Semasa KWSP: Kenapa baru sekarang ada Simpanan Syariah?

KWSP: Kenapa baru sekarang ada Simpanan Syariah?

maxresdefault (1)

 

KWSP: Kenapa baru sekarang ada Simpanan Syariah, dan kenapa hanya jaminan modal, dan tidak bersama dividen seperti simpanan konvensional?

Simpanan Syariah KWSP adalah suatu alternatif kepada simpanan KWSP yang ada sekarang. Walaupun simpanan sekarang mengamalkan konsep ESG, dan tiada pelaburan-pelaburan yang dilaburkan kepada pelaburan yang tidak “ethical” seperti perjudian, namun ia masih lagi melakukan pelaburan di dalam pelaburan yang tidak patuh Syariah seperti perbankan konvensional. Oleh kerana itu, simpanan Syariah ini diperkenalkan untuk mereka yang mahu memastikan bahawa wang persaraan mereka patuh syariah. Tuan-tuan mempunyai pilihan untuk memilih dan tiada sebarang paksaan. Sama seperti perbankan Islam. Kita memberi alternatif. Kepada sesiapa yang “concern“, maka mereka boleh berurusan secara perbankan Islam. Sesiapa yang tidak mahu, maka itu terpulang kepada diri masing-masing.

Berkenaan dengan persoalan kenapa baru sekarang, pertamanya saya rasa kita perlu bersyukur kerana kita telah berjaya melaksanakannya. Kenapa sekarang? Dorongan untuk Simpanan Syariah ini bukannya baru. Ia sudah lama. Saya masih ingat ketika saya (dan juga Ustaz Bakhir dan Dr Akram) dilantik menjadi jawatankuasa syariah (kalau tak silap saya pada tahun 2010), kita sudah turut menyatakan perkara yang sama. Saya juga tahu bahawa dorongan ke arah itu berlaku lebih awal lagi. Kita hanya satu antara beribu batu-bata bangunan itu. Kita tidak layak untuk menyatakan bahawa kitalah pendorong ke arah kejayaan tersebut. Tapi mudah-mudahan Allah SWT memberi pahala kepada sumbangan kerdil kita. Alhamdulillah, akhirnya ia menjadi kejayaan. Tahniah kepada pengurusan KWSP dan semua mereka yang terlibat.

Sememangnya pengalaman kewangan Islam di Malaysia berlaku secara beransur-ansur. Kita memulakan perbankan Islam pada 1983, kemudiannya dengan takaful, capital market, money market dan sekarang kita move further dengan cadangan pengamalan Islam dalam perkara-perkara lain termasuklah non financial institutions. Alhamdulillah, kita mempunyai gandingan kelompok manusia yang “concern” dengan perkara-perkara ini dan sentiasa memberikan cadangan-cadangan membina dari masa ke semasa. Semoga Allah memperbanyakkan lagi mereka seumpama ini. Seperti pepatah: “Rome was not build in a day”. Segalanya perlukan perancangan yang teliti dan rapi. Kita bercakap tentang pengurusan dana berjumlah beratus billion, bukannya sedikit. (panjang kalau nak cakap bab ni dari aspek ekonomi, asset allocation-nya, risk management-nya, ALM-nya, hedging-nya etc).

Ringkasnya, setelah berlaku perbincangan yang mendalam, JK Syariah percaya bahawa kontrak syarak yang terbaik ialah kontrak wakalah. Berdasarkan kontrak tersebut, pihak KWSP akan menjadi wakil melaburkan duit pencarum di dalam pelaburan yang patuh syariah (satu lagi filter, setelah filter ESG yang telah lama dipraktiskan).

Oleh kerana ia adalah kontrak wakalah, wakil yang dilantik adalah tidak dibenarkan untuk menjamin (dhamin) bahawa pelaburan yang dibuat akan mendapat keuntungan. Ini tidak bermakna sama sekali bahawa KWSP akan hanya sambil lewa di dalam pelaburan atau akan memberikan duit tersebut untuk di salahgunakan oleh sesiapa. Untuk pengetahuan tuan-tuan, pihak KWSP telah lama mengamalkan kriteria pelaburan (investment criteria -IC) yang kompentatif dan rigorous, serta alokasi strategik aset (Strategic Asset Allocation-SAA) mampan, yang telah lama dilakukan, dan perkara ini akan diteruskan dengan simpanan syariah ini.

Jangan sesekali tuan-tuan tersalah faham bahawa dengan tiadanya jaminan (dhaman) keuntungan ini, bermakna pihak KWSP akan dengan sewenang-wenangnya memberikan dana kepada sesiapa sahaja dan bila rugi, KWSP akan berkata: “Nak buat macam mana, nak rugi”. Perkara negligence dan mismanagement sebegini tidak pernah berlaku dan insya Allah, tidak juga akan berlaku di dalam simpanan syariah ini.

Tiada jaminan dalam hal ini ini adalah SUATU REQUIREMENT DARIPADA SYARIAH. Tanpanya, kontrak wakalah ini tidak dapat diterima menurut syarak. (ada ulama yang menyatakan kontrak itu terbatal ab initio. Ada pula yang menyatakan bahawa kontrak tersebut sah, tapi syarat tersebut terbatal, dan saya tidak berniat untuk memperpanjangkan perbincangan syarak dalam hal ini).

Namun begitu, terdapat mekanisma lindungan yang kita ada menurut peruntukan undang-undang, iaitulah dengan seksyen 28 AKTA KWSP yang memperuntukkan bahawa sekiranya berlaku kerugian yang menjejaskan simpanan ahli (saya katakan jika) di mana simpanan ahli dilindungi melalui pendahuluan daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan (Federal Consolidated Fund) dan ianya perlu dibayar balik daripada dana ahli (Kumpulan Wang) seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 28 Akta KWSP.

Perkara yang sama juga pada hakikatnya berlaku kepada simpanan selama ini. Pada hakikatnya tiada sebarang jaminan pun bahawa pelaburan tersebut akan membawa keuntungan (namun dengan pengamalan IC dan SAA yang begitu rigorous, simpanan KWSP tidak pergi rugi dan gagal untuk membayar dividen kepada pencarum). Namun peruntukan Akta menyatakan bahawa jika sekiranya berlaku kerugian (saya katakan jika), yang menjejaskan simpanan ahli, simpanan ahli dilindungi melalui pendahuluan daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan (Federal Consolidated Fund) dan ianya perlu dibayar balik daripada dana ahli (Kumpulan Wang) seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 28 Akta KWSP.

Perkara yang sama juga akan berlaku kepada simpanan syariah. Tiada yang berbeza. Mekanisma yang sama juga akan digunakan, dan ia adalah patuh syariat, sepertimana ynga diterimapakai oleh Piawaian Syariah AAOIFI di Bahrain (yang saya adalah salah seorang ahlinya) dan majma’ al-fiqh al-Islami di Jeddah. (Kepada sesiapa yang belajar fiqh muamalat dan kewangan Islam semasa, kedua-dua badan ini, tidak dapat tidak mereka mesti tahu).

Lalu tuan-tuan akan bertanya, kenapa di dalam konvensional mekanisma pinjaman ini boleh untuk cover modal dan dividen sebanyak 2.5%, sedangkan di dalam simpanan syariah, hanya dibenarkan cover modal sahaja. Again, ini adalah requirement syariah. Piawaian syariah AAOIFI, Majma; Fiwh al-Islami, bahkan Syariah Standard BNM juga mensyaratkan perkara yang sama. Ia menyatakan dengan jelas dalam hal ini bahawa:

“ 18.3 Pursuant to paragraph 18.2(b), the following requirements shall be
observed:
(a) the guarantee shall be executed in a separate contract;
(b) the guarantee shall be utilised to cover any loss or depletion of the capital; and……

……………………………………….”

Notes: 1) Syariah Standard ini adalah untuk mudharabah, namun sesiapa yang belajar muamalat mengetahui bahwa dalam hal guarantee ini, garispanduan syarak adalah sama Antara mudharabah dan wakalah
2) Untuk perbincangan di sini, saya hanya ambil bahagian yang berkenaan dengan perbincangan kita sahaja,

Oleh kerana itu, tuan-tuan hendaklah faham bahawa hanya “jaminan” ke atas modal ini dan tidak ke atas keuntungan (dividen) adalah atau requirement syarak. Apa guna jika kita membuat kontrak syariat tetapi tidak mahu mematuhi requirement kontrak syariah itu sendiri. Ianya tidak ada kena mengena sama-sekali bahawa KWSP mahu berlepas tangan atau mahu menggunakan wang caruman ini sesuka hati, atau untuk kepentingan mana-mana pihak. Pengamalan secara rigors berkenaan dengan IC dan SAA akan terus dilaksanakan.

Janganlah kita melihat semuanya daripada kacamata politik semata-mata, sedangkan mereka yang telah lama berusaha agar perkara ini terlaksana, mereka tiada sebarang agenda politik. Matlamat hanyalah satu, iaitu memberi alternatif kepada kita semua untuk memastikan bahawa simpanan kita bertepatan dengan syarak, untuk kegunaan kita di masa hadapan. Tapi jika tuan-tuan tidak puas hati atau merasakan tidak perlu dan mahu kekal dengan simpanan yang ada, dan tidak mahu berpindah kepada simpanan syariah, itu terlupang kepada diri kita masing-masing. Alternatif telah disediakan.

Jika tuan-tuan ada cadangan untuk penambahbaikan simpanan syariah ini, cadangan tuan-tuan amat-amatlah di alu-alukan. Tiada yang sempurna di kalangan kita. Kita hanya berusaha ke arah yang terbaik.

Semuga Allah memberikan kepada saya dan tuan-tuan semua.

P/S: Ini adalah perbincangan peribadi saya sebagai pengamal kewangan Islam dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana pihak yang saya menjadi penasihatnya.

Sekian.

Prof Madya Dr Aznan Hasan
Presiden Persatuan Syariah Kewangan Islam (ASAS)
Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah (JKPS) KWSP
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “KWSP: Kenapa baru sekarang ada Simpanan Syariah?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *