home Semasa Murid India kuasai bahasa Arab

Murid India kuasai bahasa Arab

image (6)

 

KUANTAN 14 Ogos – Seorang murid India, tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra, Kedah mempunyai kemahiran luar biasa berbanding rakan seusianya apabila berjaya menguasai enam bahasa dengan baik termasuk bahasa Arab.

P. Thanhya Phrassanna Naidu, 11, yang menyertai Pertandingan Kalam Jamaie Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan di Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini bukan sahaja mampu berkomunikasi dengan baik, malah sering me­ngajar rakan-rakan Melayu bertutur dalam bahasa Arab.

“Saya menguasai bahasa Arab sejak berusia tiga tahun. Saya juga boleh bertutur bahasa Melayu, Inggeris, Tamil, Mandarin dan Siam dengan baik.

“Mempelajari bahasa Arab le­bih mudah berbanding bahasa Melayu dan saya bertuah kerana dapat belajar bahasa itu daripada bapa saya, yang merupakan seorang pensyarah,” katanya selepas majlis Penyampaian Hadiah Khatam al-Quran dan Pertandi­ngan Kalam Jamaie Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Kelapan di Dewan Astaka, UMP kampus Gambang, di sini hari ini.

Majlis yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Wan Ramdzan Wan Mamat.

Thanhya Phrassanna bersama pasukannya, An-Najah muncul naib juara pertandingan tersebut, manakala pasukan dari Kelantan iaitu kumpulan An-Naim dinobatkan sebagai juara.

Tempat ketiga menjadi milik pasukan Khairatul Ihsan yang mewakili negeri Perak.

Menurut Thanhya Phrassanna, dia tidak pandai membaca al-Quran, meskipun mampu bertutur bahasa Arab dengan baik.

“Saya boleh menghafal tetapi untuk menulis agak sukar. Saya sekeluarga pernah tinggal di Arab Saudi ketika saya berusia tiga tahun kerana mengikut bapa melanjutkan pelajaran di sana,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui gembira dapat menyertai pertandingan dalam bahasa Arab kerana bukan sahaja dapat menambah kenalan tetapi dapat mempelajari perkara baharu.

“Ini kali kedua saya menyertai pertandingan sama dan kejayaan ini membakar semangat saya untuk lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Sumber : utusan

www.indahnyaislam.my

text gambar

2 thoughts on “Murid India kuasai bahasa Arab

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *