home Semasa Pandangan mufti dan ilmuwan dicela, syaitan gembira

Pandangan mufti dan ilmuwan dicela, syaitan gembira

dr.zaharuddin

 

Apabila agamawan lambat memberi komen berkaitan sesuatu isu yang tersebar dalam masyarakat. Ramai yang kecam dan mengutuk dan melabel lembap etc.

Apabila agamawan pantas memberi panduan, nasihat dan hukum apabila isu baru mula tersebar. Juga ramai yang kecam menyebut kena kaji lebih lagi dan meremehkannya serta menuduhnya gila publisiti dan populariti.

Apabila agamawan memberi panduan dalam isu politik dan kenegaraan, dituduh agamawan membodek atau pembangkang. Dikecam agar tidak makan ‘dedak’, sebahagian pula kecam agar jangan anti kerajaan atau tinggalkan sahaja Malaysia.

Apabila agamawan memberi panduan isu TIDAK berkait politik dan kenegaraan, dikecam dan dikutuk kerana kononnya remeh dan penakut dek kerana tidak komen isu bersifat kenegeraan.

Jadi apa yang patut dibuat jika terus mengambil kira nafsu orang awam ini?

PANDUAN SAYA

1. Imuwan dan agamawan perlu terus memandu umat dalam ruang kerja yang mereka mampui dan menurut strategi yang mereka yakini. ASALKAN IA BERNIAT mencapai redha Allah dan membawa manusia ke arah redhaNya, abaikan kecaman benci dari mereka yang tiada tahu hakikat dan data serta fakta. Tidak semua perkara boleh didedahkan kepada mereka..

2. Sebahagian mereka layak mendapat penjelasan, maka berikan penjelasan yang termampu, jika mereka benar ikhlas, insha Allah ada baiknya. Manakala bagi yang berbahasa seperti ‘najis’, abaikan mereka lebih baik dek kerana bahasa cerminan kepada hati jua.

3. Bahasa kesat, hinaan dan kotor di media sosial ini tidak membantu sesiapa pun, kecuali menggemukkan dan membesarkan nafsu diri dan menjalankan tugas Iblis Syaitan sahaja. Iaitu mendorong diri dan orang lain kepada kemarahan, sakit hati, pergaduhan dan kebencian tanpa hak. Nabi bersabda :

لا تقل تعس الشيطان فإنه يعظم حتى يصير مثل البيت
Ertinya : Jangan katakan celaka Syaitan keran itu hanya akan membesarkannya sehingga besar seperti rumah. (Riwayat Ahmad : sanad sahih menurut Al-Arnout)

Kalau memaki hamun IBLIS SYAITAN yang sahih kejahatannya itupun dilarang (kecuali dalam bentuk nisbahkannya dengan laknat Allah seperti yang diajari Nabi s.a.w), maka apatah lagi mencela ilmuwan agama dengan sangkaan jahat, buruk dan liar. Ia hanya akan membesarkan syaitan di dalam diri pencela hakikatnya. Nabi bersabda :-

ليس المؤمن بالطعان ولا اللعان ولا الفاحش ولا البذي
Ertinya : Tiadalah orang mukmin itu pencela dan pelaknat, juga bukan pencarut dan berbahasa kotor’ (Riwayat Abu Daud, sahih)

4. Semua isu yang dinasihati oleh ilmuwan agama dalam hal kehidupan ini, adalah BESAR dan PENTING belaka. Sesiapa yang meremehkan panduan agama adalah golongan terpedaya dengan tipudaya iblis. Nabi mengajar kita akan hal yang besar dan kecil sehingga diajari tatacara tidur dan masuk tandas. Tiada istilah aib dalam memandu manusia dalam semua urusan besar dan kecil ke arah hidup berlandas agamanya.

5. Tiada memberi pandangan dalam isu popular dan ‘besar’ atau yang disukai orang ramai sebenarnya belum tentu akan terus tiada, namun kajian dan data belum cukup memberi keadilan untuk memberi komentar. Juga, ada yang telah disampaikan namun dalam bentuk yang pelbagai TERSIRAT DAN TERSURAT. Selain itu, tidak semua isu itu perlukan semua ilmuwan agama bersuara tentangnya. Mereka saling melengkapi, tidak semua perlu jadi hero dalam semua isu dan urusan.

Akhir sekali, bacalah status ini dengan bijaksana, status ini bukan merengek dan mengadu manja kerana ‘dipukul’ dan di ‘cubit’ sepeprti baby lalu inginkan kata-kata ‘pujukan’ dan motivasi dari pembaca, tidak sama sekali. Namun mesejnya adalah untuk mendidik masyarakat cara menentukan sikap, berfikir, bertindak dan bercakap dengan betul. Masyarakat kita kelihatan semakin teruk gaya fikir, cakap dan bertindak mereka. Sebagai contoh, dalam isu politik, di media sosial, ada yang menghentam kerajaan dengan pelbagai hentaman disebabkan pelbagai isu, namun rupanya mereka sendiri tidak mendaftar pun selaku pengundi dan tidak keluar mengundi.

-Buat Renungan-

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Sumber: https://www.facebook.com/DrZaharuddin/posts/1217449198294761

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “Pandangan mufti dan ilmuwan dicela, syaitan gembira

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *