home Semasa Pemuda penyambung perjuangan kemerdekaan

Pemuda penyambung perjuangan kemerdekaan

lukmanMIP16

 

Ketibaan bulan kemerdekaan merupakan pentas strategik untuk kita sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara melakukan muhasabah dan koreksi. Dalam kesibukan mengejar kemajuan materialistik dan pembangunan modal insan, sungguh ada keperluan mendesak untuk kita melihat sejenak ke belakang dan mengkaji sejarah kemerdekaan negara yang kian dilupakan. Ya, sebagaimana seorang pemandu kereta yang sesekali menjeling ke arah cermin pandang belakang ketika meluncur laju ke hadapan.

Bukankah realiti hari ini merupakan natijah masa silam?

Sebagai contoh, jika kita menangisi kebejatan sosial dan keruntuhan akhlak yang menimpa generasi muda negara hari ini, sedarlah ia tidak berlaku dalam tempoh masa yang singkat. Malah, proses penjajahan yang panjang telah menyebabkan peleburan fikrah dan identiti melalui sistem pendidikan, pemaksaan budaya dan cara hidup asing yang berterusan serta pembentukan sistem ekonomi berasas kaum yang berat sebelah.

Lebih parah, kuasa penjajah secara sangat terancang menyembunyikan sejarah kehebatan bangsa, menuduh pejuang Melayu Islam sebagai pemberontak serta menafikan estetika seni dan kehalusan budaya penduduk pribumi. Lantas, kita menjadi generasi yang hilang identiti, hilang kemegahan, hilang tokoh kebanggaan dan hilang zaman kegemilangan.

Benarlah pepatah Afrika yang menyebut, “Sehinggalah sang singa belajar menulis, setiap cerita pasti akan mengagungkan si pemburu.”

Metodologi mencetus kesedaran

Usaha menulis, berpidato, berkempen dan berkolokium untuk menyedarkan generasi muda tentang sejarah dan makna kemerdekaan perlu diperkasa dan diberikan penumpuan. Ini boleh dilakukan melalui dua strategi utama:

Pertama, keperitan perjuangan para tokoh pejuang kemerdekaan perlu diangkat dan dinaratifkan semula dalam bentuk yang interakrif dan terkini. Tulisan sejarah perlu diperbetul dan diberi nafas baru selari dengan perkembangan dunia teknologi dan kepantasan media sosial hari ini.

Mereka bukan pemberontak sebaliknya ulama yang berilmu dan berkredibiliti tinggi serta bersemangat waja mempertahankan tanahair dari diperlakukan sewenang-wenangnya oleh kuasa luar yang rakus dan berniat jahat.

Kegagalan menyemai kesedaran inilah yang membuatkan anak muda negara terus menerus hidup dalam zon selasa dan mengangkat tokoh yang salah sebagai idola hidup, contohnya Justin Bieber, Selena Gomez, Miley Cyrus, artis-artis K-Pop, Bollywood dan banyak lagi.

Nama-nama seperti Dol Said, Dato’ Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dato’ Maharaja Lela, Sharif Masahor, Rentap dan Mat Salleh akan terus luput dimamah waktu tanpa usaha serius untuk memartabatkan perjuangan mereka semula.

Kedua, kekayaan seni budaya bangsa Melayu samada adap sopan, busana, seni persembahan, seni tampak dan seni mempertahankan diri yang tidak bercanggah dengan Islam perlu dihidupkan kembali dalam bentuk yang praktikal dan bersepadu.

Realitinya, rata-rata anak muda hari ini menganggap semua elemen kesenian di atas lapuk, ketinggalan zaman dan selayaknya berada di muzium sebagai bahan tatapan generasi akan datang. Hakikatnya, pendapat sebegini lahir dari minda yang kalah dan terjajah.

Sebagai contoh berapa ramai generasi muda hari ini yang pernah menyaksikan persembahan makyong, wayang kulit, ghazal, hadrah dan kuda kepang? Atau pernah cuba menguasai seni ukir, seni bina, seni hias, pertukangan tangan, tenunan dan anyaman? Atau pernah belajar permainan tradisi seperti gasing, wau dan congkak?

Ya, mungkin terlalu sedikit dari kalangan belia yang berpengalaman menyaksikan dan melakukan sendiri aktiviti-aktiviti di atas. Apatahlagi untuk menjiwai dan menjadikannya sebahagian dari cara hidup, kebanggaan dan identiti diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Suka atau tidak, kita terpaksa menerima hakikat bahawa sistem yang mengawal perjalanan kehidupan hari ini menyebabkan kita lebih mengagungkan kot dan tali leher berbanding baju melayu dan tengkolok, muzik R&B dan rock berbanding gamelan dan ghazal, karate dan judo berbanding seni silat Melayu.

Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan aktif untuk menyemai identiti kemelayuan asli melalui pendidikan awal kanak-kanak, sistem persekolahan, inisiatif dan polisi kerajaan serta peranan masyarakat dan NGO.

Rantai perjuangan yang perlu disambung

Percayalah, masyarakat melayu dan umat Islam mampu kembali bermaruah dan menang dalam perlumbaan material hari ini dengan menyambung perjuangan tokoh-tokoh bangsa terdahulu. Setelah mereka mengorak langkah membuka jalan dan minda serta menunjukkan contoh teladan kepada anak cucu, sekarang tanggungjawab penuh tergalas di bahu kita untuk menyambung mata rantai perjuangan ini.

Perjuangan Maarof Zakaria yang mengasaskan Bank Kebangsaan Melayu bagi meningkatkan daya saing bangsa Melayu dalam bidang ekomoni, siapakah yang menyambungnya?

Perjuangan Abdul Rahim Kajai yang digelar Bapa Kewartawanan Melayu dalam mendidik dan membangunkan intelektual bangsa melalui penulisan, siapakah yang menyambungnya?

Perjuangan Seniman Agung, P.Ramlee dalam bidang seni dan hiburan yang sarat mesej dan pengajaran, siapakah yang menyambungnya?

Mereka telah melakukan yang terbaik untuk generasi kita hari ini. Setiap sikap dan tindakan generasi hari ini akan seterusnya menentukan nasib dan masa depan generasi anak watan yang akan datang.

Persiapan pemuda

Setelah generasi muda menemui identiti sebenar, memahami kehebatan sejarah bangsa dan kepentingan untuk menyambung kesinambungan perjuangan, secara semulajadi rasa kasih, cinta dan semangat untuk mempertahankan bumi berdaulat ini akan terbina.

Rasa tanggungjawab untuk meningkatkan taraf intelektual, ekonomi dan kemahiran anak bangsa pasti membuak-buak, kerana mereka yakin dan percaya pada hakikatnya kita masih dijajah minda dan budaya. Umat Islam terus menjadi mangsa percaturan Barat sebagai generasi yang melupakan perjuangan sebenar. Belum lagi ditambah dengan pelbagai ancaman semasa terhadap negara seperti isu keselamatan, kelestarian ekonomi dan pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan.

Untuk berhadapan dengan cabaran semasa, para pemuda Islam perlulah membina kembali kekuatan bangsa dan agama. Terasnya ialah iman, ukhuwah dan ilmu. Malah teras yang samalah yang menjadi kekuatan dan senjata sulit para pejuang kemerdekaan dan tokoh pembangunan negara terdahulu dalam mempertahankan negara yang tercinta.

Pertama, iman yang kukuh melenyapkan rasa takut, perasaan mundur, teragak-agak dan keterikatan dengan kemewahan dunia sehingga mereka sanggup menyerahkan jiwa dan raga, asalkan maruah negara tidak tergadai. Kalimah ‘biar putih tulang, jangan putih mata’ adalah manifestasi iman dan keyakinan kepada Allah yang total. Sejarah menukilkan Abdul Rahman Limbong, Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim dibuang negeri manakala Dato’ Maharajalela dan Tok Janggut dibunuh demi perjuangan mempertahankan tanah air.

Justeru, anak muda hari ini harus kembali kepada ajaran asas Islam untuk memperkukuh iman. Ibadah seperti solat, puasa, membaca dan menghayati Al-Quran, berzikir dan berselawat, solat malam serta amal dakwah dan kebajikan perlu dijadikan rutin harian untuk membina peribadi yang hebat dan berwibawa.

Kedua, tautan ukhuwah, semangat nasionalisme dan jaringan persahabatan dengan kuasa lain di Nusantara dan negara Islam dari seluruh dunia juga merupakan ramuan kekuatan perjuangan mereka. Walaupun berlainan bangsa dan latar belakang, kalimah syahadah menjadi penyatu dan tali yang mengikat roh perjuangan mereka.

Jika diteliti, antara pentas yang menjadi pencetus awal gerakan melawan penjajah untuk membebaskan negara ialah melalui ibadah haji yang mengumpulkan seluruh umat Islam dari seluruh dunia. Perhimpunan mega penuh ukhuwah ini menjadi medan mereka bertukar-tukar pandangan dan pengalaman, menganalisa keadaan dan pergolakan umat Islam seluruh dunia dan merangka pelan strategi untuk dilaksanakan di negara masing-masing.

Inilah yang perlu dicontohi oleh generasi muda hari ini. Semangat setiakawan dan kerjasama pasukan sesama sendiri perlu diperkukuh terlebih dahulu. Ketepikan perbezaan pandangan politik, perbezaan mazhab ataupun kepentingan-kepentingan lain demi untuk membina satu masa depan negara dan Islam yang hebat. Kelemahan kita bukan disebabkan oleh kehebatan musuh, namun disebabkan perpecahan kita sendiri.

Selain itu, budaya mengembara dan sesi diskusi untuk mengembangkan jaringan dan mengukuhkan perhubungan antara belia Islam dari negara dan latar belakang yang berbeza juga perlu digalakkan bagi mencapai hasrat kesatuan umat Islam.

Ketiga, kekuatan ilmu sebagai teras perjuangan memang tidak dapat dinafikan. Berjuang tanpa ilmu umpama cuba menikam musuh dalam keadaan gelap gelita, silap langkah tubuh sendiri yang akan tertusuk senjata bahaya. Hakikatnya kemerdekaan negara tidak mungkin tercapai tanpa golongan intelektual, penerbitan akhbar dan majalah serta penubuhan pelbagai pertubuhan yang menjadi wadah penyaluran ilmu dan kesedaran kepada seluruh masyarakat.

Peranan akhbar-akhbar seperti Warta Malaya, Majlis, Utusan Melayu, Al-Ikhwan, Saudara dan Fajar Sarawak dalam membincangkan isu sosial, ekonomi dan politik, membangkitkan semangat kebangsaan dan sentimen menentang penjajah harus dilihat sebagai tunjang pergerakan memerdekakan negara.

Malah, tokoh-tokoh kemerdekaan dan pembangunan negara seperti Syeikh Abdullah Fahim, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan Prof. Zulkifli Muhammad juga terdiri dari cerdik pandai yang menggunakan ketajaman pena dan lidah mereka untuk mendidik masyarakat melalui orentasi ilmu.

Oleh itu, para pemuda hari ini perlu menghidupkan budaya ilmu, bermula dengan disiplin membaca yang konsisten dan ketat. Selain itu penguasaan pelbagai bahasa, kemahiran berfikir dan menganalisa, teknik menulis dan berdebat perlulah diberikan penekanan.

Jangan mudah berasa selesa, sebaliknya setiap individu perlu cuba untuk mendapatkan pencapaian atau pengiktirafan tertinggi dalam bidang ilmu strategik untuk membangunkan agama dan bangsa Ilmu sepatutnya mampu melonjak status kita sebagai bangsa pengguna kepada bangsa yang mencipta. Santuni masyarakat, fahami mereka dan dekati untuk memberikan kefahaman serta kesedaran berdasarkan teknik dan method yang terbaik.

Jika dulu, mata pena menjadi wasilah, zaman kini menyaksikan media sosial dan laman web sebagai elemen dunia tanpa sempadan yang seharusnya dioptimakan penggunaannya untuk mendidik masyarakat. Anak muda harus berhenti bermain Pokemon Go dan pelbagai permainan video online yang lain jika ingin menyumbang kepada kemajuan negara dan kebangkitan agama Islam kerana generasi yang sibuk akan perkara-perkara kecil tidak akan mampu berfikir dan beraksi untuk sesuatu agenda yang besar.

Merdeka dengan erti kata sebenar

Kesimpulannya, dengan tiga kekuatan utama ini kita akan mampu mengecapi kemerdekaan sebenar dan menentukan masa depan sendiri tanpa dicatur oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Pemuda sebagai tonggak dan agen perubahan utama perlu dipersiapkan sebaik mungkin untuk meneraju tampuk kepimpinan negara.

Kualiti generasi ini bakal menentukan warna dan rupa kekuatan Islam dan Melayu pada masa akan datang. Sungguh kita tidak bermula dari kosong, sebaliknya menyambung mata rantai perjuangan yang telah ditinggalkan oleh para tokoh dan pejuang terdahulu. Bersediakah kita?

Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Ketua Pemuda ISMA

www.indahnyaislam.my

MALAM INSPIRASI PERJUANGAN 2016 (PEJUANG)

text gambar

One thought on “Pemuda penyambung perjuangan kemerdekaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *