home Kolumnis, Semasa Pertahan jasa pejuang kemerdekaan

Pertahan jasa pejuang kemerdekaan

ustzamriP16

 

Antara jasa besar yang ditinggalkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu adalah mereka dapat mengekalkan Islam secara tersurat di dalam perlembagaan mahupun tersirat dalam pengamalan Islam di dalam elemen-elemen tertentu di dalam kehidupan seharian. Kita berdoa kepada Allah agar mereka di balas dengan balasan yang setimpal.

Bukan masanya kita membanding-bandingkan siapa yang lebih patriotik di antara mereka samada yang berjuang dengan konfrantasi bersenjata mahupun mereka yang berjuang melalui perundingan kerana ia telah menjadi sejarah, masing-masing akan diganjari oleh Allah dengan habuan berdasarkan niat masing-masing. Apa yang penting kepada kita ialah, kita adalah generasi yang telah dipindahkan tanggungjawab besar dan mulia ini kepada kita.

Kita sebagai genarasi hari ini berkewajipan mengambil iktibar terhadap kesilapan lalu dan tidak mengulanginya pada masa akan datang serta merebut semua peluang yang ada untuk mengukuhkan kedudukan Islam di tanah air ini dari masa ke semasa. Kita wajib elakkan berpolemik dalam isu-isu yang melibatkan kedudukan Islam mahupun berkaitan dengan umat Islam walaupun kita mungkian berbeza pandangan, parti poitik mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

Generasi awal telah mewariskan kepada kita sebuah tanah air yang sepatutnya diurus berdasarkan perlembagaan yang disepakati untuk dipatuhi serta kontrak-kontrak sosial yang telah dipersetujui. Sebagai muslim, idealnya kita mahu negara ini statusnya adalah sebuah negara Islam tulin yang kita sebebas-bebasnya melakukan segala ajaran Islam yang diambil dari al Quran dan al Sunnah.

Namun kita terpaksa menerima realiti bahawa mustahil penjajah akan merelakan perkara itu berlaku. Mungkin atas pertimbangan-pertimbangan tertentu maka Islam masih diberi ruang untuk berperanan dalam urusan kenegaraan dan kehidupan tetapi dalam ruang yang agak terhad mengikut tafsiran perunding dan mereka yang merangka perlembagaan negara ketika itu. Apa pun latar belakang sejarahnya, kita tetap bersyukur kerana tersurat di dalam perlembagaan negara, Islam adalah agama Persekutuan.

Jika kita membuat sedikit perbandingan dengan negara-negara jiran, sepatutnya umat Islam di negara ini bersyukur kepada Allah kerana urusan agama Islam di negara ini dilihat seperti teratur , beberapa hak umat Islam dilindungi, peruntukan tertentu berhak untuk dinikmati oleh institusi Islam, ajaran-ajaran sesat dan yang boleh menggugat keharmonian hidup beragama dikekang, fatwa mempunyai wewenang tersendiri dalam mengurus perkembangan kehidupan manusia dan lain-lain lagi.

Ini terhasil apabila perlembagaan negara telah memberi keistimewaan kepada Islam di dalam beberapa peruntukan undang-undang. Ini tidak berlaku di negara jiran. Hasilnya meledaknya ajaran-ajaran ganjil dan pelik berlaku di kalangan umat Islam seperti kahwin silang agama, kebebasan melampaui batas dalam membuat kritikan terhadap agama dan Al-Quran, penolakan terhadap autoriti hadith tanpa ada undang-undang yang boleh dikuatkuasakan.

Generasi muda muslim pasca merdeka di samping wajib bersyukur kepada Allah dan berterimakasih kepada pejuang-pejuang kemerdekaan, perlu sedar bahawa sedikit keistimewaan ini hanya tercatat sebagai tulisan kaku tanpa makna jika kita tidak bersungguh-sungguh berjuang mempertahankan dan menjelmakannya di dalam mengatur kehidupan bernegara dan bermasyarakat.

Mereka juga perlu menyedari bahawa sedikit keistimewaan ini telah lama dicemburui oleh segelintir pihak yang sekian lama hanya dipendamkan sahaja tanpa dizahirkan disebabkan kuasa politik umat Islam masih dominan. Tetapi apabila perpecahan umat Islam semakin parah seperti retak menanti belah, rasa “cemburu” ini semakin berani terserlah, berselindung di sebalik slogan hak bersuara, hak asasi manusia dan sebagainya.

Sekadar memberi contoh, mempertikaikan catatan agama Islam di dalam kad pengenalan yang di katakan bertentangan dengan jaminan hak individu di dalam perlembagaan, mempertikaikan bacaan doa di awal sessi pengajian di sekolah-sekolah kebangsaan yang membawa tohmahan seolah-olah sekolah kebangsaan terlalu islamik kononnya, mempertikaikan undang-undang yang dikatakan menyekat hak kebebebasan hak asasi manusia (moral policing) seperti undang-undang khalwat, memohon peruntukan kewangan samarata kepada agama-agama selain agama Islam.

Sekolah-sekolah agama juga dituduh sebagai pencetus kepada penghalang perpaduan kaum dan sebagainya sedangkan semua perkara tadi tidak menyalahi mana-mana undang-undang negara bahkan dijamin oleh perlembagaan negara melalui beberapa peruntukannya.

Inilah sebahagian kecil amanah yang tertanggung ke atas bahu-bahu generasi muslim terhadap amanah kemerdekaan negara yang dititipkan oleh generasi awal negara ini.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

MALAM INSPIRASI PERJUANGAN 2016 (PEJUANG)

text gambar

One thought on “Pertahan jasa pejuang kemerdekaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *