home Semasa Simpanan syariah legakan umat Islam – Dr Aznan

Simpanan syariah legakan umat Islam – Dr Aznan

Prof Madya Dr Aznan Hasan

Simpanan Syariah yang ditawarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula Isnin lalu berjaya menarik lebih 40,000 orang pencarum berdaftar di seluruh negara. Namun masih ada pencarum yang bimbang mengenai pelaburan itu terutama berkaitan untung dan rugi.

Wartawan BH, Rohaniza Idris mendapatkan pandangan Presiden Persatuan Syariah Kewangan Islam (ASAS), Prof Madya Dr Aznan Hasan yang juga Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah (JKPS) KWSP bagi menjelaskan kelebihan dan asas perlunya skim caruman patuh syariah ini.

————-

S: Saya difahamkan ASAS sudah lama memperjuangkan supaya KWSP menawarkan caruman patuh syariah ini, apa rasionalnya serta kelebihannya selain mematuhi syariat Islam?

J: ASAS sebagai sebuah Persatuan Penasihat Syariah Kewangan Islam sudah lama menyaran supaya perlaksanaan lebih menyeluruh dilakukan terhadap kewangan Islam di Malaysia, termasuk skim simpanan pekerja. Inisiatif KWSP ini adalah inisiatif dalaman KWSP yang amat kita alukan.

Skim Simpanan Syariah itu satu asas yang baik untuk pencarum beragama Islam mencari pelaburan patuh syariah. Sebelum ini, umat Islam mahukan simpanan mereka diuruskan mengikut syariah tetapi KWSP tidak menyatakan pelaburan mereka patuh syariah menyebabkan wujud kebimbangan kepada cara pelaburan, adakah ia bertepatan sepenuhnya dengan syarak. Alhamdulillah sekarang mereka yang mahukan kepastian, boleh memilih simpanan syariah ini.

S: Apabila KWSP mengumumkan mahu melaksanakan skim Simpanan Syariah, apakah reaksi Prof dan persatuan?

J: Dengan adanya pilihan ini, pasti ia melegakan umat Islam yang sememangnya menantikan skim Simpanan Syariah ini. Melalui inisiatif itu, ia menjadikan KWSP sebagai sebuah institusi dana persaraan pertama di dunia melaksanakan skim simpanan persaraan berlandaskan prinsip syariah.

S: Apakah perbezaan di antara pelaburan patuh syariah dan konvensional yang ditawarkan KWSP?

J: KWSP mematuhi prinsip Alam Sekitar, sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan polisi pelaburan yang melarang KWSP daripada melabur dalam sektor yang menggalakkan perjudian, hiburan dewasa dan alkohol/arak atau membuat, mengedar dan memasarkan senjata api atau peralatan ketenteraan. Di samping itu, KWSP tidak mempunyai sebarang pendedahan dalam negara yang tiada hubungan diplomasi dengan Malaysia.

Namun, bagi pelaburan patuh syariah selain pelaburan itu dilakukan dalam sektor dan aktiviti patuh syariah, struktur pelaburan itu juga hendaklah menggunakan akad syariah dan mematuhi parameter pelaburan syariah yang ditentukan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah.

S: Bagaimana dengan jaminan keuntungan?

J: KWSP sebagai wakil yang menguruskan pelaburan Simpanan Syariah berdasarkan akad wakalah tidak boleh menjamin keuntungan pelaburan dan dividen diisytiharkan mestilah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan patuh syariah yang diurus oleh KWSP.

Namun, KWSP masih mengekalkan profil risiko pulangan yang hampir serupa dan objektif serta sasaran strategik pelaburan yang sama seperti Simpanan Konvensional. Strategi pelaburan KWSP adalah berteraskan Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan objektif pelaburannya untuk melindungi dan memberi nilai tambah kepada wang simpanan ahli.

Bagi Simpanan Konvensional pula, KWSP bebas membuat pelaburan selagi ia selaran dengan prinsip ESG dan ini termasuk dalam sektor perbankan dan insurans konvensional, secara teorinya, keuntungan dan kerugian masih tetap bergantung kepada prestasi sebenar pelaburan, namun terdapat peruntukan dalam akta KWSP yang menjamin dividen yang diisytiharkan oleh lembaga tidak kurang daripada 2.5 peratus.

S: Prof menyatakan dalam syariah, untung dan rugi ditanggung bersama. Jika rugi bagaimana?

J: Secara konsepnya, oleh kerana akad yang digunakan adalah akad syariah, maka jika berlaku kerugian, ia akan ditanggung oleh pencarum. Inilah intipati akad wakalah yang digunakan. KWSP mempunyai rangka kerja pengurusan risiko pelaburan yang komprehensif bagi mengurangkan kebarangkalian berlakunya kerugian.

Namun, terdapat mekanisme patuh syariah yang diperuntukkan untuk menghadapi situasi ini sekiranya menjejaskan simpanan ahli (saya katakan jika) yang mana simpanan ahli dilindungi melalui pendahuluan daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan dan ia perlu dibayar balik daripada dana ahli (Kumpulan Wang) seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 28 Akta KWSP.

Sumber: Berita Harian 15 Ogos 2016, mukasurat 14

www.indahnyaislam.my

 

 

text gambar

One thought on “Simpanan syariah legakan umat Islam – Dr Aznan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *