home Semasa Tiada pilihan, kembali pada al-Quran

Tiada pilihan, kembali pada al-Quran

image

 

Tanpa gentar, tanpa debar, pagi semalam saya ke Ibu Pejabat PDRM di Bukit Aman. Bukan dipanggil untuk membantu siasatan, sebaliknya sengaja datang untuk menyampaikan salam ummah kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Saya menyerahkan undangan rasmi kepada Ketua Polis Negara, untuk sama-sama menyertai gerakan kecintaan terhadap Kitab Suci  menerusi World #QuranHour.

“Perkara baik saya tentu sokong,” kata beliau sambil memberitahu masjid di Bukit Aman dan di IPD seluruh negara akan menyertai gerakan ini. “Kita mahu masjid kita diimarahkan dengan bacaan al-Quran, serentak pada pagi berkenaan.”

Sebenarnya tidak sahaja polis, banyak pihak – termasuk jabatan dan agensi kerajaan, NGO, syarikat korporat – juga telah bersetuju untuk sama-sama membaca lirik-lirik ALLAH itu serentak selama sejam, mulai 9 pagi pada 9 Zulhijah.

World #QuranHour adalah lanjutan dari #MalaysiaNgaji yang diadakan serentak di seluruh negara selama sejam mulai 12 tengah hari pada 24 Ramadan baru lalu. Walaupun untuk seluruh negara, program tersebut juga disertai oleh umat Islam di Australia, England, Amerika Syarikat, Singapura dan Indonesia.

World #QuranHour akan disertai oleh umat Islam seluruh dunia. Pada hari dan waktu yang ditetapkan mereka, tidak kira di pelosok mana dunia, untuk selama sejam, akan membaca al-Quran.

Acara akan berpusat di Universiti Islam Antarabangsa Gombak di mana pelajarnya sekarang datang dari lebih 100 negara Islam seluruh dunia. Tetapi membaca kitab suci pada hari itu tidak terhad hanya di kampus UIAM.

Sama seperti #MalaysiaNgaji, setiap orang boleh membaca ayat-ayat ALLAH itu di mana sahaja – di masjid, surau, rumah, dalam kenderaan, di pusat beli-belah, kawasan riadah, dan lain-lain lokasi yang sesuai.

Ini bukan program Kumpulan Media Karangkraf, sebaliknya satu acara agama yang buat pertama kalinya digerakkan bersama oleh semua organisasi media – Kumpulan NST, Kumpulan Utusan, Media Prima, RTM, Astro Awani, TV Al-Hijrah, Karangkraf, juga seluruh ummah – dengan satu matlamat: raikan al-Quran.

Gerakan murni ini diharapkan dapat menyedarkan umah tentang perlunya kita kembali kepada al-Quran. Mudah-mudahan mulai hari berkenaan kita insaf atas kealpaan sebelum ini terhadap mukjizat Rasulullah, dan terus membaca al-Quran setiap masa, sepanjang hayat.

Ayat-ayat ALLAH itu tidak sahaja wajib dibaca, tetapi perlu difahami, dan dihayati erti setiap perkataan. Lebih penting lagi apa yang difahami dan dihayati itu perlu pula diamalkan setiap saat dalam kehidupan.

Yakinlah sekiranya setiap orang Islam mengamalkan apa yang dinyatakan dalam al-Quran, apa juga masalah global – dan lokal – dapat diatasi. Mari ramai-ramai kita mulakan membaca al-Quran 9 Zulhijah, 9 pagi. Serentak di seluruh dunia.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/abdul-jalil-ali/tiada-pilihan-kembali-pada-al-quran-1.553378

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “Tiada pilihan, kembali pada al-Quran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *